Pages

Sunday, May 28, 2017

22 Petua Mudah Hafal Al-Quran.

Allah SWT berfirman: 

“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” 
(Surah Shaad: 29)


Mengapa Tidak Berjaya Menghafal Al-Quran?

# 1 - Tiada Kemahuan dan Minat. 
Kata Nabi SAW, setiap orang akan mendapat apa yang dia niatkan. Justeru, sekiranya kita tidak pernah ada kemahuan dan niat untuk menghafal al-Quran, maka adalah mustahil bagi kita melakukannya. Sesuatu yang tidak pernah dibayangkan dalam minda kita, atau tidak pernah kita fikirkan untuk mencapainya, maka ia tidak akan dapat direalisasikan dalam hidup kita. 

# 2 - Fikiran Negatif dan Kurang Keyakinan Diri. 
Kita boleh belajar banyak teknik untuk menghafal al-Quran, tetapi tanpa keyakinan semua teknik itu tidak akan berguna untuk kita. Positifkan minda dan yakinlah, meskipun menghafal itu susah, ia tidak mustahil buat kita. Menghafal al-Quran, bukanlah soal otak yang pintar dan genius, tetapi lebih kepada fikiran yang positif.
Orang yang mempunyai otak yang genius, tetapi mempunyai fikiran negatif, akan dipintas oleh mereka yang positif namun berfikiran positif. Minda yang negatif, umpama tanah yang tidak baik, ia tidak akan dapat menumbuhkan pokok. Manakala, minda yang positif pula adalah seumpama tanah yang baik akan menumbuhkan apa sahaja benih pokok yang diletak di atasnya.

# 3 - Tidak Tahu Kaedah Menghafal yang Sesuai. 
Mahu daki gunung, kena tahu laluan yang betul. Kalau kita mendaki tanpa ilmu, tidak tahu laluan yang betul, silap hari bulan kita jatuh dalam gaung dan cerun. Pendakian menuju puncak juga menjadi susah. Demikian juga, menghafal al-Quran kita perlu tahu kaedah dan tekniknya. Barulah, usaha ‘pendakian’ menjadi lebih mudah.

22 Petua Mudah Hafal Al-Quran.

1. Niat dan Kemahuan
 Setiap amalan itu dengan niat. Harus ada niat dan kemahuan yang bersungguh-sungguh untuk menghafal al-Quran. Dengan niat baru akan ada tindakan untuk menghafal al-Quran.
 Kita juga harus tahu mengapa kita mahu menghafal al-Quran dan mestilah mempunyai sebab yang kukuh untuk menghafalnya.
 Menghafal al-Quran adalah ibadah yang dipuji dalam Islam, maka tidak seharusnya ia dilakukan kerana selain SWT. Tanamkan niat yang ikhlas dalam diri kita.
 Dalam hadis disebutkan, antara orang yang terawal masuk Neraka adalah orang yang melazimi al-Quran dengan niat yang tidak ikhlas dan dia melakukannya dengan riyak dan mahukan pujian manusia.

2. Mulakan Sekarang.
 Menghafal al-Quran satu ibadah yang mulia yang tidak sewajarnya ditunda-tunda.
 Semakin awal kita memulakan usaha untuk menghafal al-Quran, maka semakin cepat juga kita akan selesai untuk menghafal al-Quran.
 Jangan fikirkan betapa lamanya masa yang kita bakal tempuhi dan perlu untuk menghafal al-Quran. Sebaliknya fokuskan, apa hasil yang kita akan perolehi nanti. Apa yang kita akan dapat?
 Bayangkan, jika kita mula menghafal sekarang, setiap hari, minggu dan bulan, 5 tahun akan datang di mana sudah kedudukan kita?
 Tempoh kita menghafal mungkin memakan masa yang lama, tetapi bila masa sudah berlalu, semuanya akan rasa sebentar sahaja. Pejam celik, sudah 5 tahun berlalu, jumlah hafalan kita juga sudah bertambah.

Terdapat beberapa cara memulakan hafalan al-Quran.

Pertama: 
Bermula daripada juzuk 30, seterusnya 29, setelah itu bermula daripada juzuk 1 hingga 28. Ini cara memulakan hafalan bagi kebanyakan penghafal.
Ini cara yang amat baik. Memulakan daripada surah-surah lazim yang pendek dahulu, kemudian baru berpindah ke surah panjang.
Kedua: 
Bermula daripada juzuk 1, sehingga juzuk 30, mengikut urutan. Jika mahu mula terus daripada juzuk 1 sehingga juzuk 30, harus memulakan hafalan sedikit demi sedikit, agar tidak lelah dan berputus asa untuk terus menghafal.
Misalnya, hafal 3 baris setiap hari. Apabila sudah biasa menghafal dan semakin selesa, baru tambah bilangan hafalan setiap hari.
Ketiga: 
Bermula daripada juzuk 30, seterusnya surah panjang yang popular seperti Yasin, al-Mulk, as-Sajadah, al-Waqiah, an-Naba, al-Muzammil, al-Jumuah, al-Insan dan beberapa surah lain, kemudian baru mulakan daripada juzuk 1.

Kuncinya, dalam usaha menghafal al-Quran, mulakan dengan langkah yang kecil dan mudah terlebih dahulu.

3. Tetapkan Tempoh yang Jelas
 Bilakah kita mahu selesai meng 30 juzuk al-Quran? Ini adalah amat penting. Dengan wujudnya tarikh akhir, barulah kita akan ada matlamat yang jelas dan mengelakkan kita daripada menunda-nunda.
 Ada orang dapat selesaikan hafalan al-Quran mereka dalam tempoh 1 tahun, 3 tahun dan ada juga yang sehingga tempoh 5 tahun.
 Tetapkan tempoh kita ingin selesai menghafal al-Quran, sesuai dengan kemampuan kita. Ukur baju di badan sendiri. Jangan bandingkan diri kita dengan orang lain. Setiap manusia berbeza-beza kemampuannya.
 Lamanya kita menghafal tidak penting, apa yang penting adalah kita terus berusaha secara konsisten untuk meningkatkan hafalan al-Quran kita.

4. Pecahkan Menjadi Bahagian Kecil.
 Selepas kita mempunyai tempoh akhir yang jelas, pecahkan langkah menghafal kita menjadi bahagian-bahagian kecil.
 Contoh pecahan matlamat:
 Habis menghafal dalam masa 15 tahun.
 Harus hafal 2 juzuk setiap tahun.
 Bulan Januari-Mei, hafal 1 juzuk. Bulan Jun fokus untuk mengulang semua.
 Bulan Julai-November, hafal 1 juzuk. Bulan Disember fokus untuk mengulang.
 setiap minggu, hafal 1 halaman sahaja. Isnin-jumaat menghafal, sabtu dan ahad fokus untuk mengulang.
 1 hari menghafal 3 baris sahaja.
 Buat jadual harian untuk menghafal. Misalnya:
 Menghafal 3 baris waktu subuh. Waktu zuhur, ashar, maghrib dan isyak adalah fokus untuk mengulang hafalan.

5. Menghafal Waktu Pagi.
 Berdasarkan perkongsian para penghafal al-Quran, menghafal pada waktu pagi adalah lebih mudah.
 Pada awal pagi fikiran kita belum sesak dengan pelbagai urusan harian, justeru ayat-ayat al-Quran lebih mudah meresap ke dalam minda kita berbanding waktu lain.
 Nabi Muhammad SAW ada doakan kebaikan bagi umatnya yang melaksanakan usaha di awal pagi. Justeru, waktu pagi adalah waktu yang berkat untuk memulakan satu usaha yang baik.
 Usahalah menghafal sebelum waktu subuh, yakni waktu sahur dan selepas subuh dan alami sendiri pengalaman hafalan yang mudah, Insya-Allah.
 Memulakan hari kita dengan al-Quran, insya-Allah, kehidupan kita akan lebih diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.

6. Cari Guru atau Mentor.
 Jika kita dapat cari guru atau mentor dalam usaha menghafal al-Quran, ini lebih baik. Mentor adalah mereka yang sudah capai tahap yang kita mahu capai.
 Sekiranya kita dapat bertalaqqi al-Quran dengan guru yang mempunyai sanad al-Quran, itu lebih baik. Apabila khatam membaca atau menghafal, mohonlah guru tersebut agar ijazahkan kepada kita sanad al-Quran.
 Jika tidak bertemu dengan mentor yang berkelayakan atau kita temui, namun masa tidak mengizinkan, jangan berputus asa.
 Tidak semestinya kita perlu menghadap guru atau mentor setiap hari. Mungkin kita mohon bertemu sebulan sekali untuk bertadarus bersamanya agar dia menyemak hafalan kita dan memberikan dorongan daripada masa ke semasa.

Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya seorang yang tidak ada sedikit pun al-Quran dalam hatinya adalah seperti rumah yang roboh.” 
(Sunan at-Tirmidzi, 10/155)

7. Gunakan 1 Mushaf Khusus.
 Ini petua yang diberikan oleh para penghafal al-Quran. Gunakan 1 mushaf sahaja dan jangan bertukar-tukar mushaf al-Quran.
 Pilih 1 mushaf dan gunakanlah ia menghafal sehingga akhirnya. Jika mushaf itu hilang atau rosak, usaha dapatkan mushaf seumpamanya.
 Mengapa? Ini kerana manusia menghafal secara visual dan imej. Apabila kita menghafal, imej halaman mushaf itu akan wujud dalam minda.
 Apabila kita bertukar-tukar mushaf, proses hafalan mungkin menjadi sedikit sukar dan celaru, kerana imej yang tidak konsisten dalam minda kita.
 Jangan menukar mushaf, semata-mata kerana tertarik dengan mushaf-mushaf baru yang cantik rekaannya.

8. Pilih Sahabat dan Kawan.
 Berdasarkan kajian pakar psikologi, mereka yang rapat dan berada di sekeliling kita mempunyai pengaruh besar dan membentuk siapa diri kita.
 Pilihlah sahabat yang dapat membantu kita dalam menghafal dan mempunyai matlamat sama seperti kita. Dengan itu, kita dapat saling mendorong antara satu sama lain.
 Jauhi atau kurangkan bergaul dengan orang-orang negatif dan melemahkan semangat kita untuk menghafal al-Quran. Elakkan bergaul dengan mereka yang gemar merendah-rendahkan usaha kita.
 Memang benar, tiada manusia yang lepas daripada silap dan buruk. Namun, pilihlah manusia yang banyak kebaikan berbanding keburukan dalam dirinya untuk dijadikan sahabat kita, agar mereka bantu kita menjadi orang yang baik.
 Kita boleh berlumba-lumba menghafal al-Quran dengan sahabat kita.

9. Jauhi Maksiat.
 Al-Quran adalah cahaya. Maksiat dan dosa adalah kegelapan. Cahaya dan kegelapan tidak akan berhimpun kedua-duanya dalam satu tempat. Apabila yang satu hadir, yang satu lagi akan sirna.
 Bergelumang dengan dosa, akan memadamkan cahaya al-Quran yang berada dalam hati dan membuatkan seseorang terlupa hafalannya. Bukan itu sahaja, usaha menghafal al-Quran juga menjadi sukar.
 Apabila kita biasa buat dosa dan maksiat tanpa bertaubat, suatu saat ia akan buat kita berpaling daripada al-Quran. Anggota badan kita tidak akan merasa nikmat melakukan kebaikan.
 Apabila kita tidak jaga mata daripada perkara haram, ia akan bagi kesan pada hati dan mata kita dengan buatkan mata kita tidak rasa seronok menatap perkara baik seperti menatap mushaf al-Quran.
 Apabila kita asyik isi hati kita dengan muzik dan perkara haram, maka hati itu tidak akan rasa seronok menerima hafalan al-Quran.
 Apabila terjebak dalam dosa dan maksiat, segeralah bertaubat kepada Allah SWT. Jangan biarkan diri terus dalam kelalaian.
 Jadikan istighfar lebih 70 kali sehari sebagai amalan. Ia adalah sunnah dan amalan Nabi Muhammad SAW setiap hari.

10. Berdoa Kepada Allah SWT.
 Al-Quran adalah kalam Allah, ia adalah wahyu daripada Allah SWT. Justeru, untuk menghafalnya mintalah kepada Allah SWT.
 Bagi menyerap dan menanamkan wahyu Allah dalam jiwa kita, sentiasalah berdoalah kepada-Nya.
 Jauhi makan minum, pakaian dan benda yang syubhat dan haram. Ia boleh menghijab doa kita daripada dimakbulkan oleh Allah SWT.
 Perbanyakkan doa pada waktu yang mustajab. Di antara waktu yang mustajab untuk berdoa adalah:
(1) Hari jumaat, selepas waktu solat Ashar.
(2) Waktu sahur, di akhir malam.
(3) Di antara azan dan iqamat.
(4) Lepas mendirikan solat sunat 2 rakaat.
 Berdoalah dengan khusyuk dan tawadhuk memohon pertolongan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: 

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah daripada rumah-rumah Allah, mereka membaca kitab Allah dan saling mengajarkannya di antara mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka sakinah, rahmat menyirami mereka, para malaikat mengerumuni mereka, dan Allah menyebut-nyebut mereka di kalangan (malaikat) yang ada disisiNya.” 
(Sunan Abu Dawud, 4/248)

11. Ulang Hafalan Setiap Hari.
 Sengaja saya masukkan petua ini secara khusus, sebab terkadang kita lalai untuk mengulang hafalan al-Quran.
 Mengulang hafalan adalah amat penting. Jika kita sambil lewa dalam mengulang hafalan, akibatnya amatlah teruk. Kita mungkin terpaksa memulakan semula usaha menghafal al-Quran.
 Nabi Muhammad SAW pernah mengatakan, al-Quran adalah lebih mudah terlepas berbanding unta yang diingat dengan talinya. Jadi, jangan remehkan perkara ini.
 Dalam siri 27, Traveler with the Quran, Syaikh Fahad al-Kandari beri satu tip agar hafalan lebih melekat dalam ingatan.
 Selepas selesai hafal harian kita, hendaklah kita mengulang baca semula dengan melihat mushaf.
 Ulang sebanyak 15 kali, paling kurang, dengan mata kita fokus kepada halaman mushaf. Tanpa mengalihkan pandangan kita ke tempat lain.
 Dalam rakaman diskusi buku ‘Apabila Tuhan Berbicara’ oleh Ustaz Abdullah Bukhari, beliau kongsi tentang petua berkaitan hafalan al-Quran.
 Selepas khatam hafalan al-Quran, 10 tahun pertama adalah masa yang amat kritikal. Seorang penghafal perlu terus murajaah atau mengulang hafalannya.
 Jika gagal mendisiplinkan diri dalam mengulang tempoh 10 tahun selepas khatam hafalan ini, maka hafalan akan hilang sehingga terpaksa menghafal semula.
 Ada pelbagai cara murajaah atau mengulang hafalan yang boleh kita dilakukan. Satu cara yang pernah saya pelajari adalah salah satunya dengan membaca 1/7 hafalan setiap hari. Dengan itu dalam masa seminggu, kita akan berjaya khatam semua hafalan kita.
 Sekiranya hafalan kita masih sedikit seperti 1 atau 2 juzuk, jika dapat mengulang 1 juzuk sehari tanpa rasa bosan, maka itu lebih baik. Lebih banyak kita mengulang, maka hafalan kita akan lebih kukuh.

12. Manfaatkan Bulan Ramadhan.
 Apabila menjelang bulan Ramadhan, usaha untuk lebih dekatkan diri kita dengan al-Quran. Para ulama, apabila menjelang Ramadhan mereka akan beri fokus yang khusus kepada al-Quran.
 Memakmurkan bulan Ramadhan dan mengkhatamkan al-Quran padanya adalah Sunnah Nabi Muhammad SAW. Setiap Ramadhan malaikat Jibril AS turun untuk bertadarus al-Quran dengan baginda SAW.
 Dalam bulan yang berkat ini, dalam keadaan perut yang kosong dan tidak banyak makanan, biasanya minda akan menjadi lebih tenang untuk menghafal al-Quran.
 Dengan banyaknya gandaan pahala pada bulan Ramadhan, sangat rugilah sesiapa yang mengabaikan al-Quran pada bulan yang mulia ini.

13. Fahami Al-Quran.
 Apabila menghafal al-Quran, cuba fahami ayat al-Quran yang kita hafal.
 Dengan memahami, proses menghafal jadi lebih mudah. Kita juga mudah mengingati susunan ayat yang dihafal, terutamanya bagi ayat yang berbentuk kronologi cerita.
 Jika berpeluang belajar ilmu Bahasa Arab, nahwu dan sharaf dan ilmu lainnya. Penguasaan ilmu Bahasa Arab boleh ini memang amat membantu.
 Di negara Arab, pernah antara mereka yang menghafal 30 juzuk dalam tempoh beberapa bulan sahaja, kerana mereka faham bahasa Arab yang merupakan bahasa al-Quran.
 Amat rugilah sekiranya kita hanya menghafal dengan mengenal huruf, kalimah dan ayat, namun tidak memahami makna ayat al-Quran. Banyak hikmah dan ilmu yang dapat kita pelajari daripadanya. Memahaminya adalah kunci menguasai ilmu Islam.

14. Tulis atau Salin.
 Menyalin al-Quran antara kaedah yang berkesan dalam menghafal.
 Saya pernah menonton di Youtube, rancangan Traveller with The Quran, pengacaranya Shaikh Fahad al-Kandari. Dalam satu episod, dipaparkan di Maghribi atau Morocco, mereka amalkan kaedah ini.
 Di Maghribi, sesiapa yang mahu menghafal 30 juzuk al-Quran, maka dia hendaklah menulis 30 juzuk itu dengan tangan sendiri. Mereka menghafal daripada tulisan tangan sendiri dan tidak melihat mushaf bercetak.
 Dengan menulis al-Quran, kita akan lebih fokus dan lebih alert terhadap tanda-tanda baca dan huruf bagi ayat yang kita hafal, berbanding semata-mata membacanya untuk menghafal.
 Menulis ayat al-Quran mampu meransang minda separa sedar kita, agar ayat-ayat al-Quran yang dihafal lebih mudah meresap ke dalam ingatan kita.

15. Dengar Bacaan Al-Quran.
 Ada waktu kita mungkin tidak dapat membaca al-Quran, kerana ada keuzuran atau disebabkan sakit tekak dan seumpamanya. Apabila ini berlaku, bertenang dan tukarkan aktiviti kita buat sementara dengan mendengar bacaan al-Quran.
 Dapatkan rakaman al-Quran daripada para Qariy atau pembaca al-Quran yang elok dan baik bacaannya untuk kita dengar dan ambil manfaat.
 Jika kita mempunyai Qariy kegemaran dengan suara yang merdu, boleh juga kita meniru lenggok bacaannya. Itu akan membuatkan usaha kita menghafal al-Quran menjadi lebih seronok.
 Pada saat ini ada aplikasi al-Quran yang boleh kita install dalam telefon pintar dan mainkan beberapa ayat yang kita kehendaki secara berulang kali.

Rasulullah SAW bersabda: 

“(Pada hari Kiamat kelak) akan diseru kepada ahli al-Quran: “Bacalah dan teruslah naik, bacalah dengan tartil seperti yang engkau telah membaca dengan tartil di dunia, kerana sesungguhnya tempatmu adalah pada akhir ayat yang engkau baca!” 
(Musnad Ahmad, 11/404)

16. Baca Dalam Solat.
 Di antara waktu yang terbaik dalam mengulang dan mengelakkan lupa adalah dengan baca surah dan ayat kita telah hafal dalam solat.
 Sekiranya kita terlupa atau ragu-ragu ketika solat, pastikan kita ingat masalah itu dan rujuk mushaf sebaik sahaja kita selesai solat dan perbaiki hafalan kita.
 Misalnya, hari ini kita telah menghafal 5 ayat pada waktu subuh. Apabila masuk waktu Solat Maghrib dan Solat Isyak, bacalah yang kita hafal apabila menjadi imam dalam solat.
 Jika tidak berpeluang menjadi imam solat, bacalah ia dalam solat sunat, terutama ketika Solat Tahajjud.
 Membaca dalam solat juga akan membuatkan solat menjadi lebih seronok dan menyenangkan.

17. Jadilah Al-Quran Yang Berjalan.
 Al-Quran diturunkan bukan semata dibaca dan difahami, ia adalah untuk diamal dalam hidup kita.
 Jadikan al-Quran sebagai manual atau panduan hidup untuk mendapat redha Allah SWT.
 Apabila kita beramal dengan al-Quran, ia akan membela kita di akhirat kelak. Apabila kita menyanggahi al-Quran, walau kita menghafalnya, nanti ia akan menjadi hujah ke atas kita.
 Jangan menjadi seperti burung kakak tua yang mengulang-ngulang satu kalimah, namun ia tidak memahaminya apatah lagi mengamalkannya.
 Usahakan baca, hafal, faham dan amal dalam hidup kita. Jadilah The Walking Quran atau al-Quran yang berjalan dan hidup di tengah masyarakat.

18. Ajarkan Al-Quran.
 Nabi Muhammad SAW menyatakan, sebaik-baik manusia adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya.
 Apabila kita mengajar al-Quran, kita akan lebih faham terhadap al-Quran. Banyak ilmu baru dan perkara yang mungkin kurang kita fahami akan kita perolehi. Ini berdasarkan pengalaman para pengajar al-Quran.
 Mengajar al-Quran dengan orang lain, ia akan menjadi pahala yang mengalir, meskipun kita hanya mengajarkan kepadanya 1 ayat atau 1 surah pendek.
 Bagi ibubapa, mengajarkan anak-anak al-Quran adalah satu peluang besar untuk meraih pahala yang banyak dan sentiasa mengalir. Setiap kali anak-anak membaca al-Quran, dalam solat dan diluar solat ibubapa akan dapat pahala.

Allah SWT berfirman: 

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah al-Israa’: 82)

19. Utamakan Kualiti Hafalan.
 Dalam menghafal, utamakan kualiti hafalan berbanding cepat habis hafalan. Pastikan hafalan kita melekat dengan kukuh, sebelum memulakan hafalan berikutnya.
 Yang penting bukan berapa cepat kita hafal, tetapi sejauh mana kualiti hafalan al-Quran kita.
 Pastikan kita menghafal dan membaca ayat atau surah hafalan mengikut hukum tajwid yang betul. Bukan sekadar baca pantas, namun hukum tajwid dalam pembacaan kurang dititik beratkan.
 Sedikit yang kita hafal dan kukuh, lebih banyak daripada banyak yang kita hafal tetapi kurang kukuh.
 Mula dengan menghafal sedikit-sedikit dahulu. Nanti, insya-Allah, kita akan dapat menghafal banyak. Seperti belajar berenang, kita mula di tempat cetek dahulu, jangan terus ke laut dalam.
 Nabi Muhammad SAW menyatakan dalam hadis riwayat al-Bukhari, amalan (sunat) yang paling disukai Allah adalah yang dibuat secara berterusan walaupun sedikit.
 Hafalan sedikit demi sedikit yang kita buat tetapi berterusan itu lebih baik bagi kita, daripada kita menghafal banyak dalam satu masa tetapi tidak berterusan.
 Misalnya, menghafal al-Quran sebanyak 3 baris setiap hari secara berterusan. Itu lebih baik daripada kita hafal 3 muka surat dalam sehari, tetapi jarang-jarang dilakukan.
 Demikian juga, murajaah atau mengulang hafalan sedikit demi sedikit dengan berterusan setiap hari, itu lebih baik daripada kita mengulang banyak hafalan, tetapi jarang-jarang, seperti sebulan sekali.
 Namun, jika kita dapat melakukan murajaah dan menghafal dengan jumlah yang banyak tanpa jemu dan melakukannya secara konsisten, pastinya itu lebih baik.

20. Bersederhana Dalam Usaha.
 Dalam usaha menghafal al-Quran kita tidak boleh begitu memanjakan diri dan tidak boleh juga terlampau memaksa diri.
 Apabila kita tidak dapat mencapai target harian atau minggu dalam menghafal, kerana ada komitmen lain, janganlah rasa begitu kecewa dan tertekan.
 Jangan fikir negatif apabila kita kurang capai target harian. Positifkan minda kita dan terus berusaha dalam menghafal.
 Ingat, usaha menghafal al-Quran bukan seperti graf yang sentiasa naik dengan lancar. Ada turun naiknya juga. Apa yang penting, kita usaha ia dapat kedudukan meningkat dalam jangka masa panjang.
 Sekiranya kita tidak belajar di Pusat atau Ma’had Tahfiz dan bekerja atau belajar dalam bidang lain, saya fikir, tidak ada salahnya kita mengambil masa yang lama untuk mengkhatamkan usaha menghafal al-Quran, meskipun sehingga memakan masa lebih 10 tahun. Apa yang penting usaha menghafal itu ada.

21. Jangan Putus Asa.
 Apabila kita berusaha menghafal al-Quran, iblis dan syaithan akan berusaha untuk menggagalkan usaha kita. Dia akan kirim pelbagai godaan agar kita tersasar.
 Menghadapi pelbagai godaan itu pastinya tidak mudah, tetapi ingatlah, di sebalik kesusahan menghadapinya ada ganjaran yang amat besar buat diri kita.
 Menghafal al-Quran, bukanlah usaha kosong. Ia adalah pelaburan. Kita laburkan masa, tenaga dan usia kita dunia, di akhirat nanti kita akan menikmati pulangannya.
 Menghafal al-Quran memerlukan persediaan daripada segi mental dan fizikal bagi seseorang penghafal al-Quran.
 Apabila kita rasa hendak mengalah dan berputus asa, bayangkan betapa banyaknya keuntungan yang bakal terlepas daripada diri kita dan betapa gembira iblis dan syaithan melihat kita kalah.
 Kita tidak boleh mengalah. Teruskan berusaha!

22. Raikan Kejayaan Kecil.
 Tidak perlu tunggu selesai menghafal 30 juzuk untuk meraihkan kejayaan kita. Ia mungkin terlalu jauh sehingga kita merasa lelah.
 Raikan kejayaan-kejayaan kecil yang kita capai dalam usaha menghafal al-Quran. Misalnya, apabila berjaya menghafal 1 juzuk al-Quran, raikannya dengan berikan diri kita ganjaran atau hadiah.
 Mungkin kita mahu ganjarkan diri dengan makan malam bersama keluarga bagi meraikannya, atau berikan diri kita sebuah pakaian baru atau telefon pintar atau perkara-perkara yang sesuai dengan keadaan kita.
 Mengamalkan perkara ini ia boleh membantu kita untuk mendorong diri sendiri agar lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh memburu kejayaan menghafal al-Quran 30 juzuk, insya-Allah.
 Berdasarkan kajian pakar psikologi, apabila sesuatu ganjaran diberikan pada seseorang selepas melakukan sesuatu perbuatan, maka mereka akan bersemangat dan cenderung untuk mengulangi semula perbuatan tersebut sehinggalah ia menjadi tabiat yang berlaku tanpa rasa berat dan rasa terpaksa.
 Meraihkan kejayaan kecil, mampu membentuk tabiat menghafal al-Quran yang berkesan dalam diri kita.

Kredit kepada : Penulis 22 Petua Mudah Hafal Al-Quran: SUHILI NAIN