Pages

Thursday, December 26, 2019

Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :
Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;
 
1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.
 
Contohnya;
i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.
iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.
 
2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.
 
Contohnya:
i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;
ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;
iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;
iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.
 
3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.
Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
 
Contohnya:
i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;
ii. Berpakaian yang menjolok mata;
iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;
iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.
 
4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.
 Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.
 
Contohnya:
i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;
ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;
iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;
iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.
 
5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.

Panduan Jika Berlaku Kematian Dalam Keluarga

Bila, di mana dan bagaimana cara kematian kita adalah rahsia Allah SWT. Sebagai hamba-Nya wajib untuk kita membuat persediaan menghadapi kematian ini. Paling utama sudah tentu amalan namun tak kurang penting adalah cara menguruskan kematian. Ini kerana ramai yang tidak tahu apa perlu dilakukan bila ada kematian terutama jika melibatkan ahli keluarga terdekat dan berlaku di rumah sendiri. Sebagai panduan perkara berikut perlu kita tahu.

Persediaan Sebelum :

  • Simpan nombor telefon ahli jawatankuasa masjid.
    Boleh juga ambil tahu nama-nama AJK masjid, yang lebih baik lagi kenal dan cam wajah-wajah mereka.
  • Menjadi ahli khariat kematian samada di surau berdekatan rumah/masjid.Ini bagi memastikan bayaran pengurusan jenazah dari awal seperti urusan memandikan, mengkafankan sehinggalah selamat dikebumikan, boleh didahulukan oleh pihak masjid.

Persediaan Selepas Berlaku Kematian :

1. Jangan cemas.Bertenang hadapi kematian.
2. Maklumkan kepada ahli jawatankuasa masjid terdekat. InsyaAllah orang masjid akan membantu uruskan jenazah.
3. Hubungi saudara mara dan ahli keluarga terdekat untuk memaklumkan kematian.
4. Sementara itu, pejamkan kedua-dua mata arwah dan ikat kedua-dua rahangnya menggunakan kain agar mulutnya tidak terbuka.Sapu sedikit minyak bayi di kelopak mata arwah untuk melembutkannya dan kemudian cuba rapatkan mata arwah jika masih terbuka.
5. Begitu juga dengan setiap tulang-tulang sendinya.Sapu sedikit minyak pada kedua-dua siku untuk lembutkannya kemudian letakkan kedua-dua tangan di atas          perut.
6. Letakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perutnya agar ia tidak kelihatan kembung.
7. Disunatkan agar ditanggalkan seluruh pakaiannya dan menutupnya dengan kain yang nipis.
8. Selimutkan arwah dengan kain yang dapat menutup seluruh jasad dari kepala hingga kaki.
9. Letakkan jenazah di tempat yang lebih tinggi daripada lantai seperti di atas tilam serta menghadapkannya ke arah kiblat.
10. Rehatlah dan cubalah untuk tidur dulu sementara menunggu subuh jika kematian berlaku seawal jam 12 atau 1 pagi.
11. Dapatkan pengesahan kematian dari doktor klinik/hospital.
12. Bila dapat surat pengesahan tersebut baru buat laporan di balai polis berhampiran.
13. Polis kemudiannya akan keluarkan Permit Pengkebumian/surat mati untuk urusan pengkebumian jenazah.
14. Pihak masjid yang akan menghubungi penggali kubur untuk menyediakan tempat, begitu juga urusan kain kapan dan sebagainya.

INFO EKSTRA!

Terdapat dua perkara yang perlu diambil perhatian oleh ahli waris jika si mati meninggalkan harta. Pertama adalah membersihkan harta peninggalan si mati dan kemudian mengenalpasti siapakah mereka yang layak menerima harta warisan si mati.Sebelum harta warisan diagih-agihkan, ianya perlu dibersihkan terlebih dahulu dari perkara-perkara yang masih diperlukan atau mempunyai kewajipan ke atas si mati.

Perkara tersebut ialah:

– Menolak perbelanjaan penyelenggaraan dan pengkebumian jenazah. Contohnya membeli kain kafan, menggali kubur, sewa kereta jenazah, upah kepada yang memandikan dan sebagainya.
– Menyelesaikan hutang si mati sama ada hutang kepada Allah dan hutang sesama manusia. Contoh hutang kepada Allah adalah seperti kifarat, nazar, haji dan lain-lain yang belum sempat ditunaikan oleh si mati.
– Melaksanakan wasiat si mati. Wasiat mestilah dipastikan tidak melebihi 1/3 daripada harta.
– Tuntutan harta sepencarian. Harta sepencarian perlulah di nilai dan dikembalikan kepada pasangan si mati atau mereka yang mempunyai kepentingan terhadap sesuatu harta atau asset yang ditinggalkan.
– Selesai keempat-empat urusan di atas, barulah baki harta boleh di agih-agihkan kepada ahli waris yang berhak.
Sumber: Blog Ustaz Saifudin & Kewangan Islam

Saturday, December 14, 2019

Laungan azan, mengapa perlu kuat?

Mengapa azan harus dikumandangkan kuat ? Pakai speaker pula .. Apa tidak mengganggu yang lain termasuk non-Muslim ?

Adalah teman saya, yang kebetulan non-Muslim .. bertanya kepada saya .. “ Kenapa kalau azan harus dibunyikan kuat-kuat dengan speaker pula ? ”

Saya yang bukan ahli agama kemudian berpikir sejenak mencari jawapan yang mudah dicerna dengan menjawab seperti ini ..

“ Bro azan itu adalah panggilan solat .. namanya panggilan tidak mungkin dengan cara yang sama seperti berbicara atau berbisik-bisik ”

Teman saya membalas: " Tapi kan orang-orang sekitar tidak semuanya muslim ?”

Saya jawab lagi : “ Benar bro .. jika kita sekarang sedang berada di lapangan terbang .. kita akan dengar announcement memberikan panggilan untuk boarding ?

Apakah kamu juga tidak bertanyakan kepada mereka mengapa membuat panggilan boarding untuk pesawat² lain dengan kuat padahal bukan panggilan untuk pesawatnya ? ”

Dia tersenyum namun membalas lagi : “Tapi bukankah semua orang sudah tahu dengan kemudahan dan teknologi moden dapat memberitahu mengenai waktu dan solat apa .. tanpa harus melaungkan azan ? "

Saya kemudian menjawab : “ Ya setiap penumpang juga sudah tahu jadual penerbangannya sejak membuat tempahan tiket lagi .. memegang tiket dan kemudian check-in .. sudah tercetak jadual berlepas di boarding pass .. sudah masuk ruang tunggu .. tapi pihak Penerbangan masih membuat panggilan boarding bukan ?

Dan ada satu hal lagi mengapa azan harus dikumandangkan .. itu bukan hanya sebagai penanda sudah masuk waktu solat tapi benar-benar panggilan solat .. kerana kami harus menyegerakan solat ..

" Sama juga seperti semua penumpang harus segera masuk pesawat setelah panggilan boarding .. walaupun masih ada waktu untuk naik pesawat sampai pintu pesawat dtutup "

Kali ini senyumnya bertambah lebar... lalu dia segera memeluk saya sambil menepuk-nepuk bahu saya dan berkata “Superb .. I got it bro “

Noted ! Thanks bro 😁

Masih banyak orang tidak rela ketinggalan pesawat dibanding ketinggalan solat .. Bahkan lebih rela menunggu pesawat yang belum datang dibandingkan menunggu azan datang ..

Ayuh mari kita share agar mereka bukan sahaja dapat memahami kenapa perlunya azan dilaungkan tetapi juga agar terbuka pintu hatinya .. Aamiin Aamiin Aamiin Allahumma Aamiin Ya'Rabbal'Alaamiin 😇

Hayya 'Alash Solah = Ayuh Solat ..

Hayya 'Alal Falah = Ayuh menuju kejayaan ..

Solat adalah jalan kejayaan dunia akhirat ..

Wassalam perkongsian

#Islam_Itu_Indah 😇

Sunday, December 08, 2019

Kencing; Adab dan Kesannya

Kencing atau bahasa halusnya buang air kecil ini bukanlah suatu hal yang asing lagi bagi umat manusia. Setiap manusia melakukan aktiviti ini untuk mengeluarkan sisa-sisa metabolisme tubuh (mengeluarkan kotoran tubuh). Dalam melakukan aktiviti inipun kita dituntut melakukannya dengan betul dan beradab.
Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah radhiyallahu ”anha, di mana beliau berkata,“Siapa yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW kencing sambil berdiri, jangan dibenarkan. Beliau tidak pernah kencing sambil berdiri.”
Dari Aisyah ra. berkata bahawa Rasulullah SAW tidak pernah kencing sambil berdiri semenjak diturunkan kepadanya Al-Quran.
Secara perubatan kencing berdiri adalah penyebab utama penyakit batu karang pada semua penderita penyakit tersebut dan merupakan salah satu penyebab penyakit lemah syahwat kepada sebahagian lelaki.
Dari segi agama, kebanyakan orang yang biasanya kencing berdiri kemudian mereka akan mendirikan solat, ketika akan rukuk atau sujud maka terasa ada sesuatu yang keluar dari kemaluannya, itulah sisa air kencing yang tidak habis terpancut ketika kencing sambil berdiri, apabila hal ini terjadi maka solat yang dikerjakannya tidak sah kerana air kencing adalah najis dan salah satu syarat sahnya solat adalah suci dari hadas kecil maupun hadas besar.
Umumnya kita memandang ringan terhadap cara dan tempat buang air, mungkin kerana keadaan tempat dan waktu yang mengharuskan (terpaksa) untuk kencing berdiri tanpa menyangka keburukannya dari sisi sunnah dan kesihatan. Orang terdahulu mempunyai budaya melarang anak kencing berdiri sehingga kita sering mendengar pepatah “Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”, kerana memang terdapat efek negatif dari kencing berdiri.
Kebiasaan orang kencing berdiri akan mudah lemah batin, kerana sisa-sisa air dalam pundi-pundi yang tidak habis keluar menjadikan kelenjar otot-otot dan urat halus sekitar zakar menjadi lembik dan kendur. Berbeza dengan buang air secara mencangkung, dalam keadaan bertinggung tulang paha di kiri dan kanan merenggangkan himpitan buah zakar. Ini memudahkan air kencing mudah mengalir habis dan memudahkan untuk menekan pangkal buah zakar sambil berdehem-dehem. Dengan cara ini, air kencing akan keluar hingga habis, malahan dengan cara ini kekuatan sekitar otot zakar terpelihara.
Ketika buang air kencing berdiri ada rasa tidak puas, kerana masih ada sisa air dalam kantong dan telur zakar di bawah batang zakar. Ia berkemungkinan besar menyebabkan batu karang. Kenyataan membuktikan bahawa batu karang yang berada dalam ginjal atau kantong kecil dan telur zakar adalah disebabkan oleh sisa-sisa air kencing yang tak habis terpancut. Endapan demi endapan akhirnya mengkristal/mengeras seperti batu karang.
Jika anda biasa meneliti sisa air kencing yang tak dibersihkan dalam kamar mandi, anda bayangkan betapa keras kerak-keraknya. Bagaimana jika itu ada di kantong kemaluan anda?? Hal ini juga merupakan salah satu yang menyebabkan penyakit lemah syahwat pada lelain selain dari penyebab batu karang.
Sesungguhnya banyak siksa kubur dikeranakan kencing maka bersihkanlah dirimu dari (percikan dan bekas) kencing. (HR. Al Bazzaar dan Ath-Thahawi) Hadis riwayat Ibnu Abbas ra., ia berkata: Rasulullah saw. pernah melewati dua buah kuburan, lalu beliau bersabda: Ingat, sesungguhnya dua mayat ini sedang disiksa, namun bukan kerana dosa besar. Yang satu disiksa kerana ia dahulu suka mengadu domba, sedang yang lainnya disiksa kerana tidak membersihkan dirinya dari air kencingnya.
Kemudian beliau meminta pelepah daun kurma dan dipotongnya menjadi dua. Setelah itu beliau menancapkan salah satunya pada sebuah kuburan dan yang satunya lagi pada kuburan yang lain seraya bersabda: Semoga pelepah itu dapat meringankan siksanya, selama belum kering. (Shahih Muslim No.439)
Demikian hikmahnya Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wa Salam melarang kencing berdiri.Sehingga Nabi Shalallahu ‘Alaihi Wasalam sering mengingatkan dalam sabdanya: “Hati-hatilah dalam masalah kencing kerana kebanyakan siksa kubur dikeranakan tidak berhati-hati dalam kencing”.
Maka ada baiknya kita belajar adab-adab dan sunnah-sunnah di kamar mandi berikut agar kita banyak mendapatkan manfaat baik di dunia (kesihatan) maupun di akhirat (agama) yang telah diajarkan Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wasalam:
Buang air secara mencangkung (tidak berdiri jika tidak terpaksa/darurat). Agar kotoran boleh keluar segera sehingga tidak menjadi penyebab kencing batu maupun lemah syahwat.
Menggunakan alas kaki. Menurut penelitian di Amerika di dalam bilik mandi ada sejenis virus dengan type Americanus yang masuk melalui telapak kaki orang yang ada di bilik mandi tersebut. Dengan proses waktu yang panjang virus tersebut naik ke atas tubuh dan ke kepala merosak jaringan otak yang menyebabkan otak lemah tak mampu lagi mengingat, kabur semua memori otak sehingga nyanyuk. Sandal hendaknya diletakkan di luar bilik mandi, jangan di dalam bilik mandi, kerana semakin kotor, lembab dan tak mengenai saranan kebersihan.
Masuk bilik mandi dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan. Inilah sunnah yang diperintahkan oleh Nabi, dan juga disunnahkan untuk membaca doa sebelum masuk bilik mandi (doa dibaca di luar bilik mandi) dan setelah keluar dari bilik mandi. Berbeza jika kita masuk masjid dan rumah, masuk masjid atau rumah dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.
Beristinja’ dengan air dan dengan tangan kiri. Beristinja’ (bersuci dan membersihkan kotoran) dengan air, bukan dengan tissue atau lainnya kecuali jika tidak ditemukan air ketika dihutan, padang pasir dsb. Boleh gunakan tissue tapi harus dibilas lagi dengan air setelahnya. Syarat kebersihan dan kesucian dari najis menurut syariat adalah hilang warna, hilang bau, dan hilang rasa dari najis tersebut. Beristinja’ juga disunnahkan dengan tangan kiri, inilah pembahagian tugas dari tangan, bagaimana tangan kiri untuk urusan ‘belakang’ sedangkan untuk makan & minum disunnahkan dengan tangan kanan, jangan dicampuradukkaan, tangan yang untuk urusan belakang itu juga untuk makan. Dan Nabi melarang makan & minum dengan tangan kiri.
Jangan merancang/merencanakan sesuatu di bilik mandi. Nabi sangat melarang merencanakan atau membuat suatu rencana/idea/inspirasi di dalam bilik mandi, kerana bilik mandi adalah markasnya syaitan sebagaimana doa kita ketika hendak masuk bilik mandi:
“Allahumma inni a’udzubika minal khubutsi wal khabaits”, Yaa Allah, aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan laki-laki maupun perempuan”. Kerana dikhuatirkan rencana/idea/inspirasi yang didapat berasal dari bisikan syaitan yang kelihatannya baik tapi setelah dijalankan ternyata banyak mudharat/keburukannya.
Begitu juga setelah keluar bilik mandi, baca istighfar dan doa keluar bilik mandi. Secara adab dan budaya pun sangat tidak baik, masa sambil buang kotoran mencari idea/inspirasi atau merencanakan sesuatu yang baik apalagi sesuatu itu menyangkut hajat hidup orang lain.
Disunnahkan juga untuk menyegerakan keluar bilik mandi apabila hajat sudah selesai, bukan bernyanyi-nyanyi apalagi sambil baca buku atau Quran.
Ketika buang air dilarang menghadap atau membelakangi qiblat, apabila lubang bilik mandi menghadap qiblat hendaknya ketika buang air badan agak diserongkan sedikit
Apabila sunnah diamalkan walaupun dalam bilik mandi maka kita ini juga namanya ibadah. Betapa sayangnya setiap hari kita ke bilik mandi beberapa kali tapi tidak mendapatkan pahala ibadah dengan menghidupkan sunnah. Padahal salah satu maksud dan tujuan manusia diciptakan adalah untuk ibadah.

Saturday, December 07, 2019

10 Doa Mustajab Dibaca Selepas Tahiyat Akhir

Dari Ibn Masud Nabi SAW bersabda maksudnya : “Kemudian (selepas tasyahhud akhir) hendaklah memilih daripada doa-doa yang paling dikaguminya”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
1) Doa Mohon Perlindungan Daripada A zab Neraka., A zab Ku bur, Fitnah Kehidupan Dan Kema tian Dan Fitnah Dajjal.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ،
وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّال
Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada a zab neraka jaha nam, daripada a zab ku bur, daripada fitnah kehidupan dan kema tian, dan daripada keja hatan fitnah dajjal.” (Hadis Riwayat Muslim)
2) Doa Ini Sangat Baik Diamalkan Jika Kita Ada Masaalah Hutang.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَفِتْنَةِ الْمَمَاتِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ
Maksudnya, “Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada a zab ku bur, aku berlindung denganMu daripada fitnah Dajjal, aku berlindung denganMu daripada fitnah kehidupan dan kema tian. Ya Allah! Aku berlindung denganMu daripada dosa dan hutang.” (Hadis Riwayat Bukhari)
3) Doa Yang Ini Amat Baik Untuk Melupuskan Sifat Mazmumah Yang Ada Pada Diri Kita.
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْبُخْلِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ الْعُمْرِ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ فِتْنَةِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْقَبْرِ.
Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari bakhil, aku berlindung kepadaMu dari penakut, aku berlindung kepadaMu dari dikembalikan ke usia yang terhina, dan aku berlindung kepadaMu dari fitnah dunia dan sik sa ku bur. (Hadis Riwayat Bukhari)
4) Doa Mohon Diampunkan Dosa Yang Terdahulu.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي, أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ, لاَ إِلهَ إِلاَّ أَنْت
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah bagiku dosa-dosa yang terdahulu, yang terkemudian, yang aku rahsiakan, yang aku nyatakan, yang aku melampau, dan yang Engkau lebih mengetahui daripadaku tentangnya. Engkaulah yang mendahulukan dan mengemudiankan sesuatu, tiada illah sebenar melainkan Engkau.” (Hadis Riwayat Muslim no. 1762).
5) Doa Mohon Ampun Kerana Menzalimi Diri Sendiri.
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْماً كَثِيراً وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ. فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku telah menza limi diriku dengan kezali man yang banyak. Tiada sesiapa yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, maka ampunilah bagiku dengan keampunan dariapda-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau maha pengampun lagi maha penyayang.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 6181 dan Muslim no. 6819).
6) Doa Yang Amat Baik Untuk Memohon Allah Jadikan Kita Hambanya Yang Bersyukur Dan Sentiasa Mengingatinya.
اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ.
Maksudnya, “Ya Allah! Berilah pertolongan kepadaku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepadaMu dan ibadah yang baik untukMu” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasaie)
7) Doa Ini Untuk Memohon Allah Mudahkan Urusan Hisab / Perbicaraan Kita Di Mahkamah Allah Di Akhirat Nanti.
اللهم حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرَا
Maksudnya, “Ya Allah! Hitunglah aku dengan perhitungan yang mudah.” (Hadis Riwayat Ahmad)
8) Doa Ini Adalah Doa Taubat. Sesuai Sangat Dibaca Selepas Membaca Tahiyyat Akhir Dalam Solat Taubat.
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ ، وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku telah banyak menza limi diriku sendiri. Tiada yang dapat mengampunkan dosa-dosa kecuali Engkau, maka ampunilah diriku dengan keampunan yang Engkau miliki. Rahmatilah aku. Sesungguhnya Maha Pengampun dan Penyayang. (Hadis Riwayat Bukhari)
9) Doa Mohon Ampun Dosa
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ يَا اللَّهُ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ ، أَنْ تَغْفِرَ لِي ذُنُوبِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya, “Ya Allah! Aku memohon kepada Mu. Ya Allah Yang Maha Esa Yang… Yang Tidak Mela hirkan dan Tidak Dila hirkan, dan tidak ada yang setara dengannya, Engkau ampunilah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Penyayang (Hadis Riwayat Abu Daud)
10) Doa Memohon Dimasukkan Ke Syurga Dan Diselamatkan Dari Neraka
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya, “Ya Allah! Sesungguhnya aku mohon kepada-Mu, agar dimasukkan ke Syurga dan aku berlindung kepada-Mu dari Neraka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
#Semoga perkongsian ini menjadi asbab kita semua mendapat redha dan rahmat Allah SWT dan terlepas dari sik sa ku bur, sik sa mahsyar semasa hisab dan sik sa neraka.
Sumber: nabilahumaira.com

Sunday, December 01, 2019

Ditimpa Musibah, Bagaimana Menanganinya

Menurut Ibn Qayyim dalam kitab Zad al-Ma'ad musibah yang berlaku boleh diringankan dengan enam cara :

1. Mengikut petunjuk Allah dan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya

Firman Allah S.W.T

"Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya kejalan keselamatan, dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka kejalan yang lurus." (Surah al-Maidah ayat 16)

Al-Quran merupakan sumber utama ajaran Islam, di mana di dalamnya terkandung hidayah dan petunjuk bagi setiap muslim dalam menjalani kehidupan agar selamat dan memperoleh kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Ada beberapa macam hidayah al-Quran kepada manusia iaitu mengeluarkan manusia dari kegelapan menuju cahaya Ilahi.

Ajaran al-Quran membimbing manusia agar keluar dari kegelapan yang berupa kekafiran, kesesatan dan kebodohan menuju cahaya Ilahi yang berupa keimanan, keislaman dan ilmu pengetahuan.

Kita perlu mengikhlaskan beribadah kepada Allah S.W.T. Ikhlas selalunya lahir dari hati yang luhur dan mengharapkan redha Allah S.W.T. semata-mata.

Inilah akan menjadi kunci kesempurnaan dan kejayaan segala amal. Allah S.W.T. akan menerima perbuatan atau amal yang dilakukan dengan ikhlas.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran, oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

Ingatlah hak yang wajib dipersembahkan kepada Allah ialah segala ibadat dan amalan yang suci bersih dari segala rupa syirik.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :

"...Kemudian Allah bertanya kepada orang yang beribadat dengan ikhlas. Dia menjawab, “Dengan kemuliaan dan ketinggianMu, Engkau lebih tahu apa yang aku kehendaki. Aku menghendaki zikir kepadaMu dan mengharap redaMu.”

Allah berfirman maksudnya : “Benar hamba-Ku.”

Dia pun dihantar ke syurga.

(Hadis Riwayat Thabrani)

2. Mencari ilmu yang syar'ie

Mencari ilmu yang syar'ie perlu menghadiri majlis ilmu dan tazkirah yang di adakan di masjid atau di surau.

Mendengar dengan khusyuk penyampaian ilmu daripada guru-guru yang arif.

Nabi S.A.W. bersabda yang maksudnya,

”Barangsiapa menuntut ilmu bererti menuntut jalan ke syurga” (Hadis Riwayat Muslim)

Imam Asy-Syatiby di dalam kitab Al Muwafaqot,

“Ilmu yang muktabar menurut syara' adalah ilmu yang mendorong pemiliknya untuk beramal, yang tidak membiarkan pemiliknya mengikuti hawa nafsunya bagaimanapun ia, bahkan ia mengikat pengikutnya dengan ilmu tersebut, yang membawa pemiliknya mematuhi aturan-aturan-Nya suka atau tidak suka”

3. Bertaubat daripada dosa-dosa

Sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tidak ada permohonan yang lebih besar dari permohonan keampunan dari segala noda dan dosa.

Setiap satu dosa yang kita kerjakan akan terjadi satu titk hitam pada hati-hati kita. Apabila terlalu banyak dosa yang dilakukan secara sedar atau tidak maka titik-titik hitam itu akan menjadi banyak hingga hati itu menjadi hitam pekat. Apabila hati sudah menjadi hitam maka selaput inilah yang menjadi hijab kepada Allah S.W.T

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu siang untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu malam, dan membuka tangan selebar-lebarnya pada waktu malam untuk menerima taubat mereka yang melakukan dosa pada waktu siang. Hal ini berkekalan sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat."

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud :

“Barangsiapa melazimi meminta ampun kepada Allah, nescaya Allah akan menjadikan baginya jalan keluar dari setiap kesempitan dan menjadikan baginya jalan lapang dari setiap kesusahan serta Allah memberi rezeki kepadanya dari punca yang tidak disangka-sangka."

4. Mengamalkan zikir yang berterusan

Sifat orang-orang mukmin lidahnya sentiasa basah berzikir kepada Allah S.W.T. Dengan berzikir hati akan menjadi tenteram, bahagia dan damai kerana perhubungan ketika itu adalah perhubungan terus kepada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T.

"Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Surah Al Imran Ayat 191)

Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya :

“Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api Neraka Jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan daripada api Neraka Jahanam”

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Nabi S.A.W. bersabda maksudnya :

"Sesungguhnya Allah s.w.t Yang Maha Memberkati lagi Maha Tinggi memiliki para malaikat yang mempunyai kelebihan yang diberikan oleh Allah S.W.T.  Para malaikat selalu mengelilingi bumi. Para malaikat sentiasa memerhati majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada satu majlis yang dipenuhi dengan zikir, mereka turut mengikuti majlis tersebut di mana mereka akan melingkunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit."

5. Berbuat baik kepada semua makhluk.

Menyebabkan dada menjadi lapang. Sifat orang mukmin akan berbuat baik kepada semua makhluk Allah S.W.T. di muka bumi. Samaada kepada manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Terutama kepada kedua ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga dan anak yatim dan fakir-miskin.

Allah S.W.T. berfirman:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan dari bisik-bisik mereka, kecuali siapa yang menyuruh bersedekah, kebaikan, atau mendamaikan antara manusia. Dan barangsiapa yang melakukan hal itu dengan mencari redha Allah, maka Kami akan memberikannya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa ayat 114)

Allah ‘Azza wa Jalla mengkhabarkan bahawa semua hal di atas adalah bagi sesiapa pun yang merealisasikannya, serta kebaikan akan mengundang kebaikan dan menolak keburukan.

Juga Allah ‘Azza wa Jalla janjikan bagi mukmin yang mengharap pahala-Nya, maka Allah akan memberikan pahala yang besar. Termasuk dari pahala yang besar itu adalah hilangnya kerisauan, kesusahan, kekeruhan hati, dan seterusnya.

6. Melakukan mujahadah

Dengan melakukan mujahadah seseorang boleh mengikis sifat-sifat negatif yang ada pada dirinya. Pada adatnya tidak mungkin kita sampai pada lapangan makrifat terhadap Allah SWT apabila kita tidak mahu bermujahadah, tidak mahu melihat kelemahan-kelemahan yang terkandung dalam diri kita, lebih-lebih lagi kelemahan itu berupa penyakit hati.

Oleh itu Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Orang-orang yang berjuang di jalan Kami, sesungguhnya Kami akan memberi petunjuk mereka itu pada jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang membuat kebaikan.”

“Mujahadah” yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah memerangi hawa nafsu yang mengatasi segala kelemahan diri untuk mencapai dengan sempurna keredaan Allah SWT.

Tegasnya, orang-orang yang mengerjakan sesuatu yang tidak baik bererti ia mendatangkan kekurangan pada peribadinya sendiri. Umumnya tabiat manusia tidak menghiraukan keaiban-keaiban tetapi mengutamakan pada hal-hal yang dianggap baik.

Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri kita sendiri.

Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak itu baik atau jahat.

Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu melaksanakannya.

Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu kerana sentiasa mendapat bisikan syaitan, syaitan tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya.

Apabila hati sentiasa berhubungan dengan Allah S.W.T, berdoa dan bermunajat, Allah S.W.T. akan meringankan segala bebanan dan penderitaan kita. Musibah yang datang juga akan diringankan oleh-Nya.

Oleh it marilah kita sama-sama amalkan enam perkara yang tersebut di atas semoga kita menjadi hamba-hamba Allah yang dikasihi dan diredhai-Nya.

Orang mukmin sentiasa redha dengan apa saja ujian atau musibah yang berlaku keatas dirinya. Sifat redha dan sabar ketika menghadapai suasana genting adalah akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah S.W.T...

Wallahu A'lam.

•══◎◎♡◎◎══•

 رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا

Ya Allah, ampunilah aku dan kedua orang tuaku, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya, sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil. Aamiin.