Pages

Awal Agama Mengenal Allah

Islam adalah agama ilmu, maka orang-orang yang berilmu mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Islam. Kedudukan mereka tinggi kerana mereka mengenali Wujud yang tertinggi, iaitu Wujud yang hakiki, dan pengenalan itu menimbulkan sifat takut dan gerun kepadaNya (Fatir: 28). Al-Qur’an menggelarkan mereka ‘ulama’ dengan sebab itu. Justeru, Sayyidina Ali r.a. mengatakan bahawa mengenal Allah itu adalah permulaan agama;kerana tidak mungkinseorang hamba benar-benar mengerjakan ketaatan kepadaNya tanpa mengenali Zat, Sifat dan Perbuatannya. Bahkan mengenal Allah adalah maksud sebenar al-Qur’an, manakala syariat dan ibadat adalah jalan kepadaNya. Pastilah nyata keutamaan maksud dan jalan yang menyampaikan kepada maksud.
                Sekiranya takut kepada Allah itu adalah tanda mengenaliNya maka wajiblah kita fahami bahawa mreka yang tidak takut kepadaNyaitu adalah mereka yang tidak mengenaliNya. Justeru, mereka bukanlah ulama menurut takrifan al-Qur’an, walaupun seluruh manusia menggelarkan mereka ulama. Mereka adalah ulama palsu. Di antara tanda-tanda seseorang itu tidak kenal Allah adalah dia berani bercakap sembarangan tentangNya, persis percakapan kaum yang kafir yang mengikut hawa nafsu, sedangkan kita ditegah dari menuruti hawa nafsu mereka setelah datang kepda kita ilmu, yakni petunjuk al-Qur’an (al-Baqarah: 120). Ulama palsu tidak takut kepada Allah kerana mereka lebih bimbangkan kedudukan dan kemasyhuran mereka di sisi manusia. Demi memastikan kedudukan dan kepentingan diri dan puak yang mereka dokongi, mereka sanggup menyembunyikan kebenaran dan membiarkan kebatilan.
Satu contoh kebatilanyang dimaksudkan itu adalah apa yang dilaporkan dalam sebuah akhbar baru-baru ini bahawa menurut seorangtokoh agama dari Timur Tengah, kalimah Allah adalah milik semua manusia. Sekiranya benarlah itu apa yang tokoh itu katakan maka tidak syak lagi ia adalah suatu kebatilan yang nyata.
Bagaimanakah mungkin dari segi adab untuk kita mengatakan bahawa Nama Allah milik semua manusia sedangkan Allah telah menegaskan dalam al-Qur’an bahawa Nama-nama Yang Indah itu adalah milikNya (al-Hashr: 24), iaitu Nama-nama yang Dia berikan sendiri bagi merujuk kepada ZatNya, oleh itu sesiapapun selain dariNya tidak layak untuk menggunakannya. Justeru, tiada Muslim yang akan memakai nama Allah, al-Rahman, al-Rahim dan al-Jabbar melainkan dia seorang yang benar-benar jahil lagi sesat, dan tiada kerajaan Islam yang akan membenarkan perbuatan seumpama itu dilakukan tanpa tindakan pembanterasan. Yang dibenarkan adalah apabila ditambahdi hadapannya perkataan ‘Abd’ yang bererti ‘hamba’. Maka kita temui nama-nama seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan Abdul Jabbar.
Sekiranya nama itu milik semua manusia sememangnyatiada masalah untuk sesiapapun menggunakannya kerana pemilik sesuatu memang berhak memperlakukan apa sahaja dengan apa yang dia miliki. Demikianlah sangkaan manusia yang jahil terhadap Nama-nama Allah yang suci. Di negara kita ada sebuah syarikat yang menamakan salah satu dari Nama-nama Allah iaitu ‘al-Jabbar’bagi merujuk kepada syarikat dan barang jualannya tanpa sebarang tindakan dari mana-mana pihak. Sekiranya ‘fatwa’ tokoh diatas dijadikan panduan tentulah tiada salahnya perbuatan itu kerana Nama Allah ‘milik’ semua manusia. Sejarah, walau bagaimanapun, menunjukkan bahawa al-Hallaj telah dihukum mati dengan sebab kata-katanya: “Akulah al-Haqq!” Alasannya amat jelas: nama ‘al-Haqq’ itu milik Allah semata-mata, dan ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya bagi merujuk kepada yang selain dariNya. Nasib Hallaj pastilah berbeza sekiranya dia mengatakan: “Ana Abd al-Haqq” (akulah hamba al-Haqq) kerana itu adalah kenyataan yang benar.
Justeru kita mengatakan bahawa yang tidak kenal Allah dan tidak takut kepadaNya sahaja akan mengeluarkan kenyataan sedemikian. Kenyataan itu ternyata selari dengan pandangan kaum yang disebut dalam al-Qur’an sebagai pengikut hawa nafsu. Kenyataan seperti itulah yang dinanti-nantikan oleh puak katholik yang berkeras bahawa kalimah ‘Allah’ adalah milik semua. Justeru, mereka juga ‘berhak’ menggunakan nama itu bagi merujuk kepada sebarang tuhan yang disebut dalam kitab mereka sama ada yang dirujuk sebagai ‘God’ (Allah), ‘god’ (allah), mahupun ‘gods’ (allah-allah).
                Ternyata mereka telah berjaya mengelirukan sebahagian orang Melayu dengan memakai hujah kebebasan beragama.Pada hakikatnya ini bukanlah soal hak kebebasan beragama akan tetapi soal pemalsuan kalimah dan penyelewengan makna. Malang sekali, terlalu ramai dari kalangan Kaum Muslimin yang telah terpedaya kerana berketuakan ulama palsu yang melihat kepentingan politik mengatasi kepentingan agama dan bangsa.

No comments:

Post a Comment