Pages

Sunday, February 02, 2020

Keaslian al-Quran terjaga selamanya

AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW bagi memberi panduan dan petunjuk kepada seluruh manusia.
Allah SWT berjanji untuk memeliharanya dan kerana itu al-Quran tetap terpelihara dan terjamin daripada sebarang perubahan.
Pemeliharaan al-Quran dalam pelbagai bentuk teknologi termasuk fizikal, digital serta hafazan menjadi bukti kukuh bahawa al-Quran tetap terpelihara daripada segala kekurangan dan kesilapan.
Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (al-Quran) dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)
Al-Quran adalah satu kitab mukjizat. Ia diturunkan ketika ada ramai pujangga dan penyair serta ahli sastera bahasa di Tanah Arab.
Ayat al-Quran disusun dengan begitu indah sehinggakan bahasanya tidak dapat ditandingi penyair dan pemuisi Arab pada ketika itu.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan al-Quran, mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu.” (Surah Al-Isra’, ayat 88)
Tidak akan ada makhluk yang mampu malah mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab serupa dengan al-Quran sekalipun digabungkan seluruh manusia dan jin.
Pastinya keupayaan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Maha Pencipta.
Allah SWT mencabar mereka yang masih meragui keaslian al-Quran untuk menghasilkan sepuluh surah yang setanding al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: ‘Ia (Muhammad) yang mereka-reka al-Quran itu!” katakanlah (wahai Muhammad): “(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggillah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah Hud, ayat 13)
Cabaran itu gagal disambut mereka walaupun dalam kalangan musyrikin Quraisy terdapat penyair yang fasih balaghahnya, tukang tilik yang cerdas serta pemidato yang hebat.
Kemudian Allah SWT mengurangkan cabaran hanya kepada satu surah sahaja. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggillah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah al-Baqarah, ayat 23)
Demikian juga firman Allah SWT yang bermaksud: “(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan al-Quran menurut rekaannya. Katakanlah (wahai Muhammad): Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan al-Quran itu dan panggillah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain daripada Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar.” (Surah Yunus, ayat 38)
Walaupun hanya satu surah sahaja, itupun tiada seorang manusia yang berjaya menukilkannya setanding al-Quran. Al-Quran juga adalah satu-satunya kitab yang dihafal keseluruhannya.
Tidak ada satu kitab yang dihafal sepenuhnya melainkan al-Quran. Hafazan al-Quran juga bukan hanya kepada maknanya sahaja, tetapi juga ke atas teks aslinya.
Sehingga kini, hanya kitab al-Quran sahaja yang masih memiliki teks asalnya dalam bahasa Arab sementara kitab lain hanya tinggal terjemahannya sahaja.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin
Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM)

No comments:

Post a Comment