Pages

Sunday, June 20, 2021

Takziah buat Non Muslim

 



Saya kongsikan entri ini sebagai 'santapan' untuk saya dan sahabat-sahabat dalam memenuhi tuntutan thaqafah islam. Seorang kawan pernah bertanya bolehkah kita ucapkan RIP (rest in peace) untuk non muslim. Berikutan pada masa kematian seorang tokoh penyumbang dunia teknologi Apple, Steve Jobs. Mungkin ramai juga orang islam yang sangat menghargai sumbangannya lalu terkeluarlah kenyataan-kenyataan seperti RIP ini.

Hukumnya adalah sedemikian :
Harus bagi orang Islam memberi ucapan takziah kepada orang bukan Islam bahkan sunat hukumnya jika mengharapkan Islamnya. (bagi yang masih hidup)

Apabila si mati orang bukan Islam dan ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarganya yang Islam, lafaznya ialah seperti berikut : Ertinya: “Semoga Allah membesarkan pahalamu dan kesabaranmu dan semoga Allah memberimu penggantinya.”

Akan tetapi HARAM didoakan bagi mayat orang bukan Islam itu dengan memohon keampunan baginya, walaupun ucapan takziah itu ditujukan kepada keluarga si mati yang Islam. Contoh lafaz mendoakan keampunan yang diharamkan bagi mayat orang bukan Islam itu seperti berikut : Ertinya :“Semoga Allah mengampuni si matimu.”

Tidak boleh diucapkan takziah kepada keluarga yang bukan Islam bagi si mati yang Islam itu dengan mendoakannya supaya Allah membesarkan pahala keluarga yang bukan Islam itu. Kerana tiada pahala bagi orang-orang bukan Islam. Tetapi harus diucapkan takziah kepada keluarga bukan Islam itu jika si mati orang Islam dengan lafaz seperti berikut : Ertinya : “Semoga Allah mengampuni si matimu dan membaikkan kesabaranmu.” (Mughni Al-Muhtaj: 1/481-482)

Manakala ucapan takziah bagi ahli keluarga bukan Islam dan si mati yang bukan Islam adalah lebih baik ditinggalkan kerana ianya mendoakan orang bukan Islam dengan berkekalan dan sentiasa dalam kekufurannya.

Sebagaimana penjelasan di atas adalah haram bagi umat Islam mengucapkan takziah kepada ahli keluarga yang bukan Islam dengan mendoakan semoga Allah membesarkan pahala mereka. Begitu juga mengucapkan bagi si mati yang bukan Islam dengan mendoakan keampunan. Kerana mendoakan orang-orang bukan Islam itu ada batasnya.

Hukum Mendoakan Orang Bukan Islam

Adalah haram mendoakan orang bukan Islam sama ada dia terdiri daripada keluarga sendiri ataupun sebaliknya, dengan doa yang berbentuk permohonan keampunan dan seumpamanya yang tidak layak disebut bagi orang bukan Islam. Ianya dilarang sebagaimana firman Allah s.w.t. yang tafsirnya : "Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.” (Surah At-Taubah: 113)

Daripada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa yang berkata yang maksudnya : "Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah s.a.w., dengan tujuan supaya Baginda bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah – sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin – Maka Baginda bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin) semoga Allah memberi hidayah kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Daripada hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa tidak harus mendoakan orang bukan Islam agar mereka mendapat keampunan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Rahmat Allah s.w.t. itu khusus bagi orang-orang yang beriman. Akan tetapi harus bagi kita mendoakan orang-orang bukan Islam itu supaya mendapat hidayah, taufiq serta beriman kepada Allah s.w.t.

Hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. berkata yang maksudnya : “Thufail bin ‘Amr datang kepada Rasulullah s.a.w. seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), Mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka.” Orang-orang menyangka bahawa Baginda akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda bersabda: “Ya Allah! Berikanlah hidayah kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam.” (Hadis riwayat Bukhari)

Sementara hadis yang diriwayatkan oleh Anas r.a. berkata yang maksudnya : “Nabi s.a.w. pernah minta tolong menimba air, lalu ada orang Yahudi yang menimbakan air untuk Baginda. Maka Nabi s.a.w. mendoakannya: “Semoga Allah menjadikanmu tampan selalu.” Maka orang Yahudi itu sehingga meninggal dunia tidak pernah kelihatan uban dikepalanya.” (Hadis riwayat Ibnu as-Sunni)

Doa-doa seperti di atas ini adalah diharuskan. Tetapi mendoakan orang bukan Islam dengan memohon keampunan dan keselamatan daripada azab dunia dan azab akhirat, maka itu adalah haram.

Merujuk kepada soalan kawan saya itu, rest in peace (RIP) itu termasuk dalam doa mohon ampun dari Allah kepadanya. Orang kafir pasti akan diazab oleh Allah didalam kubur dan dihari pembalasan nanti kerana kekufurannya kepada Allah, dan sekiranya kita ucapkan RIP kepadanya seolah-olah kita memohon supaya dosanya diampunkan agar tidak diseksa dan agar dia rehat secara aman dari diseksa. Orang kafir pasti tidak akan rehat dengan aman didalam kubur kecuali dengan izin Allah.

Pada zaman yang semakin giat membangun ini, bermacam pendapat dan pemikiran yang timbul dan berbagai usaha yang dilakukan terutama sekali dalam strategi-strategi untuk melemah atau menjatuhkan umat Islam, sekaligus terhadap agama Islam itu sendiri.

Budaya-budaya seperti merayakan halloween dan valentine’s day, mencurahkan rasa sedih dengan menghidupkan lilin beramai-ramai, bertafakkur atau senyap dalam beberapa minit sebagai mengingati orang yang telah mati atau berkumpul untuk upacara blessing untuk orang bukan Islam yang telah mati dalam upacara remembrance day dan sebagainya. Istilah beramal turut disalahgunakan seperti konsert amal, fun-fair amal dan sebagainya untuk mengaburi mata orang Islam yang kononnya pekerjaan itu adalah usaha yang berkebajikan. Sama ada disedari atau tidak pekerjaan dan acara-acara itu bercampur-aduk dengan berbagai perkara yang membawa kepada kemaksiatan dan dosa.

Hendaklah kita berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara. Berfikir panjang dalam membuat sesuatu keputusan sama ada ianya menyalahi hukum Islam atau tidak. Seperti memperingati kematian orang-orang bukan Islam dan sekaligus mendoakan mereka itu dalam keampunan dan rahmat daripada Tuhan. Perkara inilah yang mesti kita ambil kira kerana ianya sudah jelas dilarang oleh Islam.

No comments:

Post a Comment