BACALAH....

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ *

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ *١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ *٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ *٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ *٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ *٥ كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ *٦ أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ *٧ إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ *٨ أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يَنۡهَىٰ *٩ عَبۡدًا إِذَا صَلَّىٰٓ *١٠ أَرَءَيۡتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلۡهُدَىٰٓ *١١ أَوۡ أَمَرَ بِٱلتَّقۡوَىٰٓ *١٢ أَرَءَيۡتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ *١٣ أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ *١٤ كَلَّا لَئِن لَّمۡ يَنتَهِ لَنَسۡفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ *١٥ نَاصِيَةٖ كَٰذِبَةٍ خَاطِئَةٖ *١٦ فَلۡيَدۡعُ نَادِيَهُۥ *١٧ سَنَدۡعُ ٱلزَّبَانِيَةَ *١٨ كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡۤ وَٱقۡتَرِب۩ *١٩


Monday, June 04, 2012

Pengurusan Jenazah


Menurut hukum syarak, apabila seseorang Islam itu meninggal dunia, wajiblah ia dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan. Kewajipan ini adalah FARDU KIFAYAH.
Sejurus Ajal
2.1 Baca Innalillahi wainnahilaihi raji'uun  
2.2 Sapu matanya supaya pejam dan sunat membaca 
      “Bismillahiwa'ala malatu Rasulillahisallallahu'alaihi wassallam”                             
 2.3 Sapu pada sendi-sendi dengan minyak yang bersih, supaya anggotanya lembut dan tidak
      kejang, kaku supaya ia mudah dimandi dan dikafankan.
2.4 Salin pakaian bersih jika pakaiannya kotor
2.5 Ikat dagu supaya mulut tidak terbuka
2.6 Letak mayat atas tempat tinggi seperti katil atau sebagainya dengan mukanya menghadap
      kiblat.
2.7 Letak benda-benda berat (sekitar 400 gram) ke atas perutnya supaya tidak menjadi kembung.
2.8 Letakkan tangan di atas dadanya seperti 'mengangkat takbir dalam sembahyang' serta
      menutup seluruh tubuhnya dengan kain. 
2.9 Bakar bau-bauan seperti gaharu, kemenyan supaya kawasan sekelilingnya harum.
2.10 Uruskan pengurusan pentadbiran jenazah, perkara-perkara utama ialah :
·         Jawatankuasa masjid /surau / badan kebajikan dan sebagainya.
·         Polis atau hospital
·         Tanah perkuburan
·         Mandi, kafan, sembahyang dan kebumikan.

Hukum Kafan
Hukum syarak mengenai mengkafan mayat diterangkan dalam hadith berikut:
Dari ‘Aishah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. (semasa wafatnya) telah dikafankan dalam tiga helai kain putih ‘sahuli’* dari kapas; tidak mengandungi baju kamis dan tidak juga serban.”**
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semasa hayatnya Rasulullah s.a.w. menerangkan bahawa sebaik-baik pakaian ialah yang berwarna putih (yang melambangkan kebersihan dan kesucian), demikian juga warna kain kafan.
Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Pakailah yang putih dari pakaian kamu, kerana pakaian yang putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu; dan kafankanlah orang mati dari kalangan kamu dalam kain putih juga.”***
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Cara Mengkafan
Menurut huraian ulama, ‘kafan’ yang wajib bagi mayat ialah sehelai kain yang dapat menutup aurat dan membalut tubuhnya.
Boleh digunakan sebarang kain yang biasa dipakai oleh si mati semasa hidupnya tetapi yang afdhal ialah kain putih seperti yang diterangkan dalam hadith yang lalu. Kain kafan, sungguhpun yang wajibnya ialah selapis, namun ‘mayat lelaki’ sunat dikafankan dalam tiga lapisan (tiga potongan kain), tiap-tiap satu dapat menutup seluruh badannya – dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.
Mayat lelaki tidak harus dikafankan dalam kain sutera kerana haram bagi lelaki memakainya semasa hidup. Sebaliknya mayat perempuan boleh dikafan dalam kain sutera ia halal dipakai oleh perempuan. Setengah ulama pula mengatakan makruh hukumnya jika mayat perempuan dikafankan dengan kain sutera kerana perbuatan yang demikian adalah membazir dan kain yang mahal-mahal lebih layak dipakai oleh orang yang hidup.
Jika sukar endapati sebarang kain (kerana keadaan darurat), maka mayat boleh dikafankan dengan sebarang benda yang boleh membalut badan – seperti tikar, daun-daun pokok tanaman dan sebagainya.
‘Mayat lelaki’ juga harus dikafankan dalam lima lapis, iaitu tiga lapis tersebut tadi, ditambah dengan baju dan serban.* (Kerana Ibnu ‘Umar r.a. telah mengkafankan mayat-mayat keluarganya dengan lima lapis termasuk baju dan serban)
‘Mayat perempuan’ pula sunat dikafankan dengan lima lapis**, iaitu kain yang membalut bahagian badannya; antara pusat dan lututnya; kemudian baju kurung; kemudian telekung yang menutup kepala; kemudian dua lapis kain lebar yang dapat membalut seluruh tubuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.*** ‘Mayat khunsa demikian juga.***
‘Mayat kanak-kanak’ sama hukumnya seperti ‘mayat orang dewasa’.***
Belanja kain kafan dan lain-lain berhubung dengannya, hendaklah dari si mati. Kalau ia tidak tinggalkan harta, hendaklah ditanggung oleh warisnya, enda tiada waris, hendaklah ditanggung oleh Baitulmal. Kalau Baitulmal tidak ada, atau Baitulmal ada tetapi sukar endapati perbelanjaan, maka belanja mengkafannya ditanggung oleh orang yang mampu di kawasan itu.****
Jika si mati itu perempuan yang ada suami dan ia tetap taat (tidak menderhaka atau nusyuz pada suami), maka belanja mengkafannya ditanggung oleh suaminya yang mampu, sekalipun isteri yang mati itu kaya, atau telah diceraikan tapi dalam edah talaq yang boleh dirujuk, atau diceraikan dengan talaq yang tidak boleh dirujuk tetapi ia dalam keadaan mengandung.****
Mandi Jenazah
Hukum Mandi
Hukum syarak mengenai mandi mayat diterangkan dalam hadith berikut, yang bermaksud :
Dari Umu 'Athiah al-Ansariah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat kami ketika anak perempuannya* wafat lalu bersabda: "Mandikanlah dia dengan tiga kali, atau lima kali atau lebih dari itu - jika kamu pandang elok tambahan yang demikian - iaitu dengan air, dan serbuk daun bidara, dan campurkan sedikit kapur barus pada kali yang akhir, setelah kamu selesai memandikannya beritahu kepadaku."
Setelah selesai, kami pun memberitahu kepada baginda, lalu baginda memberi kepada kami kain sarungnya sambil bersabda,"Balutlah badannya dengan kain ini." **
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nota
Setelah mereka memandikan jenazah puterinya, baginda melucutkan kain sarung (azar) yang dipakainya dan meminta mereka membalut tubuh mayat puterinya. Sesudah itu barulah mayat puterinya dikafan dengan kain kafan yang disediakan. Alhafiz Ibni Hajar rah.a. berkata, "Perbuatan baginda yang demikian menjadi dasar (bagi amalan orang Islam) mengambil berkat daripada benda-benda pemberian atau peninggalan orang salih."
(Fathul Bari 3:372)

Syarat mandi
1. Mandi dengan merata air ke seluruh anggota badan jenazah. Syarat mayat dimandikan.
·         Hendaklah mayat orang Islam.
·         Cukup anggota atau sebahagian badannya.
·         Berumur enam bulan atau kurang, tetapi telah lengkap anggotanya.
·         Mayat itu bukan mati syahid.

Tempat mandi
2.1 Dibuat tempat yang tertutup.
2.2 Letak mayat di atas tempat yang tinggi sedikit.
2.3 Aurat mayat wajib ditutup dengan kain supaya tidak kelihatan warna kulit.
2.4 Disunatkan menutup mukanya, (juga ketika dibawa ke tempat mandi), di letakkan terlentang
      di atas papan mandi dan menghadap arah kiblat.
2.5 Membakar sedikit bau-bauan seperti gaharu atau kemenyan.
2.6  Dilarang orang yang tidak berkenaan dengan urusan mandi mengintai-intai ketika mayat
      dimandikan.
Tertib mandi
3.1 Menjirus dan menggosok jenazah dengan  tertib dan lemah lembut, jangan gopoh dan kasar.
3.2 Jangan sengaja hendak melihat aurat mayat. Semasa memandikan mayat hendaklah menutup badannya supaya auratnya terlindung*. Elok demikian dalam sehelai kain sarung yang nipis supaya air meresap masuk dan mudah pula bagi orang yang memandikan memasukkan tangan untuk membersihkan mana-mana bahagian mayat yang perlu dibersihkan.
3.3 Mayat lelaki dimandikan oleh orang lelaki, mayat perempuan, kanak-kanak baru lahir dimandikan oleh orang perempuan. 
3.4 Orang yang memandikan mayat dan penolongnya hendaklah orang yang amanah - supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan dapat menyimpan rahsia keaiban yang ada pada mayat. 
3.5 Sebaliknya jika melihat sesuatu yang baik hendaklah mereka ceritakan pada orang lain. 
3.6 Tempat mandi hendaklah terlindung dari pandangan ramai. Hanya tukang mandi dan penolong-penolongnya saja yang boleh hadir. Dalam pada itu, dibolehkan bagi salah seorang kerabat si mati yang terdekat untuk turut hadir walau tidak mengambil bahagian memandikan mayat.**  
3.7 Jangan mengangkat suara riuh. 
3.8 Jangan  mengunyah makanan atau merokok. 
3.9 Wajib memakai sarung tangan sewaktu  menyuci kemaluan atau mengurus mayat pengidap Aids.
Cara mandi
Sebelum Mandi
1.      Dibersihkan najis mayat (meruang) dan membersihkan segala kekotoran atau getah, cat, plaster dan sebagainya yang terlekat pada badan atau kuku mayat. Hendaklah mengosongkan perut terlebih dahulu - kalau ada benda-benda kotor yang boleh keluar, supaya tidak lagi keluar sesudah ia dimandi dan dikafankan.
Caranya: Dudukkan mayat (di atas papan mandi) dalam keadaan condong sedikit ke belakang, dan menahan belakangnya dengan lutut kanan sambil memegang belikatnya dengan tangan kanan (dengan meletak ibu jari di tengah-tengah tengkuknya supaya kepalanya tegak), dan urut perutnya perlahan-lahan dengan tangan kiri.
Siram air banyak-banyak untuk membersihkan benda-benda yang keluar.
Setelah dikosongkan perut dan dbersihkan benda yang keluar, hendaklah ditelentangkan semula mayat itu di atas papan mandi dan dicebokkan oleh orang yang memandikannya dengan membersihkan kemaluan dan celah-celahnya (menggunakan sarung tangan).

2.      Dengan sarung tangan bersih, tukang mandi hendaklah membersihkan gigi mayat, lubang hidunganya, lubang telinga dan celah-celah kukunya. Kemudian diwudhu'kan dengan sempurna (meliputi yang fardhu dan sunat). Setelah itu baru dimandikan - dari bahagian kepala hingga ke hujung kaki - meliputi seluruh tubuhnya.
3.       
Cara Mandi
1.      Basuh seluruh kepala, muka dan lehernya 3 kali. 
2.      Basuh sebelah kanan (lambung kanan) meliputi bahu, ketiak, tangan kanan, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kanan hingga ke hujung kaki kanan 3 kali.
3.      Basuh sebelah kiri (lambung kiri) meliputi bahu, ketiak, tangan kiri, dada, rusuk, perut, kemaluan, celah-celah kelangkang dan paha kiri hingga ke hujung kaki kiri 3 kali.
4.      Kemudian diiringkan rusuk kanan ke atas dan basuh lambung kanannya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kanan dan terus ke hujung kaki kanannya 3 kali. 
5.      Kemudian diiringkan rusuk kiri ke atas dan basuh lambung kirinya bahagian belakang meliputi bahu, belakang badan, rusuk, punggung, peha kiri dan terus ke hujung kaki kirinya 3 kali. 
6.      Cara mandi ini pertama dibuat dengan menggunakan air sabun.

Kemudian dimandikan dengan air bersih, dilakukan seperti cara mandi dengan sabun, tujuannya untuk membersihkan segala air sabun tadi. 
     
Setelah bersih, diwudhu'kan dengan niat,
" Sahaja aku wudhukan mayat ini kerana Allah"
Lafaz niat bagi lelaki:
"Nawaitul wudhu 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
Lafaz niat bagi perempuan:
"Nawaitul wudhu' 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"

Kemudian mandi dengan air bercampur kapur barus. Caranya air bersih dicampur sedikit air kapur barus yang sekira-kiranya tidak mengubah hukum air mutlak, kemudian dijirus sunat diniatkan:
" Sahaja aku mandi mayat ini kerana Allah Taala" 
Lafaz niat bagi lelaki:
"Nawaitul ghusl 'an hazal maiti lillahi ta'ala"
Lafaz niat bagi perempuan:
"Nawaitul ghusl 'an hazihil maitati lillahi ta'ala"

Proses mandi ini sama juga seperti mandi dengan air sabun dan air bersih yang lalu. Kemudian ulang 2 kali dengan menambah kapur barus lebih tua sedikit supaya baunya lebih keras. 
Semasa menjirus, sunat membaca:
      "Ghufranak rabbana rahman wailakal masir"                                        

Jadi hasilnya jumlah mandi mayat kesemuanya lima kali iaitu :
. Satu kali mandi dengan air sabun.
. Satu kali mandi dengan air bersih.
. Tiga kali mandi dengan air kapur barus.

Perlu diingat perbuatan membasuh mayat dengan air bercampur sabun (atau serbuk daun bidara) kemudian membilasnya, tidak dikira. Itu hanya seperti membersihkan badannya.

Yang diambil kira ialah mandi yang akhir, iaitu memandikan mayat dengan air yang dicampurkan sedikit kapur barus.

Perihal lain Bersangkutan

5.1 MAYAT DALAM KEADAAN JANABAH
Lelaki atau perempuan yang mati dalam keadaan janabah (berhadas besar) maka ia tidak dituntut dimandikan lagi dengan 'mandi janabah' setelah ia dimandikan dengan 'mandi mayat' kerana 'mandi mayatnya' mencukupi.
Jika keluar dari perut mayat sesuatu yang kotor setelah ia dimandikan atau semasa dikafankan, maka ia juga tidak dituntut dimandikan lagi, tetapi memadai membersihkan kesannya benda itu.

5.2 MAYAT YANG DITAYAMMUMKAN
i.  Kerana ketiadaan air.
ii. Kerana badannya terlalu uzur (seperti orang yang mati terbakar dan sebagainya), kalau dimandikan akan hancur daging badannya.
iii.'Mayat lelaki' yang mati di tempat terpencil dan tidak ada di situ melainkan kaum perempuan sahaja (yang bukan muhrimnya)
iv. 'Mayat perempuan' yang tidak ada di tempat matinya melainkan kaum lelaki sahaja (yang bukan muhrimnya)

No comments: