Pages

Sunday, May 26, 2019

Panduan Lengkap Solat Sunat Taubat Berserta Tasbih & Doa

Tahniah kerana anda sedang membaca panduan Solat Taubat berserta doanya dalam rumi. Ini bermakna anda sedang dalam proses untuk berubah dan ingin menjadi insan yang baik. Sesungguhnya Allah menyukai apabila hambanya memohon kemaafan dan sentiasa memohon taubat kepada Allah.
Rasulullah SAW. telah bersabda: “Sesiapa yang pernah melakukan perbuatan dosa, bersegeralah berwuduk kemudian dirikan solat dan mohonlah keampunan kepada Allah SWT., Allah pasti akan menerima permohonannya itu.
Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan dan dosa kerana setiap manusia itu bukanlah sempurna. Namun, Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Sejahat manapun seseorang itu, akan sentiasa ada ruang dan pintu untuk mereka bertaubat dan memohon kemaafan terhadap Allah. Jika sudah bertaubat, namun kemudiannya kembali mengulangi dosa itu kembali, teruskan taubat! Taubat, taubat dan taubat sehinggalah ajal menjemput kita. Jangnalah berhenti memohon kemaafan kepada-Nya.
Apa Itu Solat Sunat Taubat?
Solat Sunat Taubat dibuat kerana menginsafi dan menyesali akan kesalahan (dosa) yang dilakukan selepas melanggar perintah Allah. Anda beramat menyesal atas kesalahan-kesalahan yang telah anda lakukan pada masa lampau dan ingin bertaubat sebenar-benarnya (taubat nasuha) kerana Allah serta kembali menuruti segala perintah Allah.

Fadhilat Untuk Orang Bertaubat

  • Diampunkan Allah SWT.
  • Dipermudahkan segala urusan.
  • Kehidupan seharian lebih ceria dan tenang.
  • Menghilangkan perasaan yang menekan.
  • Mencegah dosa dan menghindari gangguan.

Waktu Solat Taubat

Tiada waktu khusus yang ditetapkan untuk melakukan solat taubat ini kerana ianya tergolong dalam solat sunat. Sholat sunat taubat boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang anda inginkan. Nmun, seeloknya solat sunat taubat ini dikerjakan pada waktu-waktu tengah malam atau sepertiga malam ketika suasananya lebih sunyi dan tenang agar anda boleh menunaikan solat taubat dengan tenang.

Cara Solat Taubat

Cara menunaikan sembahyang taubat lebih kurang sama sahaja sepertimana solat sunat yang lain. Solat taubat juga boleh dilakukan dua, empat atau enam rakaat pada bila-bila masa yang dikehendaki. Walaubagaimanapun, kami akan berkongsi cara untuk melakukan Solat Taubat 2 rakaat hari ini.
1. Mulakan dengan niat Solat Taubat.

Niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.”
2. Bacaan semasa Solat Taubat
Rakaat pertama bacalah surah al-Fatihah dan al-Kafirun.
Rakaat kedua pula bacalah surah al-Fatihah dan al-Ikhlas.
3. Bertasbih
Semasa sujud terakhir sholat taubat pada rakaat kedua iaitu sebelum sebelum duduk Tahiyyat Akhir, selepas membaca tasbih biasa, bacalah Tasbih berikut sebanyak 40 kali:
BacaaN: “Laa-i-la-ha il-la an-ta sub-haa-na-ka in-niy kun-tu mi-naz-zhoo li-miyn.”
Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Dikau (Allah)! Maha Suci Dikau! Sesungguhnya daku ini termasuk daripada golongan orang yang aniaya (zalim).
4. Beristighfar
Selepas memberi salam dan selesai menunaikan Solat Taubat, duduklah dengan selesa dan mulakanlah beristighfar banyak-banyak.
a. Bacalah istighfar berikut sebanyak 10 / 100 kali

Bacaan: “As-tagh-fi-rul-Laa-hil ‘A-ziym, al-la-dziy laa i-la-ha il-laa hu-wal hai-yul qoi-yuum wa-a-tuu-bu i-laih.”
Maksudnya: Daku mohon ampun kepada Allah yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus dan daku bertaubat kepada-Nya.
b. Sambung dengan membaca Istighfar Tauhid berikut sebanyak 10 / 100 kali;
Bacaan: “As-tagh-fi-rul-Laa-hil ‘A-ziym, al-la-zii laa i-la-ha il-laa hu-wal hai-yul qoi-yuum wa-a-tuu-bu i-laih. Tau-ba-ta ‘Ab-di zhoo-li-mi laa yam-li-ku li-naf-si-hi dhor-raa, wa-laa naf-‘an wa-laa mau-tan wa-laa ha-yaa-tan wa-laa nu-syuu-raa.”
Maksudnya: Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.
c. Kemudian bacalah Penghulu Istighfar sebanyak 3 Kali
Bacaan: “AL-Laa-Hum-ma an-ta rab-bi Laa i-la-ha il-laa an-ta kho-laq-ta-ni wa-a-naa ‘ab-du-ka wa-a-naa ‘a-laa ‘ah-di-ka wa-wa’-di-ka mas-ta-th0′-tu, a-‘uu-dzu-bi-ka min syar-ri-maa sha-na’-tu, a-buu u-la-ka bi-ni’-ma-ti-ka ‘a-lay-ya wa-a-bu-u bi-dzan-bi fagh-fir-lii, fa-in-na-hu laa yagh-fi-rudz dzu-nuu-ba il-laa an-ta.”
Maksudnya: Ya Allah! Dikaulah Tuhanku, Tiada Tuhan melainkan Dikau; Dikau yang menciptakan daku dan daku adalah hamba-Mu. Dan sedaya mampuku, daku berpegang dengan janji dan sumpah setiaku terhadap-Mu. Daku memohon perlindungan-Mu daripada segala kejahatan yang telah dilakukan; Daku mengakui akan segala nikmat yang Dikau berikan kepadaku dan daku mengakui akan dosa-dosaku. Maka ampunilah daku kerana tiada yang mengampuni dosa-dosa kecuali Dikau.

5. Bacaan Doa Taubat

Selepas bertasbih, anda bolehlah berdoa memohon keampunan kepada Allah. Bacalah doa taubat yang biasa dibaca untuk memohon keampunan dan kemaafan daripada Allah SWT. Berdoalah dengan penuh harapan untuk mendapat keampunan daripada Allah. Atau anda juga boleh merujuk sahaja kepada bacaan doa taubat dibawah.
Daku memohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah, Daku mohon ampun kepada Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus!
Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tidak berdaya untuk menolak mudharat atau berbuat manfaat dan tidak mampu mematikan atau menghidupkan mahupun membangkitkan (di Padang Mahsyar kelak).
Daku mohon perlindungan-Mu daripada dosa, kemalasan, dugaan kubur dan seksanya. Daku mohon perlindungan-Mu daripada segala kesalahan dan hukuman.
Ya Allah! Bersihkanlah diriku daripada dosa-dosa sebagaimana kain putih dibersihkan daripada kekotoran. Ya Allah! Sesungguhnya daku bertaubat kepada-Mu di atas segala dosaku, dan daku berjanji tidak akan mengulanginya.
Ya Allah! Pengampunan-Mu adalah lebih luas daripada dosa-dosaku dan pengampunan-Mu terhadapku adalah lebih tertunai daripada amalan baikku. Ya Allah! Sesungguhnya daku telah banyak sekali menganiaya diriku sendiri, tiada yang dapat mengampuni dosaku itu kecuali Dikau; Maka berikanlah daku keampunan-Mu, kasihanilah daku.
Ya Allah, Ya Tuhanku! Terimalah taubatku, suci bersihkanlah segala dosaku dan kabulkanlah permohonanku. Sesungguhnya Dikau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang!
 *******************************************************************************************************
Alhamdulillah. Selesai sudah solat taubat kita hari ini. Mudah sahaja kan untuk solat taubat? Diharapkan anda terus istiqomah dalam melakukan sholat taubat ini malam-malam seterusnya dan insyallah, mudah-mudahan Allah mengampuni kesalahan yang lalu.
Seusai sudah sembahyang taubat tadi, boleh pula disusuli dengan solat sunat hajat dan mendoakan agar hajat kita untuk betaubat dan istiqamah dikabulkan oleh Allah.
Wallahualam.

No comments:

Post a Comment