Pages

Friday, June 07, 2019

Istiqomah Selepas Ramadhan

SELURUH umat Islam menyambut Aidilfitri selepas sebulan menjalani latihan dalam madrasah Ramadan, bulan mendidik, membiasakan amalan baik, mengembalikan sifat fitrah insani yang sebenar sesuai matlamat kita diutuskan Allah SWT ke dunia ini.
Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Kebanyakan kita sudah biasa menghadiri kursus atau bengkel selama sehari, dua hari, seminggu dan ada yang lebih panjang daripada itu. Matlamat bengkel ini biasanya untuk mengubah peserta menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Adalah diharapkan selepas menjalani bengkel itu kita akan menjadi insan yang lebih baik, cekap, dedikasi serta produktif. Begitu juga dengan bengkel atau madrasah Ramadhan yang baharu berlalu.

Allah SWT meletakkan matlamat Ramadhan supaya kita menjadi insan yang bertakwa kepada-Nya. Bukan lapar dan dahaga yang diinginkan tetapi lapar dan dahaga hanyalah wasilah untuk menundukkan nafsu bagi melahirkan insan bertakwa.

Ada antara kita yang sudah bertahun-tahun menemui Ramadhan, namun, sifat peribadi sebelum dan selepas Ramadhan tidak banyak berubah, seakan tidak memberi bekas untuk menjadikannya kita insan yang bertakwa.

Bukan salah ibadah itu tetapi kerana mungkin kita melakukan ibadah itu sebagai adat kebiasaan dan rutin, bukan disebabkan ikhlas, khusyuk dan rendah diri mengharapkan reda Allah SWT. Sebab itulah Nabi SAW berpesan dalam sabda Baginda: "Barang siapa yang berpuasa bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda Allah SWT), diampunkan dosanya yang telah lalu."
(Riwayat Bukhari)

Sebab itu hari ini kita temui ramai (termasuk kita sendiri juga mungkin) yang berpuasa, mengerjakan haji dan umrah, mendirikan solat tetapi masih melakukan perkara dosa serta mungkar. Masih menipu orang lain, berdusta, memakan rasuah, mencuri tulang ketika bekerja, hasad dengki dan bermacam penyakit hati lain.

Sheikh Abdul Qadir al-Jilani diriwayatkan berkata: "Aku beroleh kurniaan makrifat Allah SWT bukanlah kerana banyaknya solat tahajudku pada malam hari atau kerajinanku berpuasa di siangnya, tetapi kerana keramahan dan kerendahan hatiku daripada segala penyakit hati."

Amalan itu semua adalah wasilah untuk menjadikan kita lebih baik seterusnya menggapai gelaran 'muttaqi' (orang yang bertakwa), namun tanpa ketulusan hati, kejernihan jiwa, keikhlasan beribadah demi mencari reda Allah SWT, ibadah itu hanyalah aktiviti fizikal semata-mata yang tidak membekas kepada jiwa.

Walaupun Ramadhan sudah berlalu, marilah kita meneruskan apa yang kita asuh sepanjang bulan barakah itu. Amalan yang disuruh seperti memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, berpuasa, bersedekah maka teruskanlah pada bulan-bulan yang lain.

Masih banyak puasa sunat lain yang boleh kita teruskan seperti puasa enam hari Syawal, puasa Isnin dan Khamis.

Bukan hanya amal ibadah malah kita juga perlu kuatkan azam hentikan perbuatan ditegah seperti mengumpat, berdusta dan bercakap perkara tidak berfaedah. Jika kita mampu lakukan semuanya, itu petanda awal puasa kita berkesan dan diterima oleh Allah SWT.

Kita beribadah sepanjang Ramadhan bukan kerana Ramadhan tetapi kerana Allah SWT yang memerintahkan kita berbuat begitu. Sebab itu sering disebutkan ungkapan hikmah:
"Sesiapa yang menyembah Ramadhan, maka sesungguhnya Ramadhan telah berlalu dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan Tidak Akan Mati."

Kekallah istiqomah selepas ramadhan. Beberapa hadith ini seharusnya boleh menjadi pemangkin kepada kita untuk konsisten dalam melakukan amal ibadah seusai Ramadan.

Antaranya adalah:

1. Teruskan bacaan al-Quran, Rasulullahﷺ mengingatkan kita bahawa kedudukan seseorang di akhirat kelak adalah bergantung kepada akhir ayat yang dibaca. Lagi banyak di baca, lagi tinggi kedudukan kita. Justeru, bacaan al-Quran mesti diteruskan setelah Ramadan. Sabda Rasulullahﷺ:


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ : اقْرَأْ وَارْتَقِ وَرَتِّلْ ، كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا ، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Sabda Rasulullahﷺ: ”Di akhirat kelak, ahli al-Quran akan dikatakan kepada mereka: “Bacalah (al-Qur`an) dan naiklah (ke syurga) serta tartilkanlah (bacaanmu) sebagaimana engkau membacanya secara tartil sewaktu di dunia. Sesungguhnya kedudukan dan tempat tinggalmu (di syurga) adalah berdasarkan akhir ayat yang engkau baca”. (HR. Tirmizi dan Abu Daud)

Hadith ini menggambarkan bahawa lagi banyak kita baca, lagi tinggi kedudukan kita di akhirat kelak. Teruskan konsisten membaca al-Quran selepas Ramadan.

2. Teruskan amalan berpuasa. Rasulullahﷺ konsisten berpuasa 3 hari setelah Ramadan. 3 hari ini hanyalah 10% sahaja daripada jumlah puasa Ramadan kita sebanyak 30 hari. Perkara ini diceritakan oleh Aisyah dalam sebuah hadith:


عن مُعَاذَةُ الْعَدَوِيَّةُ، أَنَّهَا سَأَلَتْ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ؟ “، قَالَتْ: “نَعَمْ”، فَقُلْتُ لَهَا: “مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ كَانَ يَصُومُ “، قَالَتْ: لَمْ يَكُنْ يُبَالِي مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ يَصُومُ

Maksudnya: Muazah pernah bertanya kepada Aisyah: Apakah Rasulullah berpuasa tiga hari pada setiap bulan? Aisyah menjawab: “Ya.” Muazah kemudian bertanya: Rasulullah berpuasa pada hari apa (berkenaan 3 hari tadi)? Aisyah menjawab: Baginda tidak kisah dari hari apa pun.”

Ini bermakna, Bagindaﷺ akan meneruskan amalan berpuasa ini sebanyak 3 hari setiap bulan, tidak kira hari apa pun. Yang penting konsisten meneruskan amalan berpuasa yang telah kita lakukan sepanjang bulan ini.

3. Teruskan melakukan sholat-sholat sunat. Walaupun sholat sunat terawih hanya boleh dilakukan pada bulan ramadhan namun amalan solat sunat boleh kita terus konsisten melakukannya dengan sholat sunat yang lain seperti Solat Sunat Witir setelah Isya’. Saidina Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullahﷺ berpesan kepada beliau tentang tiga amalan yang tidak pernah beliau tinggalkan sepanjang beliau hidup iaitu: (1) Solat Witir, (2) Puasa tiga hari setiap bulan dan (3) Solat Dhuha (HR al-Bukhari). Kata Abu Hurairah:

فعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: ” أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ: صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ، وَرَكْعَتَيِ الضُّحَى، وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Maksudnya: Kekasih aku (Rasulullahﷺ) berpesan kepada aku tiga perkara (yang tidak aku tinggalkan sehingga aku mati) iaitu: Puasa tiga hari sebulan, Solat Duha dan Solat Witir sebelum tidur.

Salin hadith di atas, dan tampal ditempat yang mudah dilihat. Mudah-mudahan ia sentiasa menjadi peringatan buat kita untuk konsisten dan istiqamah melakukan amalan yang telah kita lakukan di dalam bulan Ramadan.

Moga Allah membimbing kita untuk terus istiqamah setelah Ramadan. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment