Kelebihan Solat Berjemaah
- Sembahyang berjemaah adalah lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh kelebihan.
- Digalakkan sangat oleh Islam kepada setiap orang Islam supaya menghidupkan sembahyang jemaah walau dimana mereka berada, sekalipun di rumah, kerana pahalanya berganda-ganda daripada sembahyang seorang diri.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu:
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa, Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
10 Keistimewaan Apabila Anda Solat Secara Berjemaah
#1 – Ganjaran Pahala Berlipat Ganda
“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim
#2 – Terlepas Dari Api Neraka Dan Terhalang Menjadi Munafik
“Sesiapa yang solat kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.”
#3 – Mendapat Perlindungan Allah S.W.T Pada Hari Kiamat
“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali dariNya, iaitu imam yang adil, pemuda yang hidup di dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berhimpun keranaNya dan berpisah keranaNya, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan jelita (untuk melakukan maksiat) lalu dia berkata: ‘Aku takutkan Allah’, seorang yang bersedekah secara senyap-senyap sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan seorang yang mengingati Allah bersendirian sehingga berlinangan air kedua matanya.”
#4 – Dinaikkan Darjat Oleh Allah
“Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab, ‘Ya, wahai Rasulullah’, sabda Baginda: ‘Banyak langkah ke masjid dan menunggu satu solat selepas satu solat. Itu adalah ikatan’.”
#5 – Diampunkan Dosa Oleh Allah S.W.T
“Sesiapa yang berwuduk untuk mengerjakan solat lalu dia berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke masjid untuk solat fardhu kemudian dia pun bersolat berserta dengan orang ramai, atau berjemaah atau dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya dosa-dosanya.”
#6 – Allah Memberikan Jaminan Syurga
Hal ini dijelaskan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;
“Tiga golongan semuanya dijamin oleh Allah, seorang yang keluar berperang pada jalan Allah maka Allah jamin sehingga Allah mematikannya lalu dia masuk syurga atau dia kembali dengan memperolehi pahala dan harta rampasan perang. Seorang yang pergi ke masjid maka Allah jamin hingga Allah mematikannya lalu dimasukkan ke dalam syurga atau Allah mengembalikannya dengan mendapat pahala dan ghanimah dan seorang yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam maka Allah jamin ke atasnya.”
#7 – Disediakan Hidangan Di Syurga
“Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.”
#8 – Mendapat Cahaya Di Hari Kiamat
“Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada hari Kiamat.”
#9 – Menunggu Solat Jemaah Dikira Sebagai Mengerjakan Solat
“Seseorang hamba Allah itu dikira dalam solat selama dia berada di tempat solatnya kerana menunggu solat, dan berkata Malaikat: ‘Ya Allah, ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas’.”
#10 – Pahala Seperti Mengerjakan Haji
“Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada solat fardhu maka pahalanya seperti pahala orang haji yang berihram dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih al-Duha maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu solat selepas satu solat, tiada melakukan perkara sia-sia di antara kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi.”
No comments:
Post a Comment