Kelebihan Solat Berjemaah
Daripada Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sembahyang berjemaah adalah lebih utama (baik) daripada sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat”.
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Huraian Hadith:
- Sembahyang berjemaah adalah lebih afdhal daripada sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh kelebihan.
- Digalakkan sangat oleh Islam kepada setiap orang Islam supaya menghidupkan sembahyang jemaah walau dimana mereka berada, sekalipun di rumah, kerana pahalanya berganda-ganda daripada sembahyang seorang diri.
Sumber : Kitab Riyadhus Salihin
Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.
Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
Fardhu ain pada solat Jumaat; Fardhu kirayah pada solat fardhu lima waktu; dan Sunat pada solat jenazah dan solat-solat sunat yang disunatkan berjemaah padanya, seperti solat dua hari raya, solat gerhana bulan dan matahari, solat minta hujan, solat terawih dan solat witir pada bulan Ramadhan.
Tuntutan berjemaah pada solat fardhu:
Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.
Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.
Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa, Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.
Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.
10 Keistimewaan Apabila Anda Solat Secara Berjemaah
Solat jemaah adalah solat yang dilakukan secara beramai-ramai yang sekurang-kurangnya 2 orang; seorang imam dan seorang menjadi makmum. Jika semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pahala yang diperolehi.
Dari Imam al-Bukhari dan Muslim, penting dan dituntut akan solat berjemaah itu sehingga Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang lelaki yang meninggalkan solat secara berjemaah.
Terdapat banyak keistimewaan dan kelebihan solat berjemaah yang disediakan oleh Allah s.w.t antaranya;
#1 – Ganjaran Pahala Berlipat Ganda
Ganjaran pahala bagi solat berjemaah adalah lebih besar berbanding dengan solat secara bersendirian. Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa pahala yang diperoleh oleh sesiapa yang solat berjemaah adalah sebanyak 27 kali ganda;
“Solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan 27 darjat (atau 27 kali ganda).” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim
#2 – Terlepas Dari Api Neraka Dan Terhalang Menjadi Munafik
Rasulullah s.a.w pernah menjelaskan bahawa golongan yang berjemaah bersama-sama imam dari takbir pertama sehingga ke akhir solat, selama 40 hari dan niat kerana Allah s.w.t, golongan itu akan terselamat dari api neraka dan dari menjadi munafik.
“Sesiapa yang solat kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.”
#3 – Mendapat Perlindungan Allah S.W.T Pada Hari Kiamat
Golongan yang mendirikan solat secara berjemaah dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan perlindungan pada hari kiamat kelak.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Tujuh golongan manusia yang mendapat perlindungan dari Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali dariNya, iaitu imam yang adil, pemuda yang hidup di dalam beribadah kepada Allah, seorang yang hatinya sentiasa ingat kepada masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah, berhimpun keranaNya dan berpisah keranaNya, seorang lelaki yang diajak oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan jelita (untuk melakukan maksiat) lalu dia berkata: ‘Aku takutkan Allah’, seorang yang bersedekah secara senyap-senyap sehingga tidak diketahui tangan kirinya apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya dan seorang yang mengingati Allah bersendirian sehingga berlinangan air kedua matanya.”
Oleh itu, golongan yang hatinya sentiasa teringat kepada masjid adalah mereka yang menunaikan solat berjemaah setiap waktu. Apabila keluar dari masjid hatinya akan sentiasa ingat untuk datang semula ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah yang berikutnya.
#4 – Dinaikkan Darjat Oleh Allah
Sabda Rasulullah s.a.w;
“Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab, ‘Ya, wahai Rasulullah’, sabda Baginda: ‘Banyak langkah ke masjid dan menunggu satu solat selepas satu solat. Itu adalah ikatan’.”
Hal ini bermaksud, lebih banyak langkah ke masjid dan kelebihan menunggu satu solat selepas menunaikan satu solat, akan mendapat pahala dan darjat dari Allah S.W.T.
#5 – Diampunkan Dosa Oleh Allah S.W.T
Sabda Rasulullah s.a.w;
“Sesiapa yang berwuduk untuk mengerjakan solat lalu dia berwuduk dengan sempurna kemudian dia pergi ke masjid untuk solat fardhu kemudian dia pun bersolat berserta dengan orang ramai, atau berjemaah atau dalam masjid maka Allah mengampunkan untuknya dosa-dosanya.”
Maksud dosa ini ialah dosa-dosa kecil kerana dosa besar haruslah dimulai dengan bertaubat dan meminta keampuan dari Allah s.w.t.
#6 – Allah Memberikan Jaminan Syurga
Allah menjamin balasan syurga kepada sesiapa yang bersolat berjemaah di masjid.
Hal ini dijelaskan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;
Hal ini dijelaskan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;
“Tiga golongan semuanya dijamin oleh Allah, seorang yang keluar berperang pada jalan Allah maka Allah jamin sehingga Allah mematikannya lalu dia masuk syurga atau dia kembali dengan memperolehi pahala dan harta rampasan perang. Seorang yang pergi ke masjid maka Allah jamin hingga Allah mematikannya lalu dimasukkan ke dalam syurga atau Allah mengembalikannya dengan mendapat pahala dan ghanimah dan seorang yang masuk ke rumahnya dengan memberi salam maka Allah jamin ke atasnya.”
#7 – Disediakan Hidangan Di Syurga
Setiap kali seseorang itu pergi dan balik dan balik dari masjid untuk berjemaah, Allah akan menyediakannya hidangan di syurga. Sabda Rasulullah s.a.w;
“Sesiapa yang pergi ke masjid dan balik (dari masjid), Allah sediakan baginya hidangan dari syurga setiap kali dia pergi dan balik.”
#8 – Mendapat Cahaya Di Hari Kiamat
Pasti tiada kegelapan di hari akhirat kelak bagi mereka yang sentiasa menjadikan jemaah sebagai amalan. Sabda Rasulullah s.a.w;
“Hendaklah bergembira orang-orang yang berjalan kaki dalam gelap menuju ke masjid mereka akan mendapat cahaya cukup sempurna pada hari Kiamat.”
#9 – Menunggu Solat Jemaah Dikira Sebagai Mengerjakan Solat
Hal ini masih ramai yang belum ketahui, iaitu walaupun hanya menunggu untuk solat berjemaah, Allah telah mengira ianya sebagai pahala solat, di samping para malaikat berdoa untuknya. Ini disampaikan oleh Baginda dalam sabdanya yang bermaksud;
“Seseorang hamba Allah itu dikira dalam solat selama dia berada di tempat solatnya kerana menunggu solat, dan berkata Malaikat: ‘Ya Allah, ampuni dosanya dan rahmatilah dia sehingga dia beredar atau dia berhadas’.”
#10 – Pahala Seperti Mengerjakan Haji
Sabda Rasulullah s.a.w;
“Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada solat fardhu maka pahalanya seperti pahala orang haji yang berihram dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih al-Duha maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu solat selepas satu solat, tiada melakukan perkara sia-sia di antara kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi.”
Kebaikan suami isteri solat berjemaah.
Ikatan yang dibina dari sebuah akad bukan lah perkara mudah untuk dijaga, namun ia boleh didik secara satu persatu.
Antara salah satu cara didikan hati yang paling baik ialah dengan menjadikan solat berjemaah sebagai rutin suami dan isteri.
Jika tidak sempat untuk berjemaah lima waktu sekalipun, memadai pada solat Maghrib atau Isyak.
Suami isteri yang solat berjemaah secara perlahan-lahan akan memupuk suasana rumah tangga yang harmoni.
Dari hadis Rasulullah SAW mengatakan bahawa sembahyang berjemaah akan mendapat 27 darjat dari sembahyang bersendirian.
Apabila suami menjadi imam (ketua) ketika dalam solat, secara tidak langsung akan melahirkan rasa hormat isteri kepada suami.
Jelaslah, solat berjemaah sangat disukai Allah s.w.t, dan kerana itu Allah memberikan pelbagai kelebihan dan fadhilat yang besar kepada hamba-hamba yang mengerjakan solat berjemaah.
No comments:
Post a Comment