BACALAH....

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ *

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ *١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ *٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ *٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ *٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ *٥ كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ *٦ أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ *٧ إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ *٨ أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يَنۡهَىٰ *٩ عَبۡدًا إِذَا صَلَّىٰٓ *١٠ أَرَءَيۡتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلۡهُدَىٰٓ *١١ أَوۡ أَمَرَ بِٱلتَّقۡوَىٰٓ *١٢ أَرَءَيۡتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ *١٣ أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ *١٤ كَلَّا لَئِن لَّمۡ يَنتَهِ لَنَسۡفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ *١٥ نَاصِيَةٖ كَٰذِبَةٍ خَاطِئَةٖ *١٦ فَلۡيَدۡعُ نَادِيَهُۥ *١٧ سَنَدۡعُ ٱلزَّبَانِيَةَ *١٨ كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡۤ وَٱقۡتَرِب۩ *١٩


Monday, March 31, 2025

Tips dan Panduan Serta Amalan Sunat di Hari Raya

 Hari Raya adalah hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam selepas menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadan atau selepas menyempurnakan ibadah Haji. Oleh itu, kita digalakkan untuk merayakannya dengan penuh kegembiraan serta menghidupkan amalan-amalan sunat yang dianjurkan. Berikut adalah beberapa tips, panduan, dan amalan sunat yang boleh diamalkan pada Hari Raya.


Tips dan Panduan Menyambut Hari Raya

Mempersiapkan Diri dengan Niat yang Betul
Pastikan niat menyambut Hari Raya adalah untuk meraikan kemenangan selepas berpuasa atau menunaikan ibadah Haji, bukan sekadar hiburan semata-mata.

Bersederhana Dalam Berbelanja
Menguruskan kewangan dengan bijak ketika membuat persiapan Hari Raya agar tidak membazir. Ingatlah bahawa Islam mengajar kita supaya bersederhana dalam segala hal.

Menjaga Adab dan Akhlak
Sentiasa menjaga pertuturan, perbuatan, dan tingkah laku agar tidak menyakiti perasaan orang lain. Elakkan berbicara dengan nada angkuh atau meninggi diri.

Memelihara Kesihatan
Jangan makan terlalu banyak sehingga memudaratkan kesihatan. Sentiasa bersederhana dan menjaga pemakanan agar dapat meraikan Hari Raya dengan kesihatan yang baik.

Mengutamakan Silaturrahim
Hari Raya adalah masa yang terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dengan saling memaafkan dan berkunjung ke rumah sanak-saudara.

Amalan Sunat di Hari Raya Aidilfitri
Mandi Sunat Hari Raya
Disunatkan mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya. Ini menunjukkan kesucian dan kebersihan serta melambangkan permulaan yang baharu.

Memakai Pakaian yang Terbaik
Sunat memakai pakaian yang bersih dan cantik pada Hari Raya sebagai tanda kegembiraan. Pakaian yang dipakai mestilah menutup aurat dan mengikut syariat Islam.

Memakai Wangi-wangian
Bagi lelaki, digalakkan memakai wangian yang tidak berlebihan sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya.

Makan Dahulu Sebelum Solat Hari Raya Aidilfitri
Sunat makan sedikit (contohnya buah kurma) sebelum menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri sebagai tanda bahawa kita telah berbuka puasa.

Bertakbir (Takbir Raya)
Disunatkan bertakbir bermula dari terbenamnya matahari malam Hari Raya Aidilfitri sehingga imam memulakan solat Hari Raya.

Menunaikan Solat Sunat Hari Raya
Disunatkan untuk menunaikan solat Hari Raya di masjid atau tempat yang telah ditetapkan bersama-sama dengan jemaah lain.

Memberi Sedekah atau Zakat Fitrah
Mengeluarkan zakat fitrah sebelum menunaikan solat Hari Raya. Selain itu, memberi sedekah kepada yang memerlukan juga sangat dianjurkan.

Mengucapkan Tahniah dan Doa
Mengucapkan tahniah sesama umat Islam dengan ucapan seperti “Taqabbalallahu minna wa minkum” yang bermaksud “Semoga Allah menerima (amalan) kami dan (amalan) kamu”.

Memaafkan dan Menyambung Silaturrahim
Memohon maaf di atas kesilapan yang dilakukan kepada orang lain serta mengeratkan hubungan persaudaraan.

Mengambil Jalan Berbeza Ketika Pergi dan Pulang dari Solat Raya
Ini adalah sunnah Nabi Muhammad SAW untuk menunjukkan kemeriahan dan menghidupkan suasana Hari Raya di pelbagai tempat.

Saturday, March 22, 2025

Amalan dan doa kejar lailatul qadar 10 malam terakhir Ramadhan

 RAMADAN kini sudah menghampiri penghujungnya. 10 malam terakhir mula menjengah, membawa bersamanya harapan dan ganjaran yang luar biasa. Inilah saat yang dinanti-nantikan iaitu malam-malam penuh keberkatan di mana terselit satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu lailatul qadar.

Pada ketika ini, umat Islam diseru untuk menggandakan amalan ibadah. Bukan sekadar mengejar pahala tetapi juga kerana di sinilah peluang terbaik untuk memohon keampunan dan meraih rahmat Allah SWT. 

Rasulullah SAW sendiri memperbanyak ibadah di 10 malam terakhir, bahkan membangunkan ahli keluarga baginda untuk turut serta

Keistimewaan lailatul qadar

Lailatul qadar disebut secara khusus dalam Al-Quran melalui Surah Al-Qadr. Malam ini dikatakan lebih baik daripada seribu bulan iaitu bermaksud ibadah yang dilakukan pada malam tersebut bersamaan dengan amalan selama 83 tahun 4 bulan. 

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam lailatul qadar. Dan tahukah kamu apakah malam lailatul qadar itu? 

“Malam lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun para malaikat dan Jibril dengan izin Tuhannya kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah (malam itu) hingga terbit fajar.”

(Surah Al-Qadr, ayat 1 hingga 5)

Rasulullah SAW juga bersabda:

“Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam ganjil dalam sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, apakah amalan dan doa yang boleh kita lakukan untuk memanfaatkan 10 malam terakhir ini?

Amalan-amalan di 10 malam terakhir Ramadan

1. Mendirikan solat malam

Antara amalan terbaik ialah mendirikan solat malam seperti solat tahajud, solat taubat, solat hajat dan solat witir. Rasulullah SAW sendiri memperbanyak ibadah di malam-malam terakhir Ramadan.

Sabda baginda:

“Barang siapa mendirikan solat pada malam Lailatul Qadar dengan keimanan dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.”

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Banyakkan doa

Doa yang paling dianjurkan pada malam Lailatul Qadar ialah:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘anni.”

(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka kepada keampunan, maka ampunilah aku).

Doa ini diajarkan sendiri oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda, Saidatina Aisyah RA.

3. Baca Al-Quran

10 malam terakhir adalah waktu terbaik untuk mendekatkan diri dengan Al-Quran, menghayati maknanya dan memperbanyakkan bacaan serta tadabbur.

Al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca tetapi panduan hidup yang Allah turunkan untuk membimbing kita. Ambil sedikit masa selepas berbuka, selepas solat tarawih atau pada waktu sahur untuk duduk tenang dan membaca Al-Quran. 

Kalau tidak mampu banyak, bacalah sehelai dua pun sudah memadai. Paling penting, kita teruskan istiqamah dan baca dengan hati yang ikhlas.

4. Berzikir dan berselawat

Selain Al-Quran, zikir dan selawat adalah amalan yang sangat dianjurkan dalam 10 malam terakhir Ramadan. Zikir bermaksud mengingati Allah sama ada dengan melafazkan kalimah-kalimah pujian seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar atau Lailahaillallah. Setiap butir zikir yang keluar dari bibir kita menjadi bukti pengabdian dan kecintaan kepada-Nya.

Di malam-malam istimewa ini, kita digalakkan untuk memperbanyakkan doa dan zikir yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Namun, zikir bukan hanya tentang mengucapkannya berulang kali. Ia lebih bermakna apabila hati turut hadir bersama lidah yang melafazkan. Zikir yang benar-benar meresap ke dalam jiwa akan melahirkan ketenangan dan kekuatan dalaman.

5. Bersedekah

Sedekah adalah amalan yang sangat digalakkan sepanjang Ramadan lebih-lebih lagi dalam 10 malam terakhir. Ini kerana ganjaran yang dijanjikan Allah berlipat kali ganda. 

Jika sedekah itu jatuh pada malam lailatul qadar, pahalanya bagaikan bersedekah setiap hari selama 83 tahun! 

Rasulullah SAW sendiri adalah insan yang paling pemurah dan sifat itu bertambah menjadi luar biasa di bulan Ramadan.

Sedekah bukan hanya dalam bentuk wang ringgit. Memberi makanan kepada orang yang berpuasa, meringankan beban keluarga yang susah atau sekadar senyuman yang ikhlas juga dikira sebagai sedekah. 

Kita mungkin rasa sumbangan kecil kita tidak memberi impak besar tetapi di sisi Allah, keikhlasan itulah yang lebih utama.

Saidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa apabila masuknya 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah SAW akan:

  • Menghidupkan malam dengan memperbanyakkan ibadah.
  • Membangunkan ahli keluarga untuk turut sama beribadah.
  • Menjauhkan diri daripada hubungan suami isteri untuk lebih fokus kepada ibadah.

10 malam terakhir Ramadan bukanlah malam biasa. Setiap detik di penghujung Ramadan ini begitu berharga. Tiada siapa yang tahu apakah ini Ramadan terakhir kita atau adakah Yang Maha Pemurah akan memanjangkan usia kita untuk bertemu lagi dengan Ramadan di tahun-tahun mendatang.

Semoga kita semua diberi kekuatan untuk banyakkan ibadah, memohon keampunan dan meraih keberkatan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Saturday, March 01, 2025

CARA BERNIAT BAGI DUA RAKAAT PERTAMA SOLAT WITIR YANG DILAKUKAN DENGAN DUA SALAM

Cara yang terbaik untuk berniat bagi 2 rakaat pertama solat witir adalah diniatkan sebagai 2 rakaat daripada witir. Namun, dibolehkan juga dengan niat lain seperti mukadimah witir atau solat sunat witir atau solat malam, bahkan jika diniatkan sebagai solat witir sahaja pun tetap sah.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Solat witir merupakan solat sunat yang sangat dituntut oleh syarak berdasarkan sabda Nabi SAW:

يا أهلَ القرآن ‌أوترُوا، فإن الله وترٌ يُحِبُّ الوترَ

Maksudnya: “Wahai ahli al-Quran, dirikanlah solat witir! Sesungguhnya Allah itu witir (Esa) dan Dia menyukai (solat) witir.”

(Riwayat Abu Daud)

Solat witir adalah solat sunat yang disunatkan berjemaah pada bulan Ramadan[1], namun pada bulan lain ia tidak disunatkan berjemaah[2]. Ia boleh dilakukan cukup dengan satu rakaat, tetapi lebih sempurna untuk dilakukan sebanyak tiga rakaat, lima rakaat, tujuh rakaat, sembilan rakaat atau sebelas rakaat[3]. Di samping itu, ia juga boleh dilakukan secara bersambung semua rakaat dengan satu salam atau dipisahkan setiap dua rakaat dengan salam dan diakhiri dengan satu rakaat. Walau bagaimanapun, cara yang lebih baik adalah dengan memisahkan setiap dua rakaat dengan salam seperti yang telah diterangkan dalam Al-Kafi #1393: Tatacara Solat Witir Yang Afdal[4].

Berbalik kepada persoalan, jika seseorang itu melakukan solat sunat witir tiga rakaat dengan satu salam, maka cukup dengan berniat berniat “sahaja aku solat witir 3 rakaat” seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi:

فإن أوتر باكثر من ركعة نوى بالجميع الوتر إن كان بتسليمة[5]

Maksudnya: “Jika seseorang itu melakukan witir lebih daripada satu rakaat, maka dia hendaklah niat semua rakaat itu sebagai witir jika dilakukan dengan satu salam.”

Namun, seringkali menjadi kemusykilan tentang niat pada 2 rakaat yang pertama jika seseorang itu melakukan solat witir 3 rakaat dengan dua salam. 

Hal ini kerana maksud perkataan ‘witir’ ialah ganjil, jadi melakukan solat dengan 2 rakaat yang merupakan bilangan genap dilihat bercanggah dengan niat untuk melakukan solat yang ganjil. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan beberapa pandangan tentang cara untuk berniat bagi dua rakaat yang pertama, kata beliau:

وإن كان بتسليمات نوى بكل تسليمة ركعتين ‌من ‌الوتر وقيل ينوي بما قبل الاخيرة صلاة الليل وقيل ينوي به سنة الوتر وقيل مقدمة الوتر[6]

Maksudnya“Jika (solat witir itu dilakukan) dengan lebih daripada satu salam, hendaklah dia berniat bagi setiap salam itu daripada witir, dan dikatakan hendaklah dia berniat bagi (rakaat-rakaat) sebelum rakaat terakhir sebagai solat malam, dan dikatakan (hendaklah dia berniat) sunat witir, dan dikatakan (hendaklah dia berniat) mukadimah witir.”

Berdasarkan kenyataan Imam al-Nawawi di atas, dapat disimpulkan bahawa terdapat 4 pandangan tentang niat bagi setiap dua rakaat sebelum rakaat terakhir solat witir iaitu:

  1. Berniat: “Sahaja aku solat 2 rakaat daripada witir”.
  2. Berniat: “Sahaja aku solat mukadimah witir 2 rakaat”.
  3. Berniat: “Sahaja aku solat sunat witir 2 rakaat”.
  4. Berniat: “Sahaja aku solat malam 2 rakaat”.

Di samping itu, dapat difahami juga daripada kenyataan tersebut bahawa cara niat yang pertama adalah pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, manakala cara yang kedua, ketiga dan keempat adalah pandangan yang tidak muktamad. Oleh itu, cara pertama ialah cara yang lebih afdal kerana ia muktamad mazhab, namun tiada halangan untuk beramal dengan cara-cara yang lain. Hal ini juga disebutkan oleh Imam al-Nawawi selepas menerangkan cara-cara niat tersebut, beliau berkata:

وهذه الأوجه في الأفضل والأولوية دون الاشتراط والصحيح الأول

Maksudnya: Dan pendapat-pendapat (yang telah disebutkan) ini adalah daripada segi yang mana paling baik dan paling utama bukanlah disyaratkan, dan pendapat yang tepat adalah yang pertama (iaitu berniat dua rakaat daripada witir).

Oleh yang demikian, dibolehkan untuk berniat mengikut mana-mana cara yang telah disebut di atas[7], bahkan jika seseorang itu berniat “sahaja aku solat witir 2 rakaat”, maka solatnya juga sah seperti yang disebutkan oleh Sheikh al-Qalyubi, beliau berkata:

وَلَهُ فِيهِ أَنْ يَنْوِيَ سُنَّةَ الْوَتْرِ أَوْ مُقَدِّمَةَ الْوَتْرِ أَوْ مِنْ الْوَتْرِ أَوْ الْوَتْرَ أَيْضًا[8]

Maksudnya: “Dan dibolehkan (pada dua rakaat solat witir itu) untuk berniat sebagai sunat witir atau daripada witir atau witir juga.”

Tambahan pula, cara-cara berniat di atas juga terpakai untuk setiap 2 rakaat sebelum rakaat terakhir bagi yang melakukan solat witir lebih daripada 3 rakaat iaitu 5 hingga 11 rakaat.

Kesimpulan

  1. Cara yang terbaik untuk berniat bagi 2 rakaat pertama solat witir adalah diniatkan sebagai 2 rakaat daripada witir.
  2. Dibolehkan juga dengan niat lain seperti mukadimah witir atau solat sunat witir atau solat malam, bahkan jika diniatkan sebagai solat witir sahaja pun hukumnya tetap sah.

WaAllahua’lam.

Rujukan:

[1] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Shuja’, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2021), 1:306.

ويسن جماعة في وتر رمضان.

[2] Ibid, 1:304

وقول المصنف: "يوتر بواجدة منهن" أشار به إلى أن من القسم الذي لا يسن جماعة الوتر.

[3] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (T.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 1:451-452

(وأقله ركعة) … وأدنى الكمال ثلاث، وأكمل منه خمس، ثم سبع، ثم تسع، ثم إحدى عشرة وهي أكثره

[4] https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3734-al-kafi-1393-tatacara-solat-witir-yang-afdhal

[5] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, (Kaherah: al-Muniriyyah, 1344H) 3:281:

[6] Ibid, 3:281

[7] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajar al-Haitami, Tuhfat al-Muhtaj fi Sharh al-Minhaj, (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1984), 2:10

وَيَتَخَيَّرُ فِي غَيْرِهَا بَيْنَ نِيَّةِ صَلَاةِ اللَّيْلِ وَمُقَدَّمَةِ الْوِتْرِ وَسُنَّتِهِ وَهِيَ أَوْلَى أَوْ رَكْعَتَيْنِ ‌مِنْ ‌الْوِتْرِ عَلَى الْأَصَحِّ

[8] Ahmad Salamah al-Qalyubi, Ahmad al-Barlasi ‘Umairah, Hashiata Qalyubi wa ‘Umairah ‘ala Sharh al-Mahalli ‘ala al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1995), 1:243


Sumber :

Mufti of Federal Territory's Office
Prime Minister's Department
Level 5, Block D, Kompleks Islam Putrajaya
No. 3, Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3
62100 Putrajaya, Malaysia.