Waktu Sholat Sungai Petani, Kedah
BACALAH....
بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ * ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ *١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ *٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ *٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ *٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ *٥ كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ *٦ أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ *٧ إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ *٨ أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يَنۡهَىٰ *٩ عَبۡدًا إِذَا صَلَّىٰٓ *١٠ أَرَءَيۡتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلۡهُدَىٰٓ *١١ أَوۡ أَمَرَ بِٱلتَّقۡوَىٰٓ *١٢ أَرَءَيۡتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ *١٣ أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ *١٤ كَلَّا لَئِن لَّمۡ يَنتَهِ لَنَسۡفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ *١٥ نَاصِيَةٖ كَٰذِبَةٍ خَاطِئَةٖ *١٦ فَلۡيَدۡعُ نَادِيَهُۥ *١٧ سَنَدۡعُ ٱلزَّبَانِيَةَ *١٨ كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡۤ وَٱقۡتَرِب۩ *١٩ |
Thursday, June 07, 2012
Mandi Hadas (Mandi Junub)
Allah Azza wa-Jalla telah mewajibkan setiap mukmin mandi setelah ia berjunub (berhadas besar). Allah berfirman:
“Dan jika sekiranya kamu berjunub maka hendaklah kamu bersuci (mandi junub)”. (al-Maidah 5:6)
DEFINISI
Pengertian mandi atau al-ghuslu ) لسغلا ( menurut pengertian Bahasa Arab ialah:
“Mangalirkan air ke seluruh anggota tubuh badan”. (Lihat: Fathul Bari, 1/359. Ibnu Hajar)
“Al-Guslu (mandi) ialah: Menyempurnakan membasuh (mencuci) seluruh jasad (tubuh badan)”. (Lihat: Lisanul Arab. 2/988)
Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, dimaksudkan mandi junub (mandi hadas besar) ialah:
“Hakikat mandi junub ialah menjirus (mengalirkan) air ke seluruh anggota tubuh (Lihat: Fathul Bari. 1/359) (dari hujung rambut ke hujung kaki). Sebahagian ulama mewajibkan berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung (memasukkan air ke dalam hidung) semasa mandi junub”.
Adapun sebab-sebab wajibnya mandi junub (mandi hadas besar) ialah setelah terjadi perkara-perkara berikut:
PERTAMA:
Wajib Mandi Junub Kerana Keluar Air Mani
Para ulama telah sepakat bahawa apabila keluar air mani dengan bersyahwat, bersetubuh atau bermimpi maka wajib baginya mandi junub. Begitu juga bagi kaum perempuan (jika keluar air mani) maka wajib baginya mandi junub sebagaimana keterangannya dari hadis-hadis berikut:
“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah ditanya oleh seorang lelaki yang mendapati basah (kerana keluar mani) padahal tidak ingat bahawa ia bermimpi lalu baginda menjawab: Hendaklah ia mandi. Dan baginda pernah ditanya tentang lelaki yang bermimpi dirasakan seolah-olah keluar air mani tetapi tidak ada kesan basah. Baginda menjawab: Tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim bertanya: Kalau perempuan bermimpi demikian wajibkah wanita itu mandi? Nabi menjawab: Ya, kerana sebenarnya kaum wanita itu adalah saudara-saudara kaum lelaki!”. (H/R Imam yang lima, kecuali Nasaii.)
“Dari Ummi Salamah bahawa Ummu Sulaim berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu kerana sesuatu yang haq! Apakah wanita wajib mandi junub kalau ia bermimpi? Baginda menjawab: Ya, apabila ia melihat air! Kemudian Ummu Salamah bertanya lagi: Apakah perempuan juga bermimpi? Celaka engkau, kalau tidak begitu dengan apa anaknya boleh serupa dengannya!”. (Muttafaq ‘alaihi)
“Dari Khaulah binti Hakim bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi seperti mimpinya lelaki lalu Nabi sallallahu ‘alaihi
wa-sallam bersabda: Ia tidak wajib mandi sehingga mengeluarkan air mani seperti halnya lelaki tidak wajib mandi sehingga ia mengeluarkan air mani”. (H/R Ahmad)
“Dan Nasaii meriwayatkan dengan ringkas yang lafaznya: Bahawasanya dia (Khaulah) bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi mengeluarkan air mani dalam tidurnya lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Kalau ia melihat air mani maka hendaklah ia mandi”. (H/R Nasaii)
Dari hadis-hadis sahih di atas, menunjukkan bahawa wanita juga terkadang bermimpi kerana wanita adalah saudara kandung lelaki. Maka sebagaimana kaum lelaki juga bermimpi maka kaum wanita demikian pula. (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)
Dan jika ia (seseorang wanita) tidak menemui tanda/bekas/basah/sisa-sisa air setelah bangun tidur maka ia tidak diwajibkan untuk mandi junub. Adapun jika ia mendapati bekas/tanda air maka ia wajib mandi kerana Ummu Sulaim berkata: Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita wajib mandi jika ia bermimpi (keluar air)? Rasulullah sallallahu ‘alaihi was-sallam menjawab: Ya, kalau ia melihat (mendapati basah) bekas air! Jika wanita mendapati ada bekas air maka ia diwajibkan mandi junub. (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)
Jika seseorang perempuan sering mengeluarkan cecair tanpa disebabkan oleh suatu rangsangan (nafsu syahwat/nikmat) maka sama sekali tidak diwajibkan mandi. Mandi hanya diwajibkan apabila melakukan persetubuhan, bermimpi, keluar air diiringi syahwat (seperti mimpi berjimak dengan seorang peria lalu ketika bangun terdapat bekas air maka diwajibkan baginya mandi junub). (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)
PENJELASAN TENTANG WADI DAN MAZI
Wadi: Wadi adalah cecair pekat yang biasanya keluar setelah seseorang selesai dari buang air kecil (kencing). Wadi ini dihukum najis dan harus disucikan seperti halnya kencing, akan tetapi tidak diwajibkan mandi. (Lihat: Fiqh Wanita. Hlm. 19. Syeikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah)
Mazi: Mazi adalah cecair yang bening dan pekat yang keluar dari zakar atau faraj ketika bercumbu atau ketika nafsu syahwat. Hal ini sama-sama dialami oleh lelaki dan juga wanita, akan tetapi pada wanita jumlahnya lebih banyak. Menurut kesepakatan para ulama, mazi ini dihukum najis. Apabila mazi ini mengenai badan maka wajib dibersihkan dan apabila mengenai pakaian maka cukup sekadar menyiramkan air pada bahagian yang terkena mazi. Mengenai hal ini terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya. Aisyah radiallahu ‘anha mengatakan:
“Wadi itu keluar setelah proses kencing selesai. Untuk itu hendaklah seseorang muslim (dan muslimah)mencuci kemaluannya (setelah keluarnya wadi) dan berwuduk serta tidak diwajibkan mandi junub”. (H/R Ibnu al-Munzir)
“Tentang mani, wadi dan mazi. Adapun mengenai mani maka diwajibkan mandi kerananya. Sedangkan mengenai mazi dan wadi maka cukup dengan membersihkan secara sempurna”. (H/R Al-Baihaqi dan Al-Athram)
“Mengenai wadi dan mazi, Rasulullah bersabda: Basuhlah kemaluanmu atau tempat kemaluanmu dan berwuduklah seperti pada saat hendak melaksanakan solat”. (H/R Baihaqi)
Oleh yang demikian maka keluar wadi atau mazi dihukum najis dan membatalkan wuduk. Wajib dibasuh zakar atau faraj dan pakaian yang terkena wadi atau mazi tetapi tidak diwajibkan mandi junub (mandi hadas besar) jika terkeluar wadi dan mazi sebagaimana penjelasan dari hadis-hadis yang lalu dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Dari Ali berkata: Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian ia bersabda: Dalam mazi itu berwuduk dan dalam mani itu wajib mandi. (H/R Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi dan disahihkan oleh Tirmizi)
“Dan dari Ahmad. Lalu baginda bersabda: Kalau engkau mengeluarkan mani maka mandilah kerana telah berjunub dan apabila engkau tidak mengeluarkan mani maka janganlah mandi”. (H/R Ahmad)
Ibnu Ruslan berkata: Kaum Muslimin telah ijmak atas wajibnya mandi junub (mandi hadas) bagi lelaki dan perempuan disebabkan keluar air mani atau mengeluarkan air mani. (Lihat: Nailul Autar.1/191. asy-Syaukani)
KEDUA:
Wajib Mandi Kerana Persetubuhan
Menurut Imam An-Nawawi bahawa: Telah disepakati atas wajibnya mandi junub (bagi suami dan isteri) apabila hasyafah (kepala zakar lelaki) telah masuk ke dalam faraj walaupun tidak mengeluarkan air mani. Inilah pendapat dari ijmak. Keterangan ini dapat difahami dari hadis-hadis sahih yang berikut:
“Dari Abu Hurairah, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk antara empat anggota perempuan kemudian ia bersungguh-sungguh maka ia wajib mandi (junub)”. (H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad)
“Apabila salah seorang kamu duduk antara empat anggota perempuan (bersetubuh) kemudian ia bersungguh-sungguh maka wajib baginya mandi (junub) meskipun tidak mengeluarkan air mani”. (H/R Muslim dan Ahmad)
Dari Abdullah bin Amr bin Ash:
“Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) itu telah masuk maka telah diwajibkan mandi (mandi junub)”. (H/R Ibnu Syaibah)
Para ulama telah sepakat sebagaimana yang telah disyariatkan bahawa seandainya seorang lelaki meletakkan kemaluannya di atas kemaluan perempuan, padahal ia tidak memasukkannya maka tidak seorang pun antara keduanya diwajibkan mandi. (Lihat: Nailul Autar. 1/190, Asy-Syaukani)
“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk di antara empat anggota perempuan kemudian benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) bertemu benda yang dikhatan (kemaluan perempuan), maka telah diwajibkan mandi (junub)”. (H/R Ahmad dan Muslim)
“Apabila benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) telah masuk ke dalam benda yang di khatan (kemaluan perempuan) maka telah diwajibkan mandi”. (H/R Tirmizi dan disahihkan olehnya)
“Dari Ubai bin Ka’ab ia berkata: Sesungguhnya anak-anak muda itu pernah berkata: Air (mandi junub) itu kerana air (kerana keluar air mani), adalah keringanan (tidak wajib mandi)
dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam diberikan pada permulaan Islam, kemudian ia memerintahkan kami agar mandi (junub) sesudah itu”. (H/R Ahmad dan Abu Daud)
“Pada lafaz Tirmizi: Mandi hanya kerana keluar air mani, itu hanyalah suatu keringanan pada permulaan Islam kemudian dilarangnya (dilarang dari mengamalkan amalan yang lama dan diperintahkan agar mandi junub)”. (H/R Tirmizi dan disahihkannya)
“Dari Aisyah bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya kemudian ia malas (untuk meneruskannya sebelum keluar mani) sedangkan Aisyah duduk di situ. Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya aku pernah melakukan seperti demikian dengan (Aisyah) ini lalu kami mandi (walaupun tidak keluar air mani)”. (H/R Muslim)
“Dari Rafi’ bin Khadej ia berkata: Aku pernah dipanggil oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam padahal aku sedang di atas perut isteriku. Lalu aku bangun dan aku belum mengeluarkan air mani kemudian aku mandi lalu keluar kemudian aku mengkhabarkan kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Kamu tidak wajib mandi kerana mandi itu lantaran keluarnya air mani. Rafi’ berkata: Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sesudah itu memerintahkan agar kami mandi”. (H/R Ahmad)
Seorang suami yang menyetubuhi beberapa orang isterinya pada satu malam maka hanya diwajibkan sekali mandi sahaja. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Dari Anas radiallahu anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri (menyetubuhi) isteri-isterinya dengan sekali mandi”. (H/R al-Jamaah kecuali Bukhari)
“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘aliaihi wa-sallam pernah mengelilingi isteri-isterinya pada satu malam dengan sekali mandi”. (H/R Ahmad dan Nasaii)
“Dari Abi Rafi’ maula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri isteri-isterinya dalam satu malam lalu ia mandi untuk setiap seorang dari mereka lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kalau engkau mandi sekali sahaja? Lalu ia menjawab: Begini adalah lebih suci dan lebih bersih”. (H/R Ahmad dan Abu Daud)
Syariah berkata: Hadis ini menunjukkan, tidak wajib mandi bagi suami yang bermaksud mengulangi jimaknya (ingin mengulangi persetubuhannya). (Lihat: Nailul Autar. 1/199). Begitu juga isteri yang ingin diulangi (disetubuhi lagi) oleh suaminya maka isteri tidak diwajibkan mandi terlebih dahulu.
KETIGA:
Setelah Bersih Dari Haid Atau Nifas
Para wanita yang sudah bersih (kering) dari haid dan nifas maka diwajibkan mandi hadas (mandi junub) sebagaimana keterangan dari hadis-hadis sahih yang berikut:
Dari Aisyah bahawa Fatimah binit Abi Jahsy sedang istihadhah lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian baginda menjawab: Itu hanya sebahagian dari peluh, bukan haid. Maka apabila engkau sedang haid, tinggalkanlah solat dan kalau telah selesai maka mandilah dan bersolatlah”. (H/R Bukhari)
CARA ATAU SIFAT MANDI JUNUB RASULULLAH
Adapun hadis-hadis tentang wajibnya mandi junub (mandi hadas) antaranya ialah:
“Dari Maimunah radiallahu ‘anha ia berkata: Aku pernah menuangkan air untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untk mandi junub. Maka baginda memulakan dengan mencuci kedua tangannya dua kali atau tiga kali, kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci farajnya (kemaluannya) dan bahagian yang kena kotoran, setelah itu ia mengusapkan tangannya yang kiri ke tanah dua kali atau tiga kali lalu ia mencucinya. Kemudian baginda berkumur-kumur sambil menghisap (menyedut) air ke hidung lalu menghembuskannya kemudian ia mencuci mukanya dan kedua tangannya lalu ia mencuci kepalanya tiga kali, setelah itu barulah baginda menuangkan air ke seluruhan tubuhnya. Setelah selesai baginda pindah dari tempatnya lalu baginda mencuci kedua kakinya”. (H/R Bukhari, Kitabul Ghusul. Muslim, 1/175. Abu Daud. No 245. Turmizi, Nasaii, Ibnu Majah dan Ahmad)
1 - Syariah berkata (ucapan): “Kemudian ia membasuh kedua kakinya”, ini menunjukkan bahawa wuduk yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam semasa memulakan mandi junub tanpa membasuh kedua kakinya.
2 - Jumhur ulama berpendapat: Sunnah mengakhirkan membasuh kedua kaki ketika berwuduk dalam mandi junub iaitu membasuh setelah selesai mandi junub.
3 - Imam Malik berpendapat: Apabila tempat mandi junub itu tidak bersih maka mengakhirkan membasuh kedua kaki itu adalah sunnah. Tetapi apabila tempat itu bersih maka mencuci dua kaki itu hendaklah didahulukan.
4 - Imam an-Nawawi berkata: Yang lebih benar dan lebih masyhur serta terpilih dari pendapat tersebut ialah menyempurnakan wuduknya.
“Dari Aisyah radiallahu ‘anha bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub baginda memulakan mencuci kedua tangannya kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci kemaluannya. Kemudian baginda berwuduk sebagaimana waduknya untuk bersolat. Lalu baginda memasukkan jari-jari tangannya ke dalam air, lantas ia sela-sela pangkal-pangkal rambutnya dengan jari-jarinya itu, setelah ia merasakan telah basah rambutnya, ia tuangkan air ke atas kepalanya tiga kali cedukan dengan kedua tangannya kemudian ia alirkan air keseluruh tubuhnya”. (H/R Bukhari. 1/68. Muslim. 1/174. Abu Daud. 242. Ibn Majah 574)
“Dari Jabir radiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengambil air tiga kali cedukan dan baginda tuangkan ke atas kepalanya, kemudian baginda menuangkan air ke seluruh tubuhnya”. (H/R Bukhari, 1/69. Kitab al-Ghusul)
“Dari Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub, baginda meminta air dengan satu bejana besar lalu ia ambil air itu dengan tangannya, kemudian memulai pada bahagian kepala sebelah kanan, kemudian yang kiri, kemudian ia mengambil air dengan kedua telapak tangannya lalu ia tuangkan di atas kepalanya”. (H/R Bukhari dan Muslim)
“Diriwayat yang lain: Kemudian baginda menyela-nyela rambutnya dengan kedua tangannya sehingga apabila ia merasa telah basah seluruh kulit kepalanya, ia tuangkan air di atasnya tiga kali”. (H/R Bukhari dan Muslim)
“Dan dari Jubair bin Muth’am ia berkata: Kami pernah berbincang-bincang tentang mandi junub di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam lalu baginda bersabda: Adapun aku, cukup mengambil air sepenuh dua tapak tanganku lalu aku tuangkan di atas kepalaku, kemudian aku menyiram bakinya atas seluruh tubuhku”. (H/R Ahmad)
“Dari Jubair radiallahu ‘anhu berkata: Adapun aku, menuangkan air ke atas kepalaku tiga kali (beliau memberi isyarat dengan kedua tangannya). (H/R Bukhari, 1/69). Kemudian aku menyiram ke atas seluruh tubuhku”. (H/R Ahmad.)
Dari semua hadis-hadis tentang mandi junub yang telah lalu, dapat difahami dan diringkaskan bahawa sifat mandi junub Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:
- Didahulukan dengan mencuci kedua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Ia dilakukan tiga kali.
- Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
- Setelah mencuci kemaluannya, Nabi sallallahu alaihi wa-sallam menggosok tangannya ke tanah beberapa kali iaitu dua atau tiga kali.
- Berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Ada kalanya mentakhirkan dari mencuci kakinya.
- Memasukkan jari-jemari ke dalam air kemudian menyela-nyela rambut dengan kedua-dua jari-jemari tangan sehingga rata.
- Menuangkan air ke atas kepala tiga kali, sama ada dengan menceduk dengan kedua tangan atau dengan gayung.
- Menjirus, meratakan dan membasuh ke seluruh tubuh badan
Selepas mandi tidak diwajibkan berwuduk semula jika wuduk sebelum mandi tidak batal tetapi jika sekiranya batal maka wajib memperbaharui wuduknya semula.
“Dari Aisyah radiallahu anha: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak berwuduk setelah selesai mandi junub”. (H/R Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud. 1/171. TIrmizi, 1/72)
Sumber : http://fiqh-sunnah.blogspot.com
Wednesday, June 06, 2012
20 Amalan Murah Rezeki
“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
(Toha: 132)
20 AMALAN MURAH REZEKI
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya: “(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.
Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
Nabi s.a.w. bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah. Baginda s.a.w. bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah.
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya." (Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah. Firman-Nya: “Barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
NOTA ARTIKEL:
وَما مِن دابَّةٍ فِى الأَرضِ إِلّا عَلَى اللَّهِ رِزقُها وَيَعلَمُ مُستَقَرَّها وَمُستَودَعَها ۚ كُلٌّ فى كِتٰبٍ مُبينٍDan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).(Hud: 6)
وَإِذ قالَ إِبرٰهۦمُ رَبِّ اجعَل هٰذا بَلَدًا ءامِنًا وَارزُق أَهلَهُ مِنَ الثَّمَرٰتِ مَن ءامَنَ مِنهُم بِاللَّهِ وَاليَومِ الءاخِرِ ۖ قالَ وَمَن كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَليلًا ثُمَّ أَضطَرُّهُ إِلىٰ عَذابِ النّارِ ۖ وَبِئسَ المَصيرُDan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman: "(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.زُيِّنَ لِلَّذينَ كَفَرُوا الحَيوٰةُ الدُّنيا وَيَسخَرونَ مِنَ الَّذينَ ءامَنوا ۘ وَالَّذينَ اتَّقَوا فَوقَهُم يَومَ القِيٰمَةِ ۗ وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِسابٍKehidupan dunia (dan kemewahannya) diperhiaskan (dan dijadikan amat indah) pada (pandangan) orang-orang kafir, sehingga mereka (berlagak sombong dan) memandang rendah kepada orang-orang yang beriman. Padahal orang-orang yang bertaqwa (dengan imannya) lebih tinggi (martabatnya) daripada mereka (yang kafir itu) pada hari kiamat kelak. Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira (menurut undang-undang peraturanNya).(Al-Baqarah: 126 & 212)
فى بُيوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَن تُرفَعَ وَيُذكَرَ فيهَا اسمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فيها بِالغُدُوِّ وَالءاصالِ(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.رِجالٌ لا تُلهيهِم تِجٰرَةٌ وَلا بَيعٌ عَن ذِكرِ اللَّهِ وَإِقامِ الصَّلوٰةِ وَإيتاءِ الزَّكوٰةِ ۙ يَخافونَ يَومًا تَتَقَلَّبُ فيهِ القُلوبُ وَالأَبصٰر(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.لِيَجزِيَهُمُ اللَّهُ أَحسَنَ ما عَمِلوا وَيَزيدَهُم مِن فَضلِهِ ۗ وَاللَّهُ يَرزُقُ مَن يَشاءُ بِغَيرِ حِساب(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.(An-Nur: 36-38)
قُل إِنَّ رَبّى يَبسُطُ الرِّزقَ لِمَن يَشاءُ مِن عِبادِهِ وَيَقدِرُ لَهُ ۚ وَما أَنفَقتُم مِن شَيءٍ فَهُوَ يُخلِفُهُ ۖ وَهُوَ خَيرُ الرّٰزِقينَKatakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki"(Saba: 39)
فَإِذا قُضِيَتِ الصَّلوٰةُ فَانتَشِروا فِى الأَرضِ وَابتَغوا مِن فَضلِ اللَّهِ وَاذكُرُوا اللَّهَ كَثيرًا لَعَلَّكُم تُفلِحونَKemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).(Al-Jumu’ah: 10)
وَأمُر أَهلَكَ بِالصَّلوٰةِ وَاصطَبِر عَلَيها ۖ لا نَسـَٔلُكَ رِزقًا ۖ نَحنُ نَرزُقُكَ ۗ وَالعٰقِبَةُ لِلتَّقوىٰDan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.(Toha: 132)
رَسولًا يَتلوا عَلَيكُم ءايٰتِ اللَّهِ مُبَيِّنٰتٍ لِيُخرِجَ الَّذينَ ءامَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ مِنَ الظُّلُمٰتِ إِلَى النّورِ ۚ وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ وَيَعمَل صٰلِحًا يُدخِلهُ جَنّٰتٍ تَجرى مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ خٰلِدينَ فيها أَبَدًا ۖ قَد أَحسَنَ اللَّهُ لَهُ رِزقًا(Dengan mengutuskan) seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Allah yang menerangkan kebenaran, supaya Allah mengeluarkan orang-orang (yang sedia diketahuiNya akan) beriman dan beramal soleh - dari gelap-gelita (kesesatan) kepada cahaya (hidayah petunjuk). Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah (dengan yang demikian) telah mengurniakan kepadanya sebaik-baik pemberian.(At-Talaq: 11)
Monday, June 04, 2012
Pengurusan Jenazah
Hukum Kafan
Dari ‘Aishah r.a. katanya: “Rasulullah s.a.w. (semasa wafatnya) telah dikafankan dalam tiga helai kain putih ‘sahuli’* dari kapas; tidak mengandungi baju kamis dan tidak juga serban.”**
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Pakailah yang putih dari pakaian kamu, kerana pakaian yang putih itu adalah sebaik-baik pakaian kamu; dan kafankanlah orang mati dari kalangan kamu dalam kain putih juga.”***
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
‘Mayat kanak-kanak’ sama hukumnya seperti ‘mayat orang dewasa’.***
Hukum syarak mengenai mandi mayat diterangkan dalam hadith berikut, yang bermaksud :
Dari Umu 'Athiah al-Ansariah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. masuk ke tempat kami ketika anak perempuannya* wafat lalu bersabda: "Mandikanlah dia dengan tiga kali, atau lima kali atau lebih dari itu - jika kamu pandang elok tambahan yang demikian - iaitu dengan air, dan serbuk daun bidara, dan campurkan sedikit kapur barus pada kali yang akhir, setelah kamu selesai memandikannya beritahu kepadaku."
Setelah selesai, kami pun memberitahu kepada baginda, lalu baginda memberi kepada kami kain sarungnya sambil bersabda,"Balutlah badannya dengan kain ini." **
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Nota
Setelah mereka memandikan jenazah puterinya, baginda melucutkan kain sarung (azar) yang dipakainya dan meminta mereka membalut tubuh mayat puterinya. Sesudah itu barulah mayat puterinya dikafan dengan kain kafan yang disediakan. Alhafiz Ibni Hajar rah.a. berkata, "Perbuatan baginda yang demikian menjadi dasar (bagi amalan orang Islam) mengambil berkat daripada benda-benda pemberian atau peninggalan orang salih."
(Fathul Bari 3:372)
1. Mandi dengan merata air ke seluruh anggota badan jenazah. Syarat mayat dimandikan.
2.1 Dibuat tempat yang tertutup.
2.2 Letak mayat di atas tempat yang tinggi sedikit.
2.3 Aurat mayat wajib ditutup dengan kain supaya tidak kelihatan warna kulit.
2.4 Disunatkan menutup mukanya, (juga ketika dibawa ke tempat mandi), di letakkan terlentang
di atas papan mandi dan menghadap arah kiblat.
2.5 Membakar sedikit bau-bauan seperti gaharu atau kemenyan.
2.6 Dilarang orang yang tidak berkenaan dengan urusan mandi mengintai-intai ketika mayat
dimandikan.
Khutbah Terakhir Nabi Muhammad (saw)
9 ZULHIJJAH TAHUN 10 HIJRAH, DI LEMBAH URANAH, GUNUNG 'ARAFAH
"Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' hendaklah dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik! dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadah haji sekiranya mampu.
Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.
Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya.
Semoga orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba- Mu. "
MOTIVASI PELAJAR
CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG
- Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan.
- Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.
- Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.
- Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM.
- Sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya).
- Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.
- Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.
- Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.
- Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.
- Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.
- Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.
- Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.
- Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.
- Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan.
- Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.
- Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.
- Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti Rancangan Pendidikan, Berita dan lain-lain lagi.
- Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.
- Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.
- Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.
- Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.
- Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.
- Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.
- Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.
- Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam kokurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang sihat. Otak yang sihat pla akan melahirkan pemikiran yang lancar.
- Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.
- Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.
- Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kueh-kueh yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.
- Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.
- Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.
- Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.
- Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.
- Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.
CIRI-CIRI PELAJAR YANG GAGAL
- Mempunyai sifat "malas" yang menjadi musuh utama kejayaan.
Tidak bermotivasi.
Mempunyai tanggapan bahawa pelajaran belum tentu memberi jaminan masa depan.
Menjadikan seseorang yang telah gagal sebagai idola atau model.
Tidak bersedia menghadapi pembelajaran dalam bilik darjah.
Tiada perancangan untuk belajar dengan berkesan.
Terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang menjurus ke arah perkara-perjara yang tidak baik.
Sentiasa menangguhkan masa untuk belajar hingga ke saat-saat akhir peperiksaan.
Datang lewat ke sekolah dan selalu ponteng sekolah.
Gagal menyiapkan tugasan yang diberi oleh guru.
Berangan-angan dan sering bermain-main dalam bilik darjah.
Tidak mempunyai kelengkapan persekolahan yang lengkap untuk proses pembelajaran.
Sentiasa bermasalah, suka mencari masalah dan mendatangkan masalah di sekolah dan luar sekolah.
Melibatkan diri dalam aktiviti yang tidak sihat seperti melepak dengan rakan-rakan di bandar-bandar, terlibat dengan kegiatan tidak bermoral.
Menjadikan kemiskinan penghalang kepada usaha untuk berjaya dalam pendidikan.
Terlalu berserah pada nasib dan tidak mahu lagi berusaha untuk mengubah dirinya.
Lebih banyak bergantung kepada ibu, bapa, guru dan rakan-rakan untuk belajar. Tidak boleh berdikari.
Tidak ada perancangan masa untuk belajar seperti mengadakan jadual waktu.
Sentiasa beranggapan bahawa peperiksaan dalam kelas adalah tidak penting.
Tidak menggunakan sepenuhnya perpustakaan sebagai gedung untuk mencari dan menambahkan ilmu.
Tidak sanggup mengorbankan masa, tenaga, fikiran dan wang ringgit demi untuk pelajaran. Pelajar seperti ini lebih sanggup menghabiskan wang mereka untuk membeli majalah-majalah hiburan atau komik kegemaran mereka.
Tidak menghormati ibu, bapa, guru, orang tua dan rakan-rakan sekelas.
Mementingkan diri sendiri dalam apa sahaja yang dilakukan termasuklah pembelajaran.
Gagal menunaikan tanggungjawab kepada Allah.
Menyalahkan nasib dan takdir jika berlaku sebarang masalah. Namun tidak pernah mahu menyalahkan diri sendiri.
Cepat putus asa dan kecewa apabila gagal.
KAEDAH BELAJAR YANG BERKESAN
- Semasa di kelas, berikan tumpuan sepenuhnya kepada proses pengajaran guru.
Sentiasa bersoal-jawab dengan guru dalam hal-hal pelajaran.
Membaca setiap nota yang diberikan oleh guru.
Membuat latihan-latihan yang disediakan oleh guru serta mencari latihan-latihan tambahan dari buku-buku latihan.
Memahami apa yang dibaca.
Membuat nota ringkas untuk semua mata pelajaran.
Menggunakan kaedah, simbol, dan tanda-tanda tertentu untuk memudahkan pembelajaran- .
Belajar menggunakan komputer untuk mendapatkan kefahaman tambahan.
Mengadakan kumpulan perbincangan bagi semua mata pelajaran.
Mendapatkan pengetahuan daripada pelbagai bahan rujukan sama ada buku, majalah, akhbar dan internet.
Mempelajari teknik-teknik menjawab soalan setiap mata pelajaran.
Meneliti dan menganalisis trend soalan-soalan peperiksaan yang lalu.
Berfikir secara kreatif dan berani memberi idea.
Mendapatkan nasihat guru dalam segala masalah yang dihadapi tentang pelajaran dan pembelajaran.