BACALAH....

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ *

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ *١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ *٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ *٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ *٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ *٥ كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ *٦ أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ *٧ إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ *٨ أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يَنۡهَىٰ *٩ عَبۡدًا إِذَا صَلَّىٰٓ *١٠ أَرَءَيۡتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلۡهُدَىٰٓ *١١ أَوۡ أَمَرَ بِٱلتَّقۡوَىٰٓ *١٢ أَرَءَيۡتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ *١٣ أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ *١٤ كَلَّا لَئِن لَّمۡ يَنتَهِ لَنَسۡفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ *١٥ نَاصِيَةٖ كَٰذِبَةٍ خَاطِئَةٖ *١٦ فَلۡيَدۡعُ نَادِيَهُۥ *١٧ سَنَدۡعُ ٱلزَّبَانِيَةَ *١٨ كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡۤ وَٱقۡتَرِب۩ *١٩


Thursday, November 08, 2012

HUKUMAN MURTAD DARI SUDUT QURAN DAN SUNNAH


Hukuman bunuh adalah hukuman bagi kesalahan murtad. Ia telah menjadi kesepakatan para ulama silam. Ia bersandarkan satu hadis Nabi s.a.w. maksudnya berbunyi : “Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia”.
(Riwayat Bukhari).
Dr. Wahbah az-Zuhaili berkata : “Dan para fuqaha telah sepakat di atas kewajipan bunuh terhadap murtad…dan para ahli ilmu telah ijmak di atas kewajipan membunuh orang yang murtad”(al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, juzuk 7, halaman 5580).
Timbul satu persoalan di benak fikiran ramai umat Islam dan golongan bukan Islam tentang agama Islam yang begitu keras menghukum orang yang murtad. Di mana kebebasan beragama yang termaktub dalam perlembagaan? Alangkah zalimnya Islam hingga sanggup menghukum bunuh orang yang murtad?
Persoalan ini perlu dijelaskan dengan rapi dan teliti. Secara umum, Islam itu adil. Kalau tidak adil itu bukan ajaran Islam. Hukuman yang zalim sudah tentulah bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu, bagi menilai hukuman murtad maka adalah wajar Islam yang bersumberkan Quran dan sunnah dikaji. Maka hukuman murtad juga mestilah diteliti berdasarkan Quran dan sunnah, bukannya sunnah sahaja.
Quran memberikan kebebasan untuk manusia memilih agamanya. Sesungguhnya tiada paksaan dalam agama. Firman Allah mafhumnya :“Tidak ada paksaan dalam agama”. (Surah al-Baqarah : 256).
Quran juga menegur sikap memaksa untuk beriman dalam firman Allah mafhumnya : “Adakah kamu (hendak) memaksa manusia hingga mereka menjadi orang yang beriman”. (Surah Yunus : 99).
Jika diteliti dalam Quran, tidak disebut hukuman bunuh terhadap orang murtad secara langsung. Antara yang disebutkan ialah amalan kebaikan orang yang murtad tidak diterima dan dia akan dimasukkan ke dalam Neraka. Ini dirakamkan dalam Al-Quran mafhumnya :“Sesiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya lalu mati dalam kekufuran, maka merekalah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat. Dan merekalah ahli Neraka yang kekal di dalamnya”. (Surah al-Baqarah : 217).
Allah juga berfirman : “Bagaimana Allah akan memberi hidayah kepada satu golongan yang kufur selepas iman mereka, serta mereka bersaksi bahawa Rasul adalah benar, dan datang akan mereka oleh keterangan. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang yang zalim”. (Surah Aali I’mran : 86).
Kalau pengertian ayat ini difahami dengan baik, ia sebenarnya sudah menjadi hukuman yang amat berat bagi orang yang murtad.
Bagaimana sunnah melihat kepada hukuman murtad ini?
Kalau begitu yang tersurat dalam Quran, di manakah diambil hukuman bunuh kepada orang murtad? Sebenarnya hukuman ini diambil daripada sunnah Nabi s.a.w. yang sahih iaitu sabdanya yang bermaksud : “Sesiapa yang menukar agamanya (Islam kepada agama lain) maka bunuhlah dia”. (Riwayat Bukhari).
Ini diperkuatkan lagi dengan hadis yang lain maksudnya berbunyi : “Tidak halal darah seorang muslim melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara : Duda/janda yang berzina, jiwa dengan jiwa (qisos) dan orang yang meninggalkan agama serta memisahkan daripada jamaah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Begitu juga dalam athar diceritakan bahawa Muadz bin Jabal r.h. bertemu dengan Abu Musa r.h. dan didapati ada seorang lelaki yang diikat. Apabila disoal siapakah lelaki tersebut, Muadz diberitahu bahawa dia adalah seorang lelaki Yahudi yang menganut Islam namun kemudian dia keluar murtad untuk menganut semula agama Yahudi. Melihat kes tersebut. Muadz berkata bahawa beliau tidak akan duduk hinggalah lelaki Yahudi itu dibunuh kerana ia adalah hukuman daripada Nabi s.a.w. sendiri.
Ini adalah kefahaman para sahabat. Sudah tentu Muadz bin Jabal r.h. sebagai salah seorang sahabat besar Nabi s.a.w. tidak akan berkata sesuatu melainkan ia pasti daripada Nabi s.a.w.
Begitulah amalan para sahabat Nabi r.a. Abu Bakar as-Siddiq r.a. memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan sebahagian sahabat r.a yang lain sebagaimana diceritakan dalam kitab-kitab hadis dan fiqh. Bahkan disebutkan bahawa hukuman bunuh terhadap jenayah murtad adalah disepakati oleh para ulama.
Dalam suasana umat Islam hari ini, bagaimana kefahaman yang sesuai untuk kita memahami hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad?
Adalah menjadi dasar untuk umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Quran dan sunnah. Namun ada masanya berlaku perubahan hukum akibat kefahaman yang berbeza terhadap nas-nas Quran dan sunnah itu sendiri.
Bagi menghimpunkan antara Quran dan sunnah, maka murtad ada dua jenis :
1. Murtad yang memerangi Islam
2. Murtad yang tidak memerangi Islam
Murtad jenis pertama ialah murtad yang berbahaya. Orang murtad ini bukan setakat keluar daripada Islam tetapi memerangi Islam. Dia mencaci dan menghina Islam. Dia menulis buku, artikel dan sebagainya bagi menggambarkan keburukan Islam. Dia mempersendakan hukum Islam. Dia juga menyeru orang lain untuk membenci Islam. Ada juga yang hanya masuk Islam bukan dengan niat yang betul tetapi sekadar mempermainkan agama sahaja. Ini memang patut dihukum bunuh kerana ia sama seperti jenayah khianat. Penganut agama lain pun akan marah jika ada orang menghina agama mereka, tuhan mereka dan ajarannya. Bayangkan jika seorang India beragama Hindu keluar daripada agama Hindu untuk memeluk Islam dengan rela. Setelah menganut agama Islam, dia meludah tuhan orang Hindu, menghina agama mereka, memperbodohkan amalan agama mereka dan memperlekehkan apa sahaja yang berkaitan dengan agama. Ketika ini, sudah pasti setiap penganut agama Hindu akan marah dan berazam untuk membunuh pengkhianat tersebut. Dalam Quran, kita dilarang untuk mencaci atau menghina mana-mana agama atau tuhan agama lain.
Adapun murtad jenis kedua iaitu murtad ringan, Dia tidak melakukan semua itu. Dia mungkin hanya tidak berpuas hati dengan Islam akibat umat Islam yang rosak akhlak. Mungkin kerana kemunduran umat Islam. Mungkin kerana ajaran agama yang dirasakan berat hasil tafsiran golongan tertentu yang sempit dalam memahami Islam. Mungkin dia menganut Islam kerana ingin berkahwin tetapi setelah berkahwin, pasangannya mengabaikannya. Golongan seperti ini wajar diberi penerangan agar jelas dengan ajaran Islam yang sebenar. Dalam istilah fiqh disebut sebagai diminta bertaubat.
Jika hukuman bunuh terhadap murtad berdasarkan hadis sahih, kenapa kita perlu meraguinya lagi?
Hadis sahih hendaklah diterima dengan baik. Walau bagaimanapun, hadis sahih dalam masalah murtad masih lagi termasuk dalam hadis Aahad. Petunjuk atau dalalah bagi hadis ini masih lagi dalam daerah zonn, (sangkaan) bukannya qatie (pasti).
Daripada sudut sunnah atau hadis pula, arahan Nabi s.a.w. agar orang murtad dibunuh boleh lagi dikaji. Ada kemungkinan sabda tersebut adalah berdasarkan sifat Nabi s.a.w. sebagai ketua negara. Oleh itu, jika ada kepentingan untuk melaksanakan hukuman bunuh, maka kerajaanlah yang bertanggungjawab melaksanakannya. Perkara ini telah menjadi kajian ulama silam yang muktabar. Antaranya al-Imam al-Qurafi (683 H) yang membicarakan dalam kitabnya al-Furuuq pada perbahasan perbezaan nombor 36. Beliau menyebut bahawa ada waktunya Nabi bertindak sebagai seorang Nabi dengan menyampaikan fatwa. Kadang-kadang pula tindakan Nabi s.a.w. sebagai seorang hakim dan ada masanya sebagai ketua negara. Tindakan berdasarkan fatwa tidak perlu menjadi persoalan tetapi tindakan berdasarkan sifatnya sebagai hakim atau ketua negara tentulah berasaskan maslahat dan kebaikan. Selain itu, apakah sabda Nabi s.a.w. agar orang yang murtad itu dibunuh difahami secara mutlak atau perlu ada syarat-syaratnya yang lain. Kalau dikaji dalam Perjanjian Hudaibiyyah yang berlaku dalam akhir tahun enam Hijrah, ada satu terma syarat menyatakan bahawa sesiapa yang datang kepada golongan Quraish di Makkah, maka ia tidak perlu dihantar kepada umat Islam semula di Madinah. Ada sahabat yang tidak bersetuju dengan syarat ini. Nabi s.a.w. menjawab : “Ya. Sesiapa yang meninggalkan kita dan pergi kepada mereka (Quraish), maka Allah menjauhkannya”.
Adakah kefahaman begini bermakna bahawa kita umat Islam menggalakkan murtad?
Ini bukanlah bermakna bahawa kita kena redha dan gembira dengan murtad. Quran menjelaskan bahawa Allah tidak redha akan kekufuran bagi hamba-hambaNya. Firman Allah mafhumnya : “Dan Allah tidak redha agi hamba-hambaNya akan kekufuran”.(Surah az-Zumar : 7).
Dan kaedah juga menyatakan bahawa redha dengan maksiat adalah maksiat, dan redha dengan kekufuran adalah kufur. Oleh itu, kita mempunyai beberapa tanggungjawab, antaranya :
1. Berdakwah kepada masyarakat muslim agar faham dan mempunyai aqidah yang kuat serta beriltizam dengan hukum-hukum syarak.
2. Berdakwah kepada masyarakat non muslim bagi menarik mereka mendapat cahaya iman dengan menunjukkan pengamalan Islam yang menyeluruh (syumul).
3. Memantapkan usaha agar aqidah, kebajikan dan sebagainya bagi umat Islam – baru atau lama – dijaga dengan baik. Ini termasuk aspek pemantapan ilmu, bantuan kewangan, bantuan sosial dan sebagainya.
Kalau selepas itu, berlaku juga murtad maka kita hendaklah beristighfar dan memuhasabah diri kita samada kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik atau tidak. Sesungguhnya tiada orang yang akan murtad jika dia tahu keindahan dan kehebatan Islam.
Kefahaman terhadap hukuman murtad melalui dua jenis ini akan menzahirkan keadilan dan toleransi Islam. Jika tidak diberikan perincian begini, secara langsung ia menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang zalim. Tambahan pula umat Islam ketika ini berada dalam keadaan yang lemah dalam banyak keadaan. Kefahaman ini mungkin betul dan mungkin juga tidak berapa tepat. Apapun, kes murtad memerlukan penyelesaian menyeluruh.
Sumber :http://dakwah.org/blog/?p=99