Sudah tentu perasaan jengkel bersarang dalam hati. Ya, kalau sudah semua perkara malas mahu dilakukan, bukan ke membibitkan perasaan kurang senang dalam diri?
Namun, ketahuilah bahawa sifat malas itu sebenarnya bertentangan dengan apa yang diajarkan dalam agama Islam.
ALLAH mengajar hamba-NYA supaya bersikap rajin dan bersungguh-sungguh apabila melaksanakan sebarang tugasan.
Apabila kita malas dan suka menangguh-nangguhkan kerja atau melakukannya secara sambil lewa, pasti ia memberikan hasil kerja yang tidak bagus, bukan?
Impaknya bukan setakat diri kita, tetapi tempiasnya turut dirasai oleh orang di sekeliling kita.
Mengapa sifat malas itu berbahaya? Berdosakah jika kita mempunyai sifat sebegitu?
Tidak ikhlas beribadah
Segala tanda tanya itu Sinar Islam lontarkan kepada pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid.
Ujar agamawan itu, ALLAH SWT secara tegas menyebut bahawa malas merupakan sifat orang munafik terutama ketika mendirikan solat.
Firman ALLAH SWT:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) kepada ALLAH (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan ALLAH pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati ALLAH (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)."
(Surah al-Nisa', ayat 142)
Ustaz Bakhtiar Fitri turut mengajak kita meneliti panerangan Imam Ibnu Katsir tentang ayat al-Quran berkenaan. Dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir, malas merupakan sifat lahiriah yang terpampang jelas bagi seorang munafik.
"Lebih menakutkan adalah kesan sifat malas yang membawa kepada tidak ikhlas beribadah yang akhirnya merosakkan hubungan dengan ALLAH. Ibadah malas dan tidak ikhlas itu hanya menuntut pujian manusia dan dilakukan di hadapan manusia.
"Perkara itu dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Sabda baginda:
“Solat yang paling berat bagi munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh...”
"Ulama menjelaskan, kedua-dua solat itulah yang sering ditinggalkan oleh orang munafik kerana dilakukan pada waktu gelap yang tidak dilihat oleh manusia yang datang dan pulang daripada masjid. Itulah bahayanya sikap malas yang mendorong kepada tidak ikhlas beribadah kepada ALLAH," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Seperkara lagi, kata Ustaz Bakhtiar Fitri, sifat malas sebenarnya merupakan salah satu nafsu jahat yang sentiasa mendorong manusia melakukan kecuaian daripada mentaati perintah ALLAH SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
"Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu."
(Riwayat al-Baihaqi)
Berdasarkan hadis tersebut, jelas agamawan itu, nafsu jahat sudah tentu terhasil daripada bisikan syaitan yang sering mengajak manusia ingkar kepada ALLAH SWT.
"Namun, sekiranya kita sedar tentang ganjaran memberi ketaatan bersungguh-sungguh kepada ALLAH, sudah pasti kita akan berusaha menjadi hamba yang rajin dan mendekatkan diri kepada ALLAH.
"Itu yang disebut oleh baginda SAW:
“Solat yang paling berat bagi munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa (ganjaran) yang ada pada keduanya, pasti mereka akan mendatanginya dalam keadaan merangkak sekalipun."
"Apa yang lebih jelas, Imam Ibnu Katsir menjelaskan, sikap malas itu berpunca daripada ibadah yang dilakukan tanpa niat yang tulus kerana ALLAH, tidak beriman dengan ALLAH, tidak takut (khashyah) dan tidak memahami maksud solat. Pokok pangkalnya ialah hati dan keinginan kita yang melonjak ingin memasuki syurga ALLAH SWT," ujar beliau.
Gangguan syaitan
Sementara itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, malas atau al-kasal merupakan salah satu daripada penyakit gangguan syaitan. Bahkan, Nabi Muhammad SAW menyuruh kita menghindarkan diri daripada penyakit tersebut.
"(Sifat) itu kena buang. Kalau malas, bagaimana kita hendak kerja? Bagaimana hendak beribadah? Bagaimana untuk kita pergi ke sekolah menuntut ilmu? "Orang yang malas tidak mendapat hasil. Disebabkan itulah kita perlu menghindarkan diri daripada sifat berkenaan. Untuk menghilangkan malas itu, kita perlu ada cita-cita dan semangat untuk belajar. Oleh sebab itulah kita dianjurkan untuk membaca doa menghindari diri daripada bersifat demikian," katanya.
Apakah natijah mereka yang berlumut dengan sifat malas? Jawab agamawan itu, mereka akan tergolong dalam orang yang rugi sama ada di dunia ataupun di akhirat kelak.
"Jikalau di dunia, mereka tak dapat pelajaran, tak dapat kumpul rezeki, tak dapat kawan dan tidak dapat himpun harta. Itulah orang yang rugi.
"Di akhirat pun sama juga. Dia tak dapat bersama-sama dengan orang yang masuk ke dalam syurga. Ya, bagaimana dia ingin ke syurga kalau dia pemalas tidak kiralah dalam soal ibadah solat, puasa, hatta dalam mencari ganjaraan pahala dan membuat kebajikan.
"Bagi individu yang ada sifat sebegini, mereka kena lihat orang yang rajin dan apa yang dilakukan mereka untuk mencapai kemajuan. Orang yang rajin, dia bukan sahaja mencapai kemajuan untuk dirinya sahaja, malah juga untuk orang lain," katanya.
Berdosa
Perkongsian ilmu diteruskan lagi apabila Hassan menyentuh tentang hukum apabila kita bersifat malas. Agamawan itu menegaskan, ia berdosa kerana kita meninggalkan ibadah seperti bekerja, solat dan sebagainya.
Walhal, ujar beliau, ulama telah menjelaskan bahawa kita perlu melakukan kerja amal di dunia ini seolah-olah akan hidup selama-lamanya dan beramallah untuk akhirat seolah-olah kita akan mati esok hari.
"Jadi orang yang malas itu sudah tentu berdosa sebab dia mensia-siakan masa. ALLAH berikan kita masa yang sama iaitu 24 jam, tiada kurang dan tidak lebih. Namun, kalau kita abaikan, kita sudah tercicir masa. Banyak sebenarnya pemberian nikmat yang diberikan ALLAH kepada kita.
"ALLAH kurniakan kaki, tangan, mata, hidung dan telinga untuk apa? Takkan sebab hendak seronok dengar lagu-lagu rancak sahaja. Tentulah setiap yang DIA ciptakan itu ada peranan yang kita kena teroka dalam hidup kita ini," ujar beliau.
Andai kata semua manusia di muka bumi ini malas, ujar agamawan itu, dunia tidak akan mencapai kemajuan dari pelbagai sudut antaranya teknologi, pengangkutan, pembangunan dan lain-lain.
"Oleh sebab adanya orang yang rajin, kerajinan dia itu memberi manfaat kepada orang lain. Siapa yang malas, ALLAH akan turunkan dosa dan bala kepada mereka.
"Kalau sesebuah masyarakat, tiada orang yang hendak laungkan azan disebabkan malas hendak azan dan solat, maka akan turun bala kepada masyarakat berkenaan. Nau'zubillah," kata beliau.
Boleh buka pintu fitnah kepada agama
Sifat malas bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya supaya rajin dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap pekerjaan.
Pendakwah Ustaz Ahmad Hazran Ahmad Kamal atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Aran berkata, sikap itu hakikatnya memberikan natijah yang buruk kepada diri sendiri.
Bahkan, jelas beliau, seseorang yang bersifat sebegitu boleh membuka pintu atau membawa fitnah kepada agama Islam itu sendiri.
"Kalau orang tengok dan persoalkan 'begini ke Islam?' Maka, dia telah membuka pintu fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Itu natijahnya.
"Dari segi hukum, malas itu berdosa kerana apabila seseorang itu mempunyai sifat itu, dia enggan berusaha untuk apa-apa sahaja perkara termasuklah bagi meneruskan hidup. Misalnya, malas bekerja. Bagaimana untuk dia dapatkan rezeki untuk menyara hidup dan memberi keluarganya makan?
"Apabila seseorang itu tidak berusaha pula, ia akan mendatangkan kesan yang lain seperti meminta-minta pada orang lain. Itu sudah menyusahkan orang. Sedangkan Islam menyuruh kita bersifat rajin dan bersungguh-sungguh," katanya kepada Sinar Islam.
Dalam hal itu, Imam Muda Aran menyoroti semula kisah malas ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Di 'celah-celah' sahabat itu, ada orang munafik yang diketuai Abdullah bin Ubai bin Salul.
"Apabila ditanyakan pada sahabat bagaimana hendak mengenali puak-puak munafik? Para sahabat akan menjawab bahawa mereka mengerjakan solat dalam keadaan malas khususnya solat Subuh dan solat Isyak.
"Ya, itulah waktu sedap tidur, sedangkan sahabat-sahabat yang pula solat dalam keadaan khusyuk tidak kiralah solat Subuh, Isyak, Maghrib, Zuhur ataupun Asar sekalipun.
"Apabila seseorang itu berpura-pura dan lakukan sesuatu kerana terpaksa, riak wajah dan gaya malas itu kita boleh lihat sebab ia bukan dibuat mengikut kerelaan hati," katanya.
Justeru, beliau mengingatkan kita agar tidak terjebak dengan sifat malas kerana kesannya, bukan sahaja ALLAH SWT tidak akan memberkati kehidupan kita, bahkan turut menyempitkan rezeki.
"Apabila kita bersifat malas, tidak ramai yang mahu berkawan dan menjauhi kita. Malah, hidup kita juga tidak akan berjaya," ujar beliau.
Bagi mengekang diri daripada sifat malas, Imam Muda Aran menasihatkan kita kembali mengingati kembali matlamat kita melakukan sesuatu pekerjaan dan tujuan hidup.
"Carilah kawan-kawan yang sentiasa positif kerana persekitaran kita mesti bercampur dengan orang-orang yang sebegitu dan baik.
"Kemudian, ubahlah persekitaran kita contohnya rumah. Mungkin boleh ubah susun atur dalam rumah berkenaan. Perubahan itu akan membuatkan kita bertambah semangat dan jangan lupa amalkan doa menghindarkan diri daripada sifat malas setiap kali selepas solat," katanya.
NURULFATIHA MUAH
15 NOV 2019