BACALAH....

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ *

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ *١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ *٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ *٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ *٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ *٥ كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ *٦ أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ *٧ إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ *٨ أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يَنۡهَىٰ *٩ عَبۡدًا إِذَا صَلَّىٰٓ *١٠ أَرَءَيۡتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلۡهُدَىٰٓ *١١ أَوۡ أَمَرَ بِٱلتَّقۡوَىٰٓ *١٢ أَرَءَيۡتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ *١٣ أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ *١٤ كَلَّا لَئِن لَّمۡ يَنتَهِ لَنَسۡفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ *١٥ نَاصِيَةٖ كَٰذِبَةٍ خَاطِئَةٖ *١٦ فَلۡيَدۡعُ نَادِيَهُۥ *١٧ سَنَدۡعُ ٱلزَّبَانِيَةَ *١٨ كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡۤ وَٱقۡتَرِب۩ *١٩


Sunday, May 26, 2019

Panduan Sholat Sunat Tahajjud dan Doa

Panduan Solat Sunat Tahajjud Yang Ringkas Dari JAKIM

Solat Tahajud ringkas ini dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memudahkan orang ramai mengerjakan solat sunat Tahajjud. Semoga sama-sama memanfaatkan ilmu ini untuk mendekatkan diri kepada Allah.
* * * * * * * * * * * * * *
Sholat Sunat Tahajud adalah bermaksud sembahyang sunat yang dilakukan selepas bangun dari tidur pada waktu malam walaupun hanya tidur seketika.

Ramai orang terbangun/tersedar di waktu yang sama waktu malam hari. Tapi sayangnya, keadaan ini sering kali diabaikan. Adalah lebih baik sekiranya kita bangun dan mengambil wuduk dengan sempurna kemudian kerjakanlah solat Tahajud sekurang-kurangnya 2 rakaat.
“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” – Ayat 79, Surah Isra’
Fadilat & Kelebihan Solat Sunat Tahajud
  1. Mendapatkan pengawasan Allah SWT dan menampakkan wajah lebih berseri
  2. Dikasihi oleh para ahli ibadat dan orangorang mukmin
  3. Setiap tuturcaranya mempunyai hikmah, benar dan bijaksana.
  4. Wajahnya bersih bersinar dan bercahaya semasa dibangkitkan di padang mahsyar.
  5. Akan dipermudahkan hisab kepada dirinya
  6. disenangkan laluan ketika melalui Titian Siratul Mustaqim – seperti kilat yang menyambar.
  7. Menerima anugerah catatan amalan dengan tangan kanan.
  8. Dijauhkan daripada kebinasaan
  9. Doanya akan mudah dimakbulkan Allah
  10. Memperolehi ketenangan jiwa dalam hidupnya
  11. Merasai diri hampir kepada Allah SWT
  12. Hidupnya sentiasa dalam keberkatan & rahmat Allah
  13. Menewaskan gangguan dan godaan syaitan
  14. Mencegah dosa dan menghindari penyakit
  15. Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas
  16. Allah mempermudahkannya dalam proses pembelajaran dan ilmu yang dipelajari
  17. Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai
  18. Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.dibukakan pintu rezeki yang berterusan
  19. menjadi seorang hamba yang disayangi Allah
  20. diberi kemuliaan dan martabat yang tinggi oleh Allah di dunia dan di akhirat
Waktu Solat Tahajjud


Solat Tahajjud ini dilakukan selepas waktu Isyak sehingga terbitnya fajar. Namun demikian, waktu yang afdal untuk solat sunat ini adalah sebaiknya dilakukan pada waktu satu pertiga malam (kira-kira jam 3.00 pagi) hingga ke fajar. Suasana pada waktu itu lebih tenang dan memudahkan untuk kita lebih khusyuk beribadat.
Cara Solat Sunat Tahajjud

Solat Tahajjud boleh dilakukan seberapa banyak rakaat pun mengikut kemampuan anda, dengan setiap dua rakaat dan satu salam secara sendirian. Jika tidak mampu, memadailah dengan hanya dua rakaat dan lebi afdhal dan baik sekiranya dapat dilakukan secara berterusan setiap malam sepertimana yang disabdakan Rasulullah S.A.W:
“Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.” – Riwayatkan Bukhari & Muslim dari Aisyah 
1. Mulakan dengan niat solat Tahajjud
niat solat tahajjud
Niat solat Tahajjud dalam rumi: Ushalli sunnatat tahajjudi rak’ataini Lillahi ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku sembahyang sunat Tahajjud dua rakaat kerana Allah taala
2. Bacaan pada solat Tahajjud
– Pada rakaat pertama bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Kafirun.
 – Pada rakaat kedua pula bacalah surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas.
Surah Al-Ikhlas
Doa Selepas Tahajjud
Selepas memberi salam akhir, bacalah doa ini:
doa selepas solat tahajud
Maksudnya: “Ya Allah bagi-Mu segala pujian, Engkaulah Pencipta semua langit dan bumi serta segala yang terdapat di dalamnya. Bagi Engkau segala pujian,Engkaulah yang menerangi semua langit dan bumi dan orang-orang yang berada di dalamnya. bagi Engkau segala pujian, Engkaulah yang benar dan janji Engkau adalah benar, syurga dan neraka adalah benar, semua nabi Engkau adalah benar, Muhammad SAW adalah benar, dan hari kiamat adalah benar. Ya Allah kepada-Mulah aku serahkan diriku, aku percaya kepada Engkau, tempat aku berserah diri dan kepada Engkau aku kembali, dengan pertolongan Engkau aku menghadapi musuhku, kepada Engkau aku berhukum. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terkemudian,dosa yang tersembunyi dan yang nyata dan dosa yang hanya Engkau sahaja yang mengetahui. Engkaulah yang dahulu dan yang akhir, tiada tuhan kecuali Engkau dan tiada daya upaya kecuali dengan pertolongan Engkau.”
* * * * * * * * * * * * * *
Bagaimana, senang sahaja untuk mengikuti panduan solat sunat Tahajjud ini bukan? Selesai solat tahajjud ini, adalah lebih baik sekiranya dibuat pula solat sunat Taubat dan diikuti solat sunat Hajat. Dan moga-moga hidup kita sentiasa dirahmati Allah dan diberikan ganjaran untuk akhirat kelak.

Wallahu A’lam.

Friday, May 03, 2019

6 Langkah Melaksanakan Ibadah Puasa Dengan Jayanya


Ibadah puasa bukanlah suatu yang asing lagi bagi umat Islam. Setiap tahun khasnya di bulan Ramadhan, umat Islam di seluruh dunia akan menunaikan Rukun Islam ketiga ini.

Syari’at ini telah diperintahkan oleh Allah swt di dalam surah al Baqarah ayat 183 kepada umat Nabi Muhammad saw pada 10 Sya’aban tahun ke-2 Hijrah menjadikannya salah satu ibadah yang wajib dilaksanakan.

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.”

Puasa wajib ke atas mereka yang beragama Islam, berakal sihat, baligh (cukup umur) dan mampu untuk mengerjakannya. Bagaimana untuk melakukan ibadah puasa ini dengan jayanya?

Berikut adalah langkah-langkah utama untuk menunaikan ibadah puasa:

#1 Fahami Pengertian Puasa

Dari segi bahasanya, puasa membawa maksud ‘menahan diri’. Dalam konteks istilah pula, ibadah puasa adalah dengan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa dari terbit fajar Sadiq hingga terbenamnya matahari yang disertakan dengan niat.

Melalui pengertian ini, maka jelas dua rukun puasa yang perlu dipenuhi bagi memastikan ibadah ini dapat dilaksanakan dengan baik iaitu berniat dan menahan diri.

#2 Niat Puasa yang Betul

Bagi puasa di bulan Ramadhan, lafaz niatnya adalah:

“Sahaja aku berpuasa esok hari menunaikan fardhu Ramadhan tahun ini kerana Allah ta’ala.”

Dalam puasa wajib seperti puasa di bulan Ramadhan, niat harus ditetapkan sebelum fajar. Berdasarkan hadith Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa tidak menetapkan puasa sebelum fajar, maka tidak ada puasa baginya.”

Niat biasanya terlaksana dengan makan sahur untuk berpuasa. Secara automatik, mereka yang bangun untuk bersahur adalah mereka yang hendak berpuasa.

#3 Bersahur

Bersahur adalah rutin puasa yang membezakan bentuk puasa orang Islam dengan orang Yahudi dan Kristian seperti sabda Nabi saw :

“Pemisah (yang membezakan) antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah makan sahur.”
riwayat al Tirmizi

Bersahur penting untuk memberi kekuatan fizikal kepada tubuh badan bagi menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Allah swt menerangkan tentang bersahur yang bermaksud:

“… Makan dan minumlah kamu semua sehingga jelas bagi kamu (dapat membezakan) antara benang putih dan benang hitam dari waktu fajar (Subuh). Kemudian, sempurnakan puasamu sehingga malam (maghrib)…”
surah al Baqarah, ayat 187

Ambillah makanan yang berserat tinggi seperti buah-buahan dan bijirin ketika bersahur agar dapat menahan lapar dengan lebih lama. Minum air secukupnya agar badan terus terhidrat dan segar sepanjang hari.

Oleh itu, cubalah untuk bangun sahur sekudrat yang mungkin walaupun hanya untuk meneguk segelas air kosong. Diingatkan juga bahawa rutin makan dengan banyak pada lewat malam sebelum tidur dan bangkit selepas azan Subuh tidak dikira sebagai bersahur ya.

#4 Menahan Diri dari Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa

Nampak seperti banyak tapi jangan khuatir. Hanya beberapa perkara sahaja yang boleh membatalkan puasa.

1.Makan Dan Minum Dengan Sengaja
Bagaimana pula jika tidak sengaja kerana terlupa? Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang terlupa ketika berpuasa lalu makan atau minum, dia hendaklah meneruskan puasanya kerana Allah sendiri telah memberi makan dan minum kepadanya.”
Hadith Riwayat al Bukhari dan Muslim

Jadi jika terlupa tidaklah membatalkan puasa dan puasa mestilah diteruskan seperti biasa.


2. Didatangi Halangan Syari’e/keuzuran Iaitu Haid dan Nifas
Walaupun darah yang keluar terlalu sedikit dan hanya sekejap atau hadir ketika sangat hampir dengan waktu berbuka; puasanya tetap terbatal dan perlu diganti (qada’) semula pada bulan yang lain.

3. Muntah Dengan Sengaja
Nabi saw telah bersabda :

“Sesiapa yang muntah (secara tidak sengaja) dalam keadaan berpuasa, dia tidak perlu mengqadaknya. Tetapi sesiapa yang sengaja memuntahkannya, dia wajib mengqadak puasa.”
hadith riwayat Abu Daud

4. Memasukkan Sesuatu Ke Dalam Rongga Badan
Sesuatu di sini tidak mengira samada boleh dimakan atau tidak. Termasuk boleh membatalkan dalam aspek ini adalah merokok.

5. Berjimak (melakukan persetubuhan) Di Siang Hari
Perkara ini agak berat kerana jika melakukannya, kaffarah (denda) yang harus dibuat agak besar iaitu samada membebaskan seorang hamba yang beriman atau wajib berpuasa selama dua bulan berturut-turut (tanpa diselangi, jika gagal harus diulangi semula) atau memberi makan kepada 60 orang miskin.
Bagi isteri yang tidak redha dengan permintaan suami untuk bersetubuh tetapi terpaksa melakukannya, para ulama bersepakat yang si isteri hanya perlu mengqadakkan puasanya sahaja tanpa perlu melaksanakan kaffarah.

6. Mengeluarkan Air Mani Secara Sengaja Pada Siang Hari
Puasa yang terbatal wajib diqadakkan pada bulan yang lain. Jika air mani terkeluar disebabkan mimpi, puasanya tidak terbatal dan perlu diteruskan kerana di luar kawalan dirinya.
Namun tetap perlu mandi junub. Tiada larangan untuk memeluk dan mencium isteri ketika berpuasa selagi tidak menyebabkan air mani keluar apabila melakukan perkara itu. Allah swt juga tidak melarang para suami mencampuri isteri mereka tetapi hanya dibenarkan di waktu malam pada bulan Ramadhan seperti di dalam surah al Baqarah ayat 187.

7. Menjadi Gila
Orang gila (tidak sempurna akalnya) tidak diwajibkan berpuasa.

8. Menjadi Murtad
Tidak sah puasa seorang individu yang keluar dari Islam kerana syarat sah puasa adalah Islam. Wajib ke atasnya mengqadakkan puasanya ketika murtad apabila kembali semula beriman.

9. Pengsan Sepanjang Hari
Gila atau pengsan jika berlaku sepanjang hari dan dia tidak sedarkan diri walau sesaat; puasanya terbatal.

#5 Berbuka Puasa

Saat yang paling dinantikan pastinya adalah waktu berbuka puasa. Sunatnya adalah untuk menyegerakan berbuka puasa apabila yakin telah masuk waktu iaitu terbenamnya matahari atau azan Maghrib berkumandang. Doa berbuka puasa adalah seperti berikut:

“Ya Allah, untukMu aku berpuasa dan kepadaMu aku beriman. Dan dengan rezekiMu aku berbuka, dengan RahmatMu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.”

Bersederhanalah ketika berbuka puasa; ambil makanan yang menyihatkan, rendah gula, garam dan lemak agar badan sentiasa mantap untuk meneruskan ibadah puasa di hari-hari yang seterusnya dengan baik.

Pengecualian waktu berbuka sebelum sampai waktu Maghrib hanya untuk mereka yang tidak mampu dan mengalami keuzuran iaitu:

1. Mereka yang sedang sakit tenat (tiada harapan sembuh) lalu tak mampu untuk meneruskan puasanya.

2. Bermusafir melebihi dua marhalah.

3. Orang tua yang telah uzur.

4. Perempuan mengandung yang dikhuatiri kesihatan diri dan kandungannya terganggu.

5. Perempuan yang menyusukan anaknya serta mereka yang terpaksa bekerja kuat sepanjang malam.

#6 Memperbanyakkan Amalan Utama dan Sunat

Istimewanya berpuasa di bulan Ramadhan adalah ganjaran pahala yang berlipat kali ganda bagi ibadah-ibadah yang dilakukan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Selain itu terdapat juga aktiviti-aktiviti ibadah yang hanya dapat dilakukan ketika bulan Ramadhan sahaja.

Justeru untuk meningkatkan lagi penghayatan semangat berpuasa itu, kita bolehlah membuat pelbagai amalan-amalan utama dan sunat seperti tadarus al Qur’an, solat Terawih, iktikaf di masjid, qiamullail dan bersedekah.

Aktiviti-aktiviti ibadah ini boleh dilakukan beramai-ramai untuk memeriahkan lagi suasana bulan ibadah (Ramadhan). Semoga kita jadi terus bersemangat untuk melaksanakan ibadah puasa dan ibadah yang lain apabila dilakukan bersama-sama.

Ibadah puasa adalah ibadah yang sangat istimewa di sisi Allah swt. Abu Hurairah ra meriwayatkan yang Rasulullah saw bersabda bahawa:

“Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipat-gandakan dengan sepuluh kebajikan yang semisal hingga tujuh ratus kali lipat. Allah ta’ala berfirman (yang ertinya), ‘Kecuali amalan puasa. Amalan puasa tersebut adalah untukKu.

Aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan mendapatkan dua kebahagiaan iaitu kebahagiaan ketika dia berbuka dan kebahagiaan ketika berjumpa dengan Rabbnya.

"Sungguh bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau minyak kasturi"
Hadith Riwayat Muslim


Ganjaran terus dari Allah swt telah dijanjikan bagi mereka yang berpuasa. Oleh itu, mari kita bersama-sama melakukan ibadah puasa sebaik yang mungkin agar Allah swt gembira menerima amalan dari kita di sisiNya dan sentiasa meredhai kita.

Semoga kita terpilih sebagai hamba yang dinantikan untuk bertemu denganNya di akhirat sana. Selamat Menyambut Ramadhan!

Saturday, October 20, 2018

Panduan Lengkap Solat Sunat Dhuha & Doa

Solat Dhuha mempunyai banyak kelebihan dan fadhilatnya seperti seseorang itu dikurniakan hati yang tenang, dosanya diampunkan dan diberikan rezeki yang melimpah-ruah oleh Allah. Dan sebaiknya sholat dhuha ini dilakukan secara istiqomah setiap hari.
Sholat dhuha dapat membuka pintu-pintu rezeki yang anda tidak sangkakan dan dimudahkan urusan sepanjang seharian hidup kita sebagai hamba Allah SWT kerana jika diamati doa sembahyang dhuha ini, ada disentuh bahagian rezeki (Jika rezeki masih di langit, turunkanlah. Jika di bumi, keluarkanlah. Jika sukar, per-Mudahkanlah. Jika haram, sucikanlah. Jika jauh, dekatkanlah).
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.” (HR Al-Hakim dan At-Tabrani)
Nabi kita sendiri, Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat dhuha ini melainkan keuzuran dan kita sebagai umatnya amatlah dituntut melakukannya.
Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”

Kelebihan Solat Sunat Dhuha

Terdapat banyak hadis dan dalil yang menyebut tentang ganjaran dan kelebihan untuk solat Dhuha ini.
1. Pintu rezeki dibuka seluas-luasnya
“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” – (Sahih al-Targhib: 666)
2. Mendapat pahala seperti melakukan umrah
“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” – (Sahih Al-Targhib: 673)
3. Diampuankan dosa-dosa yang lampau
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” – (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
4. Tergolong dalam kalangan orang yang bertaubat
Tidaklah seseorang selalu mengerjakan solat Dhuha kecuali ia telah tergolong sebagai orang yang bertaubat.” – (HR Hakim)
5. Disediakan sebuah rumah di Syurga
“Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” – (Sahih al-Jami’: 634)
6. Nilainya seperti anda bersedekah
Dari Abu Dzar, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda : “Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha.” -(Hadis Riwayat Muslim)
Marilah kita luangkan sedikit masa untuk mendengar ceramah berkenaan Kelebihan Solat Dhuha oleh Ustaz Azhar Idrus ini. Semoga ianya memberikan manfaat bersama.

Waktu Solat Sunat Dhuha

Secara amnya, waktu solat dhuha bermula dari terbitnya fajar matahari setinggi segalah sehingga matahari condong ke barat. Diamana ianya bermaksud waktu akhir untuk solat dhuha ialah kira-kira 9 minit sebelum masuknya waktu solat Zohor dimana ketika matahari tegak di atas kepala.
Sekira cuaca menjadi penghalang, anda boleh dengan merujuk kepada takwim kerana masuknya waktu dhuha iaitu 28 minit selepas Syuruk. Sekiranya waktu Syuruk 6.45 pagi dan tambahlah ia 28 minit, maka masuknya waktu untuk Dhuha bermula jam 7.13 pagi.
Namun begitu masa sesuai dan waktu afdal Solat Sunat Dhuha adalah anggaran ketika matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter), lebih kurang lingkungan anggaran 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Cara Solat Dhuha

Cara sembahyang dhuha adalah lebih kurang sama dengan cara Solat Hajat dimana sekurang-kurangnya 2 rakaat, 4 rakaat, 8 rakaat dan 12 rakaat. Bergantung kepada kemampuan kita sendiri untuk menunaikan solat dhuha ini sebanyak mana.
Namun, hanya dengan membuat dua rakaat solat Dhuha sudah bersamaan kita melaksanakan sedekah terhadap 360 sendi di dalam badan kita. Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Diriwayatkan pula dalam sebuah hadis Saidatina Aisyah R.A., beliau berkata (rujukan Shahih Muslim, 1176) :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي الضُّحَى أَرْبَعًا ، وَيَزِيدُ مَا شَاءَ اللَّهُ
“Rasulullah shallallahu alaihi wa sallam shalat Dhuha sebanyak empat (rakaat), kadang beliau menambah mengikut keinginannya.”
1. Mulakan solat dengan niat solat dhuha
Sembahyang Dhuha ini hukumnya sunat dan sangat digalakkan menunaikannya. Walaubagaimanapun, ia tidak sunat dilakukan secara berjemaah.
Niat solat-dhuha dalam rumi : “Ushollii sunnaatadluhaa rak’ataini mustaqbil alqiblati adaa-a llillaahi ta’aala.”
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah ta’ala.

2. Bacaan surah dalam solat dhuha
Anda bebas membaca apa-apa sahaja surah semasa mengerjakan solat ini kerana tiada surah khusus yang digariskan Rasulullah SAW. Namun terdapat, terdapat beberapa surah dianjurkan ulama untuk dibacakan semasa sedang sembahyang dhuha:
  • Membaca Ayat al-Kursi 10 kali (rakaat pertama) dan Al-Ikhlas 10 kali (rakaat kedua)

Ayat al-Kursi
 Surah Al-Ikhlas
Surah Al-Ikhlas

Doa Dhuha – Doa Pembuka Pintu Rezeki

Seusai solat dan tasbih tadi, bacalah doa solat dhuha agar diberikan rezeki melimpah-ruah dan dipermudahkan segala urusan seharian kita. Baca dan amatilah makna setiap bait doa dhuha dibawah ini:
اللّهُمَّ إِنَّ الضّحَاءَ ضَحَاؤُكَ ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ ، وَالْقُوَّةَ قُوَّتُكَ ، وَالْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ
اللّهُمَّ إِنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأَنْزِلْهُ ، وَإِنْ كَانَ فِي اْلأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ ، وَإِنْ كَانَ مُعْسِرًا فَيَسِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ ، وَإِنْ كَانَ بَعِيْدًا فَقَرِّبْهُ ، بِحَقِّ ضَحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ ، آتِنِي مَا آتَيْتَ عِبَادَكَ الصَّالِحِيْنَ
Bacaan doa-dhuha dalam rumi : Allahumma innaddhuhaa’a dhuhaa uka, walbahaa’a bahaa uka, waljamaala jamaaluka, walquwwata quwatuka, walqudrota qudrotuka wal’ismata ‘ismatuka. Allahumma inkaana rizqi fissamaa’i fa’anzilhu, wa’inkaana fil ardhi fa’akhrijhu wa’in kaana mu’assiron fayassirhu, wa’in kaana harooman fathohhirhu, wa’inkaana ba’idan faqorribhu, bihaqqi dhuhaa ika wabahaa ika wajamaalika waquwwatika waqudrotika aatini maa ataita ‘ibaadakassolihiin
Terjemahan doa solat dhuha:
Ya Allah
Sesungguhnya Waktu Dhuha itu Dhuha-Mu
Kecantikannya Kecantikan-Mu
Keindahannya Keindahan-Mu
Kekuatannya Kekuatan-Mu
Kekuasaannya Kekuasaan-Mu
Perlindungannya Perlindungan-Mu
Ya Allah
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah
Jika di bumi, keluarkanlah
Jika sukar, per-Mudahkanlah
Jika haram, sucikanlah
Jika jauh, dekatkanlah
Berkat waktu Dhuha
Kecantikan-Mu, keindahan-Mu
Kekuatan-Mu, kekuasaan-Mu
Limpahkan kepadaku segala
Yang Engkau telah limpahkan
Kepada hamba-hamba-Mu yang soleh

Solat Sunat Dhuha Membuka Pintu Rezki

Allahu. Jom baca kisah solat dhuha yang membuka pintu rezeki tanpa disangka-sangka oleh sahabat kita ini. Sedikit sebanyak boleh dijadikan untuk kita.
Rezeki & Dhuha – “Selepas rezeki rezeki ini datang, aku teringat yang aku dan suami selalu buat solat dhuha. Sekurang-kurangnya seminggu sekali mesti buat. Sejak kami buat solat dhuha, Allah permudahkan macam-macam bagi kami. Rezeki kami datang dengan senang tanpa kami duga.”
Ajaibnya Solat Dhuha “Semenjak menjadikan solat Dhuha sebagai rutin harian, keajaiban demi keajaiban mula berlaku dalam hidup Ahmad. Pada hari pertama dia mengerjakan solat Dhuha, majikannya telah mengadakan majlis kesyukuran sempena kelahiran cucu sulungnya.”
————————
Diharapkan, anda dapat menjadikan sunat dhuha ini satu kemestian dalam solat sunat Dhuha pada setiap hari kerana, sembahyang dhuha ini merupakan cara kita bersyukur kepada Allah SWT terhadap segala nikmat-nikmat dan rezeki yang telah Allah berikan kepada kita.
Akhir kata, marilah sama-sama kita cuba mengamalkan dan ber-istiqamah dalam melakukan solat sunat Dhuha ini dalam kehidupan seharian kita walaupun hanya 2 rakaat sahaja kerana itu lebih dikasihi dan disayangi oleh Allah SWT. Bukan solat Dhuha sahaja, jika berkesempatan lakukanlah Solat Taubat di malam hari pula sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَحَبُّ الْعَمَل إِلَى اللَّهِ تَعَالَى مَا دَاوَمَ عَلَيْهِ صَاحِبُهُ وَإِنْ قَل
Maksudnya: “Amalan yang paling disukai oleh Allah SWT adalah yang berterusan dilakukan oleh pelakunya walaupun ia sedikit.” [Riwayat Muslim (783)]