BACALAH....

بِسۡمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ *

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ *١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ *٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ *٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ *٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ *٥ كَلَّآ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَيَطۡغَىٰٓ *٦ أَن رَّءَاهُ ٱسۡتَغۡنَىٰٓ *٧ إِنَّ إِلَىٰ رَبِّكَ ٱلرُّجۡعَىٰٓ *٨ أَرَءَيۡتَ ٱلَّذِي يَنۡهَىٰ *٩ عَبۡدًا إِذَا صَلَّىٰٓ *١٠ أَرَءَيۡتَ إِن كَانَ عَلَى ٱلۡهُدَىٰٓ *١١ أَوۡ أَمَرَ بِٱلتَّقۡوَىٰٓ *١٢ أَرَءَيۡتَ إِن كَذَّبَ وَتَوَلَّىٰٓ *١٣ أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ *١٤ كَلَّا لَئِن لَّمۡ يَنتَهِ لَنَسۡفَعَۢا بِٱلنَّاصِيَةِ *١٥ نَاصِيَةٖ كَٰذِبَةٍ خَاطِئَةٖ *١٦ فَلۡيَدۡعُ نَادِيَهُۥ *١٧ سَنَدۡعُ ٱلزَّبَانِيَةَ *١٨ كَلَّا لَا تُطِعۡهُ وَٱسۡجُدۡۤ وَٱقۡتَرِب۩ *١٩


Thursday, November 08, 2012

HUKUMAN MURTAD DARI SUDUT QURAN DAN SUNNAH


Hukuman bunuh adalah hukuman bagi kesalahan murtad. Ia telah menjadi kesepakatan para ulama silam. Ia bersandarkan satu hadis Nabi s.a.w. maksudnya berbunyi : “Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah ia”.
(Riwayat Bukhari).
Dr. Wahbah az-Zuhaili berkata : “Dan para fuqaha telah sepakat di atas kewajipan bunuh terhadap murtad…dan para ahli ilmu telah ijmak di atas kewajipan membunuh orang yang murtad”(al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, juzuk 7, halaman 5580).
Timbul satu persoalan di benak fikiran ramai umat Islam dan golongan bukan Islam tentang agama Islam yang begitu keras menghukum orang yang murtad. Di mana kebebasan beragama yang termaktub dalam perlembagaan? Alangkah zalimnya Islam hingga sanggup menghukum bunuh orang yang murtad?
Persoalan ini perlu dijelaskan dengan rapi dan teliti. Secara umum, Islam itu adil. Kalau tidak adil itu bukan ajaran Islam. Hukuman yang zalim sudah tentulah bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu, bagi menilai hukuman murtad maka adalah wajar Islam yang bersumberkan Quran dan sunnah dikaji. Maka hukuman murtad juga mestilah diteliti berdasarkan Quran dan sunnah, bukannya sunnah sahaja.
Quran memberikan kebebasan untuk manusia memilih agamanya. Sesungguhnya tiada paksaan dalam agama. Firman Allah mafhumnya :“Tidak ada paksaan dalam agama”. (Surah al-Baqarah : 256).
Quran juga menegur sikap memaksa untuk beriman dalam firman Allah mafhumnya : “Adakah kamu (hendak) memaksa manusia hingga mereka menjadi orang yang beriman”. (Surah Yunus : 99).
Jika diteliti dalam Quran, tidak disebut hukuman bunuh terhadap orang murtad secara langsung. Antara yang disebutkan ialah amalan kebaikan orang yang murtad tidak diterima dan dia akan dimasukkan ke dalam Neraka. Ini dirakamkan dalam Al-Quran mafhumnya :“Sesiapa yang murtad di antara kamu daripada agamanya lalu mati dalam kekufuran, maka merekalah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat. Dan merekalah ahli Neraka yang kekal di dalamnya”. (Surah al-Baqarah : 217).
Allah juga berfirman : “Bagaimana Allah akan memberi hidayah kepada satu golongan yang kufur selepas iman mereka, serta mereka bersaksi bahawa Rasul adalah benar, dan datang akan mereka oleh keterangan. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang yang zalim”. (Surah Aali I’mran : 86).
Kalau pengertian ayat ini difahami dengan baik, ia sebenarnya sudah menjadi hukuman yang amat berat bagi orang yang murtad.
Bagaimana sunnah melihat kepada hukuman murtad ini?
Kalau begitu yang tersurat dalam Quran, di manakah diambil hukuman bunuh kepada orang murtad? Sebenarnya hukuman ini diambil daripada sunnah Nabi s.a.w. yang sahih iaitu sabdanya yang bermaksud : “Sesiapa yang menukar agamanya (Islam kepada agama lain) maka bunuhlah dia”. (Riwayat Bukhari).
Ini diperkuatkan lagi dengan hadis yang lain maksudnya berbunyi : “Tidak halal darah seorang muslim melainkan dengan salah satu daripada tiga perkara : Duda/janda yang berzina, jiwa dengan jiwa (qisos) dan orang yang meninggalkan agama serta memisahkan daripada jamaah”. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Begitu juga dalam athar diceritakan bahawa Muadz bin Jabal r.h. bertemu dengan Abu Musa r.h. dan didapati ada seorang lelaki yang diikat. Apabila disoal siapakah lelaki tersebut, Muadz diberitahu bahawa dia adalah seorang lelaki Yahudi yang menganut Islam namun kemudian dia keluar murtad untuk menganut semula agama Yahudi. Melihat kes tersebut. Muadz berkata bahawa beliau tidak akan duduk hinggalah lelaki Yahudi itu dibunuh kerana ia adalah hukuman daripada Nabi s.a.w. sendiri.
Ini adalah kefahaman para sahabat. Sudah tentu Muadz bin Jabal r.h. sebagai salah seorang sahabat besar Nabi s.a.w. tidak akan berkata sesuatu melainkan ia pasti daripada Nabi s.a.w.
Begitulah amalan para sahabat Nabi r.a. Abu Bakar as-Siddiq r.a. memerangi golongan yang enggan membayar zakat dan sebahagian sahabat r.a yang lain sebagaimana diceritakan dalam kitab-kitab hadis dan fiqh. Bahkan disebutkan bahawa hukuman bunuh terhadap jenayah murtad adalah disepakati oleh para ulama.
Dalam suasana umat Islam hari ini, bagaimana kefahaman yang sesuai untuk kita memahami hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad?
Adalah menjadi dasar untuk umat Islam berpegang teguh dengan ajaran Quran dan sunnah. Namun ada masanya berlaku perubahan hukum akibat kefahaman yang berbeza terhadap nas-nas Quran dan sunnah itu sendiri.
Bagi menghimpunkan antara Quran dan sunnah, maka murtad ada dua jenis :
1. Murtad yang memerangi Islam
2. Murtad yang tidak memerangi Islam
Murtad jenis pertama ialah murtad yang berbahaya. Orang murtad ini bukan setakat keluar daripada Islam tetapi memerangi Islam. Dia mencaci dan menghina Islam. Dia menulis buku, artikel dan sebagainya bagi menggambarkan keburukan Islam. Dia mempersendakan hukum Islam. Dia juga menyeru orang lain untuk membenci Islam. Ada juga yang hanya masuk Islam bukan dengan niat yang betul tetapi sekadar mempermainkan agama sahaja. Ini memang patut dihukum bunuh kerana ia sama seperti jenayah khianat. Penganut agama lain pun akan marah jika ada orang menghina agama mereka, tuhan mereka dan ajarannya. Bayangkan jika seorang India beragama Hindu keluar daripada agama Hindu untuk memeluk Islam dengan rela. Setelah menganut agama Islam, dia meludah tuhan orang Hindu, menghina agama mereka, memperbodohkan amalan agama mereka dan memperlekehkan apa sahaja yang berkaitan dengan agama. Ketika ini, sudah pasti setiap penganut agama Hindu akan marah dan berazam untuk membunuh pengkhianat tersebut. Dalam Quran, kita dilarang untuk mencaci atau menghina mana-mana agama atau tuhan agama lain.
Adapun murtad jenis kedua iaitu murtad ringan, Dia tidak melakukan semua itu. Dia mungkin hanya tidak berpuas hati dengan Islam akibat umat Islam yang rosak akhlak. Mungkin kerana kemunduran umat Islam. Mungkin kerana ajaran agama yang dirasakan berat hasil tafsiran golongan tertentu yang sempit dalam memahami Islam. Mungkin dia menganut Islam kerana ingin berkahwin tetapi setelah berkahwin, pasangannya mengabaikannya. Golongan seperti ini wajar diberi penerangan agar jelas dengan ajaran Islam yang sebenar. Dalam istilah fiqh disebut sebagai diminta bertaubat.
Jika hukuman bunuh terhadap murtad berdasarkan hadis sahih, kenapa kita perlu meraguinya lagi?
Hadis sahih hendaklah diterima dengan baik. Walau bagaimanapun, hadis sahih dalam masalah murtad masih lagi termasuk dalam hadis Aahad. Petunjuk atau dalalah bagi hadis ini masih lagi dalam daerah zonn, (sangkaan) bukannya qatie (pasti).
Daripada sudut sunnah atau hadis pula, arahan Nabi s.a.w. agar orang murtad dibunuh boleh lagi dikaji. Ada kemungkinan sabda tersebut adalah berdasarkan sifat Nabi s.a.w. sebagai ketua negara. Oleh itu, jika ada kepentingan untuk melaksanakan hukuman bunuh, maka kerajaanlah yang bertanggungjawab melaksanakannya. Perkara ini telah menjadi kajian ulama silam yang muktabar. Antaranya al-Imam al-Qurafi (683 H) yang membicarakan dalam kitabnya al-Furuuq pada perbahasan perbezaan nombor 36. Beliau menyebut bahawa ada waktunya Nabi bertindak sebagai seorang Nabi dengan menyampaikan fatwa. Kadang-kadang pula tindakan Nabi s.a.w. sebagai seorang hakim dan ada masanya sebagai ketua negara. Tindakan berdasarkan fatwa tidak perlu menjadi persoalan tetapi tindakan berdasarkan sifatnya sebagai hakim atau ketua negara tentulah berasaskan maslahat dan kebaikan. Selain itu, apakah sabda Nabi s.a.w. agar orang yang murtad itu dibunuh difahami secara mutlak atau perlu ada syarat-syaratnya yang lain. Kalau dikaji dalam Perjanjian Hudaibiyyah yang berlaku dalam akhir tahun enam Hijrah, ada satu terma syarat menyatakan bahawa sesiapa yang datang kepada golongan Quraish di Makkah, maka ia tidak perlu dihantar kepada umat Islam semula di Madinah. Ada sahabat yang tidak bersetuju dengan syarat ini. Nabi s.a.w. menjawab : “Ya. Sesiapa yang meninggalkan kita dan pergi kepada mereka (Quraish), maka Allah menjauhkannya”.
Adakah kefahaman begini bermakna bahawa kita umat Islam menggalakkan murtad?
Ini bukanlah bermakna bahawa kita kena redha dan gembira dengan murtad. Quran menjelaskan bahawa Allah tidak redha akan kekufuran bagi hamba-hambaNya. Firman Allah mafhumnya : “Dan Allah tidak redha agi hamba-hambaNya akan kekufuran”.(Surah az-Zumar : 7).
Dan kaedah juga menyatakan bahawa redha dengan maksiat adalah maksiat, dan redha dengan kekufuran adalah kufur. Oleh itu, kita mempunyai beberapa tanggungjawab, antaranya :
1. Berdakwah kepada masyarakat muslim agar faham dan mempunyai aqidah yang kuat serta beriltizam dengan hukum-hukum syarak.
2. Berdakwah kepada masyarakat non muslim bagi menarik mereka mendapat cahaya iman dengan menunjukkan pengamalan Islam yang menyeluruh (syumul).
3. Memantapkan usaha agar aqidah, kebajikan dan sebagainya bagi umat Islam – baru atau lama – dijaga dengan baik. Ini termasuk aspek pemantapan ilmu, bantuan kewangan, bantuan sosial dan sebagainya.
Kalau selepas itu, berlaku juga murtad maka kita hendaklah beristighfar dan memuhasabah diri kita samada kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita dengan baik atau tidak. Sesungguhnya tiada orang yang akan murtad jika dia tahu keindahan dan kehebatan Islam.
Kefahaman terhadap hukuman murtad melalui dua jenis ini akan menzahirkan keadilan dan toleransi Islam. Jika tidak diberikan perincian begini, secara langsung ia menggambarkan bahawa Islam adalah agama yang zalim. Tambahan pula umat Islam ketika ini berada dalam keadaan yang lemah dalam banyak keadaan. Kefahaman ini mungkin betul dan mungkin juga tidak berapa tepat. Apapun, kes murtad memerlukan penyelesaian menyeluruh.
Sumber :http://dakwah.org/blog/?p=99

Saturday, July 28, 2012

Tazkirah Ramadhan : Puasa Dan Kesihatan




BERPUASA Ramadhan bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siangmalah lebih daripada itu mengajar umat Islam supaya mengawal nafsu daripada perkara dilarang syariat(perkara yang membatalkan puasa dan pantang larang puasa) dan boleh memudaratkan.

Bagi tujuan itu, Islam menetapkan adab ketika berpuasa supaya ibadat mereka itu mendapat keberkatan dan mencapai tujuannya. Adab itu juga seiring dari segi perubatan dan kesihatan.

Dari segi perubatan atau kesihatan cara puasa yang tidak berkesan seperti:

·  Makan terlalu banyak sewaktu sahur dan berbuka.

·  Makan terlalu banyak daging, terutama bagi penghidap batu karang, gout dan alahan.

·  Mengulangi makanan sepanjang malam.

·  Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.

·  Tidur selepas kenyang makan.
 

Amalan yang seperti di atas boleh mengikis manfaat dan tujuan berpuasa. Mereka juga akan berasa letih dan mungkin mengalami pelbagai masalah kesihatan daripada amalan itu.

Puasa berjaya adalah yang diamalkan mengikut sunnah Rasulullah. Puasa berjaya akan membuahkan keadaan rohani dan jasmani yang dinamik, bersih dan diperbaharui!

Apa yang di perlukan ialah kawalan yang baik sewaktu berbuka dan bersahur.

Ketika berbuka, sebaiknya makanlah makanan yang senang hadam, mengandungi serat dan dalam kadar sedikit. Amalan Rasulullah memakan tamar adalah baik sebab ia mengandungi karbohidrat tinggi, di samping asid amino, antaranya triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan.

Untuk mengawal apa yang dimakan, perlulah bersederhana dalam menghidang juadah berbuka atau bersahur. Jika banyak yang dihidang dengan aneka jenis dan rasa, tentulah sukar untuk mengawal apa yang ada di depan mata. Ambil peluang bulan puasa ini untuk berjimat belanja, hadkan jenis dan makanan.

Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum daripada bahan semula jadi. Elakkan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan dan gantikan ia dengan gula merah, madu lebah dan jus buah asli.

Sediakan air yang yang ditambah dengan kembang semangkuk dan biji selasih serta getah anggur. Ini kerana makanan ini mencuci usus dan menyenangkan buang air besar.

Elakkan juga kopi dan teh kerana minuman ini mempunyai kafein yang boleh memberi terlalu banyak rangsangan kepada saraf dan jantung ketika berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada bahagian perut yang menyebabkan asid hidroklorik berlebihan dan ini akan menyebabkan keadaan gastritis.

Protein binatang adalah makanan yang paling kompleks dan susah hadam. Ia juga makanan yang mempunyai kandungan bahan buangan yang paling banyak. Keadaan ternakan dan cara yang diamalkan sekarang menyebabkan protein binatang menjadi bahan yang paling tercemar dengan kimia dan pelbagai jenis racun, termasuk kuman, hormon, antibiotik dan logam berat serta racun serangga.

Oleh kerana antara manfaat puasa ialah bahawa badan dapat mengeluarkan bahan racun yang kian lama terselit dalam lemak, daging, hati dan buah pinggang, wajar kita meminimumkan memakan protein haiwan ketika berpuasa.

Protein haiwan boleh digantikan dengan protein sayur dalam bentuk kekacang seperti kacang dal, soya, hijau dan merah, walaupun protein dalamnya tidak lengkap. Dengan mempelbagaikan sayuran dan mencampurkan jenis yang dimakan, ia akan melengkapkan antara satu sama lain.

Puasa yang berjaya dari segi kesihatan melalui tiga fasa iaitu:-

·  Fasa pertama (dua hingga tiga hari)

– Perut lapar, badan letih dan cepat marah (kadar glukos dalam darah rendah).

Pada fasa pertama inilah orang berpuasa terasa amat terduga dan paling susah hendak dilalui. Ini kerana pada masa ini, badan belum terbiasa dengan keadaan perut kosong dan rutin baru yang diamalkannya.

·  Fasa asidosis. (tiga hingga 14 hari)

– Kurang selera makan, nafas berbau, lidah menjadi ‘putih’ atau ‘berdaki’, badan lesu.

Fasa ini tidak berapa terkesan sebab cara puasa yang diamalkan ialah puasa separuh masa dan makan minum separuh masa. Jika kita terlalu sedikit makan, fasa ini akan dikesan dengan nyata.

·  Fasa ketiga (14 hari hingga akhir puasa )
– Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukos kembali normal.

Pada fasa ini, mental, emosi dan badan semakin ‘optimum’ dan anda menjadi seperti orang baru.

Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses ‘asidosis dan ketosis’ dalam badan berjalan lancar.

Wali Allah mencapai peringkat spiritual yang tinggi kerana ketajaman ‘mata hati’ mereka kerana puasa yang mencapai matlamatnya.

Sumber : http://tayibah.com/eIslam/puasasihat.htm

Thursday, June 07, 2012

Mandi Hadas (Mandi Junub)


Allah Azza wa-Jalla telah mewajibkan setiap mukmin mandi setelah ia berjunub (berhadas besar). Allah berfirman:
“Dan jika sekiranya kamu berjunub maka hendaklah kamu bersuci (mandi junub)”. (al-Maidah 5:6)


DEFINISI


Pengertian mandi atau al-ghuslu ) لسغلا ( menurut pengertian Bahasa Arab ialah:
“Mangalirkan air ke seluruh anggota tubuh badan”. (Lihat: Fathul Bari, 1/359. Ibnu Hajar)
“Al-Guslu (mandi) ialah: Menyempurnakan membasuh (mencuci) seluruh jasad (tubuh badan)”. (Lihat: Lisanul Arab. 2/988)
Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah, dimaksudkan mandi junub (mandi hadas besar) ialah:
“Hakikat mandi junub ialah menjirus (mengalirkan) air ke seluruh anggota tubuh (Lihat: Fathul Bari. 1/359) (dari hujung rambut ke hujung kaki). Sebahagian ulama mewajibkan berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung (memasukkan air ke dalam hidung) semasa mandi junub”.
Adapun sebab-sebab wajibnya mandi junub (mandi hadas besar) ialah setelah terjadi perkara-perkara berikut:


PERTAMA:


Wajib Mandi Junub Kerana Keluar Air Mani
Para ulama telah sepakat bahawa apabila keluar air mani dengan bersyahwat, bersetubuh atau bermimpi maka wajib baginya mandi junub. Begitu juga bagi kaum perempuan (jika keluar air mani) maka wajib baginya mandi junub sebagaimana keterangannya dari hadis-hadis berikut:
“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah ditanya oleh seorang lelaki yang mendapati basah (kerana keluar mani) padahal tidak ingat bahawa ia bermimpi lalu baginda menjawab: Hendaklah ia mandi. Dan baginda pernah ditanya tentang lelaki yang bermimpi dirasakan seolah-olah keluar air mani tetapi tidak ada kesan basah. Baginda menjawab: Tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim bertanya: Kalau perempuan bermimpi demikian wajibkah wanita itu mandi? Nabi menjawab: Ya, kerana sebenarnya kaum wanita itu adalah saudara-saudara kaum lelaki!”. (H/R Imam yang lima, kecuali Nasaii.)
“Dari Ummi Salamah bahawa Ummu Sulaim berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu kerana sesuatu yang haq! Apakah wanita wajib mandi junub kalau ia bermimpi? Baginda menjawab: Ya, apabila ia melihat air! Kemudian Ummu Salamah bertanya lagi: Apakah perempuan juga bermimpi? Celaka engkau, kalau tidak begitu dengan apa anaknya boleh serupa dengannya!”. (Muttafaq ‘alaihi)
“Dari Khaulah binti Hakim bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi seperti mimpinya lelaki lalu Nabi sallallahu ‘alaihi
wa-sallam bersabda: Ia tidak wajib mandi sehingga mengeluarkan air mani seperti halnya lelaki tidak wajib mandi sehingga ia mengeluarkan air mani”. (H/R Ahmad)
“Dan Nasaii meriwayatkan dengan ringkas yang lafaznya: Bahawasanya dia (Khaulah) bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi mengeluarkan air mani dalam tidurnya lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Kalau ia melihat air mani maka hendaklah ia mandi”. (H/R Nasaii)
Dari hadis-hadis sahih di atas, menunjukkan bahawa wanita juga terkadang bermimpi kerana wanita adalah saudara kandung lelaki. Maka sebagaimana kaum lelaki juga bermimpi maka kaum wanita demikian pula. (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)
Dan jika ia (seseorang wanita) tidak menemui tanda/bekas/basah/sisa-sisa air setelah bangun tidur maka ia tidak diwajibkan untuk mandi junub. Adapun jika ia mendapati bekas/tanda air maka ia wajib mandi kerana Ummu Sulaim berkata: Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita wajib mandi jika ia bermimpi (keluar air)? Rasulullah sallallahu ‘alaihi was-sallam menjawab: Ya, kalau ia melihat (mendapati basah) bekas air! Jika wanita mendapati ada bekas air maka ia diwajibkan mandi junub. (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)
Jika seseorang perempuan sering mengeluarkan cecair tanpa disebabkan oleh suatu rangsangan (nafsu syahwat/nikmat) maka sama sekali tidak diwajibkan mandi. Mandi hanya diwajibkan apabila melakukan persetubuhan, bermimpi, keluar air diiringi syahwat (seperti mimpi berjimak dengan seorang peria lalu ketika bangun terdapat bekas air maka diwajibkan baginya mandi junub). (Lihat: Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan)


PENJELASAN TENTANG WADI DAN MAZI


Wadi: Wadi adalah cecair pekat yang biasanya keluar setelah seseorang selesai dari buang air kecil (kencing). Wadi ini dihukum najis dan harus disucikan seperti halnya kencing, akan tetapi tidak diwajibkan mandi. (Lihat: Fiqh Wanita. Hlm. 19. Syeikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah)
Mazi: Mazi adalah cecair yang bening dan pekat yang keluar dari zakar atau faraj ketika bercumbu atau ketika nafsu syahwat. Hal ini sama-sama dialami oleh lelaki dan juga wanita, akan tetapi pada wanita jumlahnya lebih banyak. Menurut kesepakatan para ulama, mazi ini dihukum najis. Apabila mazi ini mengenai badan maka wajib dibersihkan dan apabila mengenai pakaian maka cukup sekadar menyiramkan air pada bahagian yang terkena mazi. Mengenai hal ini terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya. Aisyah radiallahu ‘anha mengatakan:
“Wadi itu keluar setelah proses kencing selesai. Untuk itu hendaklah seseorang muslim (dan muslimah)mencuci kemaluannya (setelah keluarnya wadi) dan berwuduk serta tidak diwajibkan mandi junub”. (H/R Ibnu al-Munzir)
“Tentang mani, wadi dan mazi. Adapun mengenai mani maka diwajibkan mandi kerananya. Sedangkan mengenai mazi dan wadi maka cukup dengan membersihkan secara sempurna”. (H/R Al-Baihaqi dan Al-Athram)
“Mengenai wadi dan mazi, Rasulullah bersabda: Basuhlah kemaluanmu atau tempat kemaluanmu dan berwuduklah seperti pada saat hendak melaksanakan solat”. (H/R Baihaqi)
Oleh yang demikian maka keluar wadi atau mazi dihukum najis dan membatalkan wuduk. Wajib dibasuh zakar atau faraj dan pakaian yang terkena wadi atau mazi tetapi tidak diwajibkan mandi junub (mandi hadas besar) jika terkeluar wadi dan mazi sebagaimana penjelasan dari hadis-hadis yang lalu dan sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:
“Dari Ali berkata: Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian ia bersabda: Dalam mazi itu berwuduk dan dalam mani itu wajib mandi. (H/R Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi dan disahihkan oleh Tirmizi)
“Dan dari Ahmad. Lalu baginda bersabda: Kalau engkau mengeluarkan mani maka mandilah kerana telah berjunub dan apabila engkau tidak mengeluarkan mani maka janganlah mandi”. (H/R Ahmad)
Ibnu Ruslan berkata: Kaum Muslimin telah ijmak atas wajibnya mandi junub (mandi hadas) bagi lelaki dan perempuan disebabkan keluar air mani atau mengeluarkan air mani. (Lihat: Nailul Autar.1/191. asy-Syaukani)


KEDUA:


Wajib Mandi Kerana Persetubuhan
Menurut Imam An-Nawawi bahawa: Telah disepakati atas wajibnya mandi junub (bagi suami dan isteri) apabila hasyafah (kepala zakar lelaki) telah masuk ke dalam faraj walaupun tidak mengeluarkan air mani. Inilah pendapat dari ijmak. Keterangan ini dapat difahami dari hadis-hadis sahih yang berikut:
“Dari Abu Hurairah, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk antara empat anggota perempuan kemudian ia bersungguh-sungguh maka ia wajib mandi (junub)”. (H/R Bukhari, Muslim dan Ahmad)
“Apabila salah seorang kamu duduk antara empat anggota perempuan (bersetubuh) kemudian ia bersungguh-sungguh maka wajib baginya mandi (junub) meskipun tidak mengeluarkan air mani”. (H/R Muslim dan Ahmad)
Dari Abdullah bin Amr bin Ash:
“Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) itu telah masuk maka telah diwajibkan mandi (mandi junub)”. (H/R Ibnu Syaibah)
Para ulama telah sepakat sebagaimana yang telah disyariatkan bahawa seandainya seorang lelaki meletakkan kemaluannya di atas kemaluan perempuan, padahal ia tidak memasukkannya maka tidak seorang pun antara keduanya diwajibkan mandi. (Lihat: Nailul Autar. 1/190, Asy-Syaukani)
“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk di antara empat anggota perempuan kemudian benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) bertemu benda yang dikhatan (kemaluan perempuan), maka telah diwajibkan mandi (junub)”. (H/R Ahmad dan Muslim)
“Apabila benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) telah masuk ke dalam benda yang di khatan (kemaluan perempuan) maka telah diwajibkan mandi”. (H/R Tirmizi dan disahihkan olehnya)
“Dari Ubai bin Ka’ab ia berkata: Sesungguhnya anak-anak muda itu pernah berkata: Air (mandi junub) itu kerana air (kerana keluar air mani), adalah keringanan (tidak wajib mandi)
dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam diberikan pada permulaan Islam, kemudian ia memerintahkan kami agar mandi (junub) sesudah itu”. (H/R Ahmad dan Abu Daud)
“Pada lafaz Tirmizi: Mandi hanya kerana keluar air mani, itu hanyalah suatu keringanan pada permulaan Islam kemudian dilarangnya (dilarang dari mengamalkan amalan yang lama dan diperintahkan agar mandi junub)”. (H/R Tirmizi dan disahihkannya)
“Dari Aisyah bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya kemudian ia malas (untuk meneruskannya sebelum keluar mani) sedangkan Aisyah duduk di situ. Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya aku pernah melakukan seperti demikian dengan (Aisyah) ini lalu kami mandi (walaupun tidak keluar air mani)”. (H/R Muslim)
“Dari Rafi’ bin Khadej ia berkata: Aku pernah dipanggil oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam padahal aku sedang di atas perut isteriku. Lalu aku bangun dan aku belum mengeluarkan air mani kemudian aku mandi lalu keluar kemudian aku mengkhabarkan kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Kamu tidak wajib mandi kerana mandi itu lantaran keluarnya air mani. Rafi’ berkata: Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sesudah itu memerintahkan agar kami mandi”. (H/R Ahmad)
Seorang suami yang menyetubuhi beberapa orang isterinya pada satu malam maka hanya diwajibkan sekali mandi sahaja. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam:

“Dari Anas radiallahu anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri (menyetubuhi) isteri-isterinya dengan sekali mandi”. (H/R al-Jamaah kecuali Bukhari)
“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘aliaihi wa-sallam pernah mengelilingi isteri-isterinya pada satu malam dengan sekali mandi”. (H/R Ahmad dan Nasaii)
“Dari Abi Rafi’ maula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam pernah menggiliri isteri-isterinya dalam satu malam lalu ia mandi untuk setiap seorang dari mereka lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kalau engkau mandi sekali sahaja? Lalu ia menjawab: Begini adalah lebih suci dan lebih bersih”. (H/R Ahmad dan Abu Daud)
Syariah berkata: Hadis ini menunjukkan, tidak wajib mandi bagi suami yang bermaksud mengulangi jimaknya (ingin mengulangi persetubuhannya). (Lihat: Nailul Autar. 1/199). Begitu juga isteri yang ingin diulangi (disetubuhi lagi) oleh suaminya maka isteri tidak diwajibkan mandi terlebih dahulu.


KETIGA:


Setelah Bersih Dari Haid Atau Nifas
Para wanita yang sudah bersih (kering) dari haid dan nifas maka diwajibkan mandi hadas (mandi junub) sebagaimana keterangan dari hadis-hadis sahih yang berikut:
Dari Aisyah bahawa Fatimah binit Abi Jahsy sedang istihadhah lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian baginda menjawab: Itu hanya sebahagian dari peluh, bukan haid. Maka apabila engkau sedang haid, tinggalkanlah solat dan kalau telah selesai maka mandilah dan bersolatlah”. (H/R Bukhari)


CARA ATAU SIFAT MANDI JUNUB RASULULLAH


Adapun hadis-hadis tentang wajibnya mandi junub (mandi hadas) antaranya ialah:
“Dari Maimunah radiallahu ‘anha ia berkata: Aku pernah menuangkan air untuk Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam untk mandi junub. Maka baginda memulakan dengan mencuci kedua tangannya dua kali atau tiga kali, kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci farajnya (kemaluannya) dan bahagian yang kena kotoran, setelah itu ia mengusapkan tangannya yang kiri ke tanah dua kali atau tiga kali lalu ia mencucinya. Kemudian baginda berkumur-kumur sambil menghisap (menyedut) air ke hidung lalu menghembuskannya kemudian ia mencuci mukanya dan kedua tangannya lalu ia mencuci kepalanya tiga kali, setelah itu barulah baginda menuangkan air ke seluruhan tubuhnya. Setelah selesai baginda pindah dari tempatnya lalu baginda mencuci kedua kakinya”. (H/R Bukhari, Kitabul Ghusul. Muslim, 1/175. Abu Daud. No 245. Turmizi, Nasaii, Ibnu Majah dan Ahmad)
1 - Syariah berkata (ucapan): “Kemudian ia membasuh kedua kakinya”, ini menunjukkan bahawa wuduk yang dilakukan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam semasa memulakan mandi junub tanpa membasuh kedua kakinya.
2 - Jumhur ulama berpendapat: Sunnah mengakhirkan membasuh kedua kaki ketika berwuduk dalam mandi junub iaitu membasuh setelah selesai mandi junub.
3 - Imam Malik berpendapat: Apabila tempat mandi junub itu tidak bersih maka mengakhirkan membasuh kedua kaki itu adalah sunnah. Tetapi apabila tempat itu bersih maka mencuci dua kaki itu hendaklah didahulukan.
4 - Imam an-Nawawi berkata: Yang lebih benar dan lebih masyhur serta terpilih dari pendapat tersebut ialah menyempurnakan wuduknya.
“Dari Aisyah radiallahu ‘anha bahawa Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub baginda memulakan mencuci kedua tangannya kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci kemaluannya. Kemudian baginda berwuduk sebagaimana waduknya untuk bersolat. Lalu baginda memasukkan jari-jari tangannya ke dalam air, lantas ia sela-sela pangkal-pangkal rambutnya dengan jari-jarinya itu, setelah ia merasakan telah basah rambutnya, ia tuangkan air ke atas kepalanya tiga kali cedukan dengan kedua tangannya kemudian ia alirkan air keseluruh tubuhnya”. (H/R Bukhari. 1/68. Muslim. 1/174. Abu Daud. 242. Ibn Majah 574)
“Dari Jabir radiallahu anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam mengambil air tiga kali cedukan dan baginda tuangkan ke atas kepalanya, kemudian baginda menuangkan air ke seluruh tubuhnya”. (H/R Bukhari, 1/69. Kitab al-Ghusul)
“Dari Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam apabila mandi junub, baginda meminta air dengan satu bejana besar lalu ia ambil air itu dengan tangannya, kemudian memulai pada bahagian kepala sebelah kanan, kemudian yang kiri, kemudian ia mengambil air dengan kedua telapak tangannya lalu ia tuangkan di atas kepalanya”. (H/R Bukhari dan Muslim)
“Diriwayat yang lain: Kemudian baginda menyela-nyela rambutnya dengan kedua tangannya sehingga apabila ia merasa telah basah seluruh kulit kepalanya, ia tuangkan air di atasnya tiga kali”. (H/R Bukhari dan Muslim)
“Dan dari Jubair bin Muth’am ia berkata: Kami pernah berbincang-bincang tentang mandi junub di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam lalu baginda bersabda: Adapun aku, cukup mengambil air sepenuh dua tapak tanganku lalu aku tuangkan di atas kepalaku, kemudian aku menyiram bakinya atas seluruh tubuhku”. (H/R Ahmad)
“Dari Jubair radiallahu ‘anhu berkata: Adapun aku, menuangkan air ke atas kepalaku tiga kali (beliau memberi isyarat dengan kedua tangannya). (H/R Bukhari, 1/69). Kemudian aku menyiram ke atas seluruh tubuhku”. (H/R Ahmad.)
Dari semua hadis-hadis tentang mandi junub yang telah lalu, dapat difahami dan diringkaskan bahawa sifat mandi junub Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam ialah:
- Didahulukan dengan mencuci kedua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Ia dilakukan tiga kali.
- Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.
- Setelah mencuci kemaluannya, Nabi sallallahu alaihi wa-sallam menggosok tangannya ke tanah beberapa kali iaitu dua atau tiga kali.
- Berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Ada kalanya mentakhirkan dari mencuci kakinya.
- Memasukkan jari-jemari ke dalam air kemudian menyela-nyela rambut dengan kedua-dua jari-jemari tangan sehingga rata.
- Menuangkan air ke atas kepala tiga kali, sama ada dengan menceduk dengan kedua tangan atau dengan gayung.
- Menjirus, meratakan dan membasuh ke seluruh tubuh badan


Selepas mandi tidak diwajibkan berwuduk semula jika wuduk sebelum mandi tidak batal tetapi jika sekiranya batal maka wajib memperbaharui wuduknya semula.


“Dari Aisyah radiallahu anha: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak berwuduk setelah selesai mandi junub”. (H/R Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud. 1/171. TIrmizi, 1/72)


Sumber : http://fiqh-sunnah.blogspot.com