Hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah berfirman dalam sebuah Hadis Qudsi: Wahai Muhammad sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Bagimu lima waktu ini pahalanya sama dengan 50 waktu.”
Riwayat At-Tirmizi
Kefarduan solat lima waktu ini berulang kali disebut dalam al-Quran, antaranya ialah ayat 43 surah al-Baqarah seperti berikut: “Dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
SOLAT TIANG AGAMA
Solat adalah sebahagian daripada rukun Islam yang lima, justeru Islam tidak akan tertegak pada diri seseorang melainkan tertegaknya kesemua rukun Islam terutamanya syahadah dan solat. Sebagaimana sebuah hadis daripada Abdullah Bin Umar R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Islam ditegakkan di atas lima perkara. Iaitu bersyahadah bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad ini Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa dalam bulan Ramadan dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan menunaikannya”. - Riwayat Bukhari dan Muslim.Sesungguhnya kewajipan solat lima waktu yang difardukan oleh Allah ini merupakan suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu Muslim, kerana solat merupakan tiang atau asas kepada agama Islam. Islam akan tertegak pada diri seseorang dengan ibadah solat yang dilakukannya dan Islam akan hilang daripada diri seseorang bila solat ditinggalkannya.Selain itu, solat merupakan amalan pertama yang akan dihisab oleh Allah di akhirat kelak dan merupakan penentu kepada kesempurnaan serta penerimaan amalan-amalan yang lain.
Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amalan yang mula-mula sekali dihisab daripada seorang hamba di akhirat ialah solat. Jika ibadah solatnya diterima, nescaya diterima amalan-amalan yang lain dan apabila solatnya ditolak maka ditolaklah amalan-amalan yang lain”Riwayat Imam an-Nasai’ dan At-Tirmizi.
Ibadah solat yang difardukan oleh Allah SWT kepada kita adalah semata-mata untuk kepentingan kita sendiri. Allah tidak akan untung atas solat yang kita kerjakan dan Allah tidak akan rugi bila manusia tidak melakukan, yang rugi adalah manusia itu sendiri.
HIKMAH MENDIRIKAN SOLAT
Ibadah solat akan mengingat dan menghampirkan diri seseorang hamba itu kepada penciptanya. Firman Allah dalam surah Toha, ayat 14 : “Sesungguhnya Aku ini Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingati Aku”.Solat lima waktu dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang dilakukan. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Solat lima waktu, Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu selama dijauhi dosa-dosa besar”.
Riwayat Muslim.
Solat menghalang perbuatan keji dan mungkar, iaitu akan menimbulkan rasa kehebatan, kebesaran, keagungan Allah dan gerun serta takut azab kemurkaan-Nya.
Firman Allah :
“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar”.
(al-Ankabut ayat 45)
Solat menenteramkan jiwa, seterusnya dapat mengawal tekanan jiwa.
Allah berfirman:
“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil. Kecuali orang yang mengerjakan solat, iaitu mereka yang tetap mengerjakan solat mereka”.
(Al-Ma’arij, ayat 19 – 23)
Solat melahirkan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan dalam hidup. Firman Allah SWT dalam surah a-Mukminun ayat 1 – 2 : “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya”.
SEKSAAN MENINGGALKAN SOLAT
Orang yang meninggalkan solat akan menerima seksaan atau azab daripada Allah SWT semasa di dunia lagi, ketika hendak mati, semasa di dalam kubur dan semasa di akhirat kelak. Seksaan ketika di dunia ialah Allah akan menghilangkan berkat pada rezekinya dan dihilangkan tanda kesolehan daripada mukanya.Seksaan ketika rohnya hendak dicabut, dia akan berada dalam keadaan sangat dahaga dan merasai kesakitan yang amat sangat. Ketika di dalam kubur, dia tidak dapat menjawab soalan-soalan malaikat Mungkar dan Nakir, bahkan kuburnya menjadi sempit dan gelap gelita.Manakala seksaan di akhirat pula adalah ketika dihisab catatan amalan buruknya lebih banyak daripada amalan baik dan menerima kemurkaan Allah serta dimasukkan ke dalam neraka.
Firman Allah yang bermaksud: 
“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar? Orang-orang yang bersalah itu menjawab: Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang.”
(al-Muddaththir ayat 42-43)
PENGAJARAN
  1. Umat Islam hendaklah memberikan keutamaan untuk menunaikan solat tanpa ada apa-apa alasan.
  2. Kita hendaklah memastikan solat kita dilaksanakan dengan sempurna dan khusyuk.
  3. Kita hendaklah memastikan ahli-ahli keluarga kita taat dan patuh menunaikan solat pada waktunya.
  4. Umat Islam jangan meninggalkan solat kerana meninggalkan solat itu mengundang kemurkaan Allah dan diseksa dalam neraka Saqar.

Sumber: Jabatan Agama Islam Selangor